Monday, November 14, 2011

Hamba Yang Maha Pemurah

Abdul Rahman didaftarkan tanpa 'bin'. Ia jadi begitu kerana Jabatan Pendaftaran Negara tidak mahu menerima surat nikah ibu bapanya kerana ia tidak mendapat pengesahan Kedutaan Indonesia di Malaysia. Untuk mendapat pengesahan itu, ayah Rahman perlu hadir di Kuala Lumpur sedangkan beliau berada di kampungnya di Medan, Indonesia.

Maka kami biarkan saja nama Itu 'Abdul Rahman'. Insyaallah lepas dia 2 tahun nanti Pendaftaran akan membenarkan kami menukar/menambah nama si comel ini.

Sudah hampir seminggu Rahman demam. Asal malam suhu badannya naik. Puas sudah kami mandikan dia, tuam, sapu minyak, namun masih gagal. Berbotol-botol ubat dibekalkan oleh doktor selepas 2 kali kunjungan, masih tidak berhasil. Akhirnya pagi semalam Doktor ketiga yang merawatnya memasukkan dia ke dalam wad.

Pertanyaan klise doktor kepada saya, 'under insurance ke?'.

Saya jawab, 'ye.'

'Bilik single semua penuh. Ada Executive Ward dan Suite saja. Boleh saya tahu eligibility Puan?'

'Maaf Doktor. Saya tak pasti. Maybe hospital boleh check dengan insuran. Andai kata saya kena tambah, saya tambahlah. Anak saya ni demam dah lama. Saya tak sanggup tengok dia sakit macam ni.'

Selepas beberapa ketika, saya dipanggil oleh jururawat yang bertugas. 'Kita masuk wad 609 ye Puan?'

'Ada pulak bilik, Dik?' tanya saya selamba.

'Ada Puan. Ikut entitlement Puan, adik Rahman boleh duduk di wad Executive.' rajin si nurse muda ini memberi penjelasan.

Saya hanya mengangguk. Apa-apalah. Asal dia sembuh seperti sdiakala sudah memadai.

'Puan, rasanya nama Abdul Rahman ni tak lengkap. Apa 'bin' dia ye?'.

'Tak ada. Itu saja nama dia.'

'Maaf tanya, dia bukan anak Puan?'

Dengan berat hati saya menjawab, 'Dia anak angkat saya yang sah. Itu saja nama dia dalam surat beranak dia.'

Sambil tersenyum, jururawat itu membelai kepala Rahman seraya berkata, 'Bertuah dia Puan dapat keluarga macam keluarga Puan.'

Jawapan saya, harapnya tidak menyakitkan hati sesiapa, 'Allah yang beri ini semua kepada kita. Saya sebenarnya yang menumpang tuah dan rezeki dia. Nama dia pun hamba Yang Maha Pemurah. Doakan saya berjaya membesarkannya menjadi anak soleh.'

'Insyaallah Puan. Saya doakan.'

Rahman dijangkiti sejenis bakteria yang mengganggu sistem badannya. Dia cirit birit, muntah muntah dan demam panas yang berlanjutan. Sejak semalam air dimasukkan de dalam badannya. Suhunya melambung tinggi malam tadi. Malam tadi, kami (saya, Boss dan Abo) berkampung di bilik hospital yang mahal ini (lebih mahal harganya dengan semalam di Hilton KL). Bezanya, Boss tidur atas kerusi panjang dan Abo tidur atas toto...). Selang beberapa jam jururawat akan masuk dan mengejutkan kami....Dah nama pun hospital, bayarlah mahal manapun, ia bukan sesuatu yang menyeronokkan....

Semoga Rahman sembuh segera dan semoga kami terus diberi kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah dan hati yang kuat untuk terus berupaya menjaga Rahman sebaik mungkin. Amin.

2 comments:

lina said...

salam ma'am - DOa lina semgoa si comel rahman dalam peliharaan ALLAH serta kembali pulih seperti sedia kala. Insya ALLAH.

Suria Klang said...

Amin. Terimakasih Lina.