Wednesday, July 27, 2011

Nama saya...........

Tahun 1972, saya berada di darjah 1 di SRJK (P) Bukit Kuda Klang. Saya adalah antara pelajar darjah satu yang tidak pernah memasuki Tadika. Saya cukup teruja dapat kenal A,B,C dan dapat membaca sepertimana abang dan kakak saya.

Keterujaan saya akhirnya membuahkan hasil. Dalam peperiksaan akhir tahun tersebut, saya menjadi pelajar terbaik seluruh darjah satu. Saya mendapat hadiah buku teks dan buku tulis untuk darjah dua. Saya diberi peluang mengambil bahagaian dalam konsert sekolah dengan memakai jubah graduan, siap dengan topi dan scroll... Betapa bangganya saya berdiri di atas pentas sambil mengucapkan skrip ini:

"Nama saya Mahasuria. Saya seorang Mahasiswa. Saya hendak jadi Doktor...".

Rasanya saya berlatih di depan cermin setiap saat berminggu-minggu sebelum konsert tersebut...sampaikan ianya lekat dalam ingatan saya. Terbalik-terbalik saya nak sebut Mahasuria dan Mahasiswa.....

Saya membawa nama yang tidak serupa dengan nama orang lain. Setiap kali saya diejek kerana nama saya agak serupa dengan "Mahaletchumy" mungkin juga "Mahalingan".... Puas saya menangis bila tiap kali juga kawan-kawan sekampung saya mengejek saya sebagai "anak Mahalingam yang dipungut oleh Wak Deris dari ladang Colacanda di Kapar."

Saya menjadi terlalu sensitif untuk memperkenalkan diri saya sebagai "Mahasuria", sebaliknya saya senang untuk memberitahu bahawa nama saya adalah "Suria". Sewaktu saya berada di tingkatan dua di MGS Klang, seorang guru pelatih berbangsa India bertanya kepada saya tatkala beliau membaca nama saya:

"Are all your siblings have beautiful names like yours?"

Saya geleng.

"What are their names then?"

Saya jawab: "They have Malay names".

Sambil tersenyum beliau berkata:

"You must be very special to your parents. They know that one day you will be someone whom they will be proud of. If I were you, I will be very proud because I am carrying a big name. Be proud of it."

Saya hanya terangguk-angguk. Teman-teman sekelas saya ada yang tersipu-sipu. Saya bukan faham pun apa maksud Cikgu tersebut.

Sejak itu, saya pertahankan nama saya. Tiada lagi rasa rendah diri atau marah kerana bernama pelik. Saya juga pandai menjawab begini:

"Mujur gak ada nama. Kalau tak bernama, macammana orang nak panggil?"

Sesekali saya menjawab begini:

"Kalau korang hina nama aku, maknanya korang hina mak bapak aku. Bukannya aku lahir-lahir terus kata aku nak nama ni....Nama aku ni mak bapak aku yang bagi...."

Saya dewasa dengan membawa nama yang menjadi ejekan orang lain. Saya tepis apa pun yang orang ejek atau katakan. Saya bangga dengan nama saya. Saya tahu emak dan bapak punya sebab menamakan saya dengan nama ini.

Sewaktu bekerja di India, nama saya menjadi sebutan. Begitu mudah masyarakat di sana mengenali saya. Saya sering tersenyum bila terkenang kata-kata Cikgu pelatih saya dulu. Kalau saya bernama Melayu, mungkin sukar untuk orang India menyebut nama saya.

Dua minggu lalu, saya diberi penghormatan untuk melancarkan satu program. Tanpa disangka, ramai pula media TV dan wartawan akhbar yang membuat liputan. Maka, keluarlah wajah saya di kaca TV, dan di akhbar-akhbar tempatan.

Saya cukup terharu kerana saya menerima panggilan yang bukan sedikit dari kawan-kawan lama....ada juga kawan sekolah rendah yang hampir 40 tahun tidak saya temui, bahkan nama mereka juga langsung tiada dalam kotak memori saya.

Rata-rata berkata begini:

"Nama you tu special. Tak pernah I jumpa orang lain bernama Mahasuria Idris. I tau youlah orangnya...."

Subhanallah. Begitu sekali keistimewaan yang saya perolehi kerana nama saya.....

2 comments:

Krafdunia Design said...

Aku terima nikahnya MAHASURIA BT IDRIS dengan maskahwinnya.... bla.. bla.. bla.. hehe

lina said...

salam ma'am 1972 dah darjah satu ya lina belum lahir lagi tahun ni :)...maam tulis lagi kisah di sek men dan u ya. Best baca...