Boss amat berhajat untuk menjadi pemborong. Selalu benar beliau berangan-angan yang beliau mampu menjana modal yang besar untuk menjual barangan keperluan secara pukal kepada peniaga-peniaga runcit sepertinya. Kedai beliau diapit oleh dua kedai borong (satu barangan Indonesia dan satu lagi barangan China). Boss kata "bila agaknya kedai kita orang masuk dan beli barang berbondong-bondong?"
Perniagaan yang Boss usahakan tidak bermodal besar. Hasil yang diperolehi akan dimasukkan kembali sebagai stok. Dari sebuah kedai kosong, alhamdulillah selepas hampir lima tahun, Boss mampu tersenyum melihat isi kedai beliau yang biarpun jauh ketinggalan dibandingkan dengan dua kedai bersebelahan, tetapi jauh lebih baik dibandingkan dengan waktu kedai itu dimulakan.
Sejak beberapa bulan lalu, saya berurusan dengan sebuah kumpulan peniaga dari Timur Tengah yang meminta bantuan saya untuk memasarkan keluaran mereka di Malaysia. Salah seorang dari peniaga ini, Mr Shaikh, adalah anak murid kepada seseorang yang saya kenali sewaktu di India.
Boss mula menjelejah ke beberapa tempat untuk memasarkan produk tersebut sejak sebulan lalu. Semalam, saya dihubungi oleh Shaikh yang memberitahu bahawa kontena dari Timur Tengah akan tiba.
Subhanallah. Sesungguhnya kami diberi kenikmatan yang amat hebat dariNya.Allah memberi rezeki dengan pelbagai cara. Ini adalah satu permulaan bagi satu perjalanan yang panjang buat kami sekeluarga. Mudah-mudahan kami mendapat keredhaanNya dalam melaksanakan usaha dan tanggungjawab kami. Dalam kesusahan, ada kemudahan. Bertahun kehidupan kami dihempas badai yang tidak pernah menyusut, dalam kepedihan, kami bersabar dan berdoa tanpa henti, hari ini, kami mula menyulam mimpi indah.
Kami akur dengan kenyataan bahawa kami telah melukakan hati beberapa individu disebabkan oleh kesilapan dan kealpaan kami sendiri. Sememangnya otak kami yang dangkal tidak mampu berfikir cara mana kami boleh menyelesaikan kesulitan yang kami hadapi. Kami serahkan dengan sepenuh jiwa dan raga kami kepada Dia. Kami pohon petunjuk dariNya dan kami teruskan usaha tanpa kenal jemu. Begitu banyak halangan, apatah lagi tohmahan dan hinaan, namun kami amat bersyukur yang semua itu menambah kekuatan di hati kami. Berikan kami sedikit ruang dan kesempatan, kami pasti kejayaan bersama kami, kerana itulah permintaan kami kepadaNya di setiap hela nafas kami....
No comments:
Post a Comment