Friday, September 17, 2010

Adat Berziarah di Hari Raya

Di sepanjang kehidupan ini, saya diajar dan mengajar tentang satu perkara: menziarah dan memberi hadiah kepada yang lebih tua di hariraya, di waktu orang dalam kesusahan, di waktu kelahiran bayi...

Arwah Mak yang amat mengambil berat tentang perkara ini. Di sepanjang hariraya, kami akan dikerah menziarah semua rumah makcik pakcik dan jiran-jiran tetangga... Sebelum balik, salam dinasihatkan berisi...bukan salam kosong.

Bagi Mak, sedikit yang kita hulurkan kepada orang tua akan dibalas dengan doa...Itu yang paling penting. Jika kebetulan orang tu tak sihat, apa yang kita hulurkan akan boleh digunakan untuk beli panadol ke....

Subhanallah. Mak memang hebat. Perkara sekecil itu sentiasa menjadi keutamaan baginya. Menggembirakan insan lain adalah agenda utama kehidupannya.

Saya agak terkilan kerana anak-anak seakan lupa kepentingan menziarah orang tua ini. Sebagai makcik, saya menanti kunjungan anak-anak saudara. Tidak perlu tunggu rumah terbuka atau makan-makan untuk menziarah.

Seperti yang pernah saya tulis dulu, kadangkala hati orang tua ini terguris bila melihat anak-anak muda lain membelikan hadiah buat makcik pakcik di kampung... biarpun hanya sebiji kerongsang berharga RM5. Teringin sungguh menerima hadiah dari anak saudara yang saya tukarkan lampinnya dulu...hayun buaiannya ketika masih dalam pantang, buatkan susu, bawa naik basikal, belikan aiskrim....

Di mana anak-anak saudara yang kebanyakannya berijazah? Adakah kehadiran Makcik Pakcik ini menyusahkan? Kami sentiasa menanti dengan penuh kasih sayang... Janganlah hendaknya asyik menjunjung langit hingga lupa bumi yang dipijak...

1 comment:

AINZAIHA said...

Pelajaran lisan masa raya yang ayah saya berikan sejak saya mula bekerja 8 tahun dahulu ialah "jangan lupa kasi sikit pada makcik2 di kg. tak dapat beri banyak sedikit pun jadi la. Insyallah ada rezki lain yang lebih."