Sunday, September 17, 2017

Hubungan antara pekerjaan dan rezeki

Ramai antara kita menganggap bahawa bekerja itu sumber rezeki. Lagi kuat kita bekerja, lagi banyak rezeki yang masuk. Andaian kita adalah terdapat hubungan terus antara pekerjaan dan rezeki.

Tiada yang salah dengan andaian ini, hanya tersasar sedikit.

Apabila kita bekerja, ganjaran yang kita dapat ialah gaji bulanan. Dengan gaji tersebut, kita biayai kehidupan kita sekeluarga. Setiap hari kita keluar rumah menuju ke pejabat sambil berkata, "aku keluar mencari rezeki." Di sini, rezeki tersebut ialah gaji/upah/imbuhan yang kita perolehi.

Sebenarnya, bekerja itu ialah ibadah. Ia satu kebaikan yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Ada ganjaran yang Allah sediakan atas segala kebaikan yang kita lakukan. Gaji pula ialah imbuhan atau upah atas kerja yang dilakukan. Kita lohat di sekeliling kita betapa ramai manusia yang bekerja bertungkus lumus pagi petang siang malam, namun kehidupan mereka masih lagi susah. Sedangkan ada yang buat kerja beberapa jam sehari, namun kehidupan amat mewah.

Kadang terdetik di hati, "awat la susah benar nak dapat rezeki?"

Rezeki ini kurniaan Allah. Ia telah ditentukan sejak kita dicipta dan ia meliputi semua - bukan setakat gaji yang kita terima, segala apa yang Allah kurniakan termasuk persahabatan, kesihatan, pekerjaan, udara, dan segalanya.

Dalam situasi ekonomi yang merudum ini, ramai di antara kita yang tidak menerima gaji atas kerja yang kita buat. Setiap hari pergi ke pejabat melakukan kerja dengan tekun, namun tiada gaji di hujung bulan. Saya adalah antara mereka yang berada dalam situasi ini.

Banyak yang tidak dapat kita lunaskan bila tiada pendapatan. Tunggakan demi tunggakan bayaran ansuran, hutang makin menampuk hari ke hari dan semangat makin luntur.

Apakah tiada rezeki buat insan seperti kami? Allah hu Akbar. Sesungguhnya kami hanya tidak menerima gaji dari majikan. Tetapi rezeki dari Allah  masih melimpah. Dengan kasih sayang sabahat handai dan saudara mara yang tidak pernah bertepi, kesihatan yang baik, suasana kerja yang harmoni, makanan yang sentiasa tersedia di atas meja.... banyak lagi.

Lalu bagaimana harus saya lakukan untuk keluar dari kesulitan ini? Doa, doa dan doa. Setiap masa. Dalam pada beristighfar tanpa henti, di selang waktu, saya berdoa. Bukan hanya untuk saya malah untuk semua mereka yang senasib dengan saya.

Eh! Tidak cukup sebenarnya  dengan doa.

Usaha. Selain dari berusaha mendapatkan dana untuk syarikat, saya perlu mendahulukan keluarga saya. Makanya saya berusaha dengan cara menjual perkhidmatan dan produk yang diperlukan. Menyertai kumpulan yang aktif dan sentiasa positif merupakan pendorong kepada aura positif yang masih menyelubungi hidup saya.

Saya tidak ragu dengan janji Allah, saya hanya takut hati saya terpedaya dengan bisikan syaitan. Istiqamah beristighfar dan berdoa, di samping terus yakin menjalankan usaha yang diberkati, selainnya, serahkan kepada Allah. Dia sebaik-baik pentadbir.

"Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Dia yang Maha Agung dan Maha Lemah Lembut.
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dia yang memiliki arasy yang Agung.
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dia yang memiliki langit dan bumi dan arasy yang mulia."

Moga dipermudahkan.




2 comments:

lina said...

Subanallah....ma'am....Terima Kasih atas ingatan ini....

Suria Klang said...

Terimakasih kembali kerana sudi membaca dan mengikuti. Alhamdulilah