Thursday, November 10, 2011

Menelusuri India (3): Drama Filem Tamil

Saya diundang oleh Dr Shan dan isterinya untuk makan tengahari di rumah mereka. Kami menaiki kereta yang disewa oleh Dr Shan berserta pemandu sekali. Moorthi namanya. Anak muda ini memandu dengan laju biarpun jalan menghala ke Tambaram, kawasan tempat tinggal Dr Shan agak sesak. Perjalanan mengambil masa hampir sejam dan cuaca di luar amat terasa bahangnya.

Sampai di kawasan perumahan Dr Shan, saya terpegun melihat kawasan yang tersusun dan bersih dibandingkan dengan kawasan Tambaram yang agak kotor, berserabut dan tidak indah dipandang mata.

Saya diberitahu oleh Dr Shan bahawa hampir kesemua penduduk taman tersebut terdiri dari pegawai tinggi kerajaan, pensyarah university berhampiran dan pegawai tinggi bank. Patutlah pun kawasannya cantik.

Rumah Dr Shan agak moden dan besar. Suasana di persekitarannya sama seperti di tempat kita. Selepas menurunkan kami berdua, Moorthi berlalu pergi untuk makan tengahari di kedai berhampiran.

Selepas beberapa ketika di rumah Dr Shan dan bersembang dengan isteri dan anak lelakinya, Dr Shan kemudian mengajak kami makan di luar. Katanya ada restoran yang menghidangkan makanan lazat tidak jauh dari rumahnya. Cuaca di luar panas terik namun untuk tidak menghampakan Dr Shan dan keluarga yang beria-ia mengajak, maka saya pun bersetuju.

Saya melihat Dr Shan bercakap di talian dengan Moorthi. Kemudian Dr Shan memberitahu kami bahawa Moorthi akan tiba agak lewat kerana dia pulang ke rumahnya. Maka kami meneruskan sembang kami semula.

Kami semua terkejut tatkala melihat kereta Moorthi telahpun berada di luar pagar rumah Dr Shan tidak sampai 10 minit selepas itu. Dr Shan sendiri bingung kelihatannya kerana jarak antara rumah Moorthi dan rumah Dr Shan memerlukan paling kurang 30 minit untuk sampai.

Moorthi tersengih-sengih bangga bila dipuji tentang betapa hebatnya dia kerana berupaya tiba dengan begitu cepat biarpun kami agak musykil dengan kehebatannya itu.

Sedang kami asyik bersembang di dalam kereta, Moorthi menekan brek secara mengejut. Hampir saja saya dan isteri Dr Shan yang duduk di tempat duduk belakang jatuh tersembam. Berderau darah saya dan berdegup laju jantung saya.

Saya lihat lebih 10 lelaki perkasa datang dan mengerumuni kereta kami. Wajah-wajah mereka sungguh bengis sekali. Seorang mula mengetuk tingkap pemandu dengan kasar dan beberapa yang lain menjerit-jerit di belakangnya. Mulut saya benar-benar terlopong melihat insiden yang amat menarik perhatian ini. Namun bila menyedari bahawa keadaan sebenarnya agak merbahaya, tiba-tiba saya tersedar yang saya sedang membaca segala macam doa yang saya tahu.

Dr Shan gusar sebaik melihat salah seorang dari lelaki tadi mencekak leher Moorthi sebaik sahaja tingkap dibuka. Kepala Moorthi hampir terkeluar dari tingkap dan badannya sudah mula terangkat dari tempat duduk. Saya gerun melihat Moorthi dalam kesusahan untuk bernafas. Isteri Dr Shan di sebelah saya sudah mula menangis.

Dengan lagak hero, Dr Shan keluar dari kereta dan mendekati lelaki-lelaki tadi. Moorthi masih dalam genggaman lelaki yang berbadan paling sasa. Pening kepala saya cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku. Sekejap saya menoleh ke kanan, sekejap ke kiri….mengikut layangan tangan kesemua mereka yang mahu bercakap serentak. Kuat pula tu…. Kata orang Johor, “berdempih-dempih” suara mereka.

Hampir 10 minit juga drama ini berlangsung. Akhirnya saya lihat kesemua mereka bersalaman dengan Dr Shan dan beredar. Lelaki sasa yang mencekak leher Moorthi sempat lagi menampar kepala Moorthi sebelum meninggalkan kereta kami, dan sempat juga meludah ke tanah sambil tangannya menunjukkan signal marah yang amat sangat.

Sebaik Dr Shan masuk semula ke dalam kereta, dia mengarahkan Moorthi untuk terus beredar dari situ. Saya nampak Dr Shan melambaikan tangannya ke arah kumpulan lelaki tadi sambil tersenyum. Tidak sabar rasanya untuk tahu apa yang sebenarnya terjadi, saya kemukakan soalan cepumas kepada Dr Shan. Namun Dr Shan meminta saya bersabar dan sebaliknya dia bertanya Moorthi bertalu-talu.

Selepas berpuas hati dengan jawapan Moorthi, Dr Shan berpaling ke arah saya dan menjelaskan hal sebenar. Rupanya, kumpulan lelaki tadi amat marah kepada Moorthi kerana memandu terlalu laju sewaktu dia melalui jalan tersebut untuk menjemput kami dari rumah Dr Shan.

Saya tanya Dr Shan samada Moorthi ada melanggar sesiapa; samada manusia atau binatang peliharaan mereka.

Sambil ketawa Dr Shan menjelaskan bahawa Moorthi tidak mengakibatkan kecederaan kepada seekor lalat pun, apatah lagi seorang manusia atau seekor ayam. Mereka marah kerana sebagai seorang ‘pemandu’, Moorthi tidak tahu menghormati mereka, penghuni taman tersebut yang merupakan golongan kelas atasan.

Saya tepuk dahi dan sandarkan badan saya….. Begitu sekali pandangan mereka kepada orang bahawan.

Dr Shan menyambung cerita bahawa kumpulan itu menjadi lembut selepas Dr Shan menjelaskan bahawa Moorthi telah diarahkan olehnya untuk datang secepat mungkin untuk menjemput kami, dan saya adalah wakil kerajaan Malaysia yang datang membuat lawatan ke India. Dr Shan juga telah memperkenalkan dirinya sebagai seorang Profesor di Universiti Madras dan telah menghuni di situ sejak 20 tahun lepas.

Kata Dr Shan lagi…di India, bagi golongan bawahan seperti Moorthi yang bekerja sebagai pemandu, nyawa mereka bukan sesuatu yang bernilai. Orang seperti Moorthi ada beratus juta di India. Kehilangan separuh dari mereka pun tidak akan memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Subhanallah…. Di India, wang ringgit, kedudukan, pangkat, kasta dan keturunan amat dipandang tinggi… Apa yang dipaparkan dalam filem-filem Hindi dan Tamil sebahagiannya adalah berdasarkan kisah benar dalam hidup masyarakat India…..

No comments: