Saya sedang mencari masa. Mengharap dapat menyelesaikan hal-hal peribadi yang tertunggak.
Masalahnya, saya terlalu sibuk dengan hal-hal peribadi juga. Sepanjang hari di pejabat, saya sibuk berbincang dan bermesyuarat. Selalu juga tertidur sambil mengadap komputer bahkan kadangkala sewaktu memandu kenderaan.
Sampai saja di rumah, kedua-dua buah hati kecil saya akan datang dengan seribu satu ragam. Minta itu ini. masing-masing cuba menarik perhatian. Belum dikira buah hati yang besar-besar. Ada saja cerita dan kisah kasih mereka yang perlu saya perhatikan.
Hujung minggu saya sibuk bersama seorang anak gadis dan lima jejaka tampan berusia antara 1o bulan hingga 48 tahun....melakukan pelbagai aktiviti bersama.
Saya juga sibuk mencari ruang untuk mengisi dada saya dengan ilmu akhirat. Terlalu sedikit sebenarnya yang telah saya kumpulkan. Itupun banyak yang telah berkarat dan hampir terpadam. Selalunya saya rasa saya budak tadika. Yang baru cuba mengenal A,B,C.
Saya teringin untuk menyambung pelajaran dunia yang tinggal satu mata saja lagi. Saya sudah daftarkan diri dengan sebuah universiti. Malangnya, saya perlukan masa untuk mencari sijil-sijil yang diperlukan bagi tujuan pendaftaran.
Saya ketawa besar ketika mendapati lesen memandu saya telah lama tidak saya perbaharui! Bila agaknya saya dapat mencari masa untuk ke JPJ? Rasanya cuti tahunan saya masih belum luak walau sehari pun!
Namun saya bersyukur kerana berpeluang dan mengharap agar saya terus berpeluang mengisi hari-hari saya di sebelah malam di rumahNya. Ia amat melegakan dan menggembirakan. Mudah-mudahan masa saya yang sudah di penghujung usia ini sentiasa terisi dengan penambahan ilmu-ilmuNya sehingga ke akhirnya.
1 comment:
Post a Comment