Petang semalam saya berpeluang bersama dengan ratusan jemaah mengaminkan doa akhir tahun yang dibacakan oleh Imam Firdaus beberapa minit sebelum azan Maghrib. Usai azan Maghrib, kami mengaminkan pula doa awal tahun yang dibaca dengan suara sendu dan esakan kecil yang meruntun kalbu.
Solat Maghrib yang juga dihadiri oleh pembesar negeri termasuk Tengku Panglima Selangor menjadi bertambah syahdu dengan suara lantang Imam Karim. Antara ayat-ayat yang dibacanya ialah tentang taubat nasuha. Subahanallah. Sekeras mana pun hati yang mendengar, akan tercubit juga dengan suasana yang memilukan itu.
Amiruzzaman, sahabat Boss yang berasal dari Bangladesh kebetulan berada di Shah Alam sejak tengahari semalam. Kami bertemu dengannya sekitar jam 345 petang. Wajahnya kusut masai dan begitu lelah kelihatan. Amir mengeluh dengan kekalutannya menghadapi hari-harinya. Si isteri yang sedang menyiapkan PhD seringkali stress dengan pembelajarannya. Amir sebagai partner kepada sebuah firma akitek di Australia bekerja di sebelah malam kerana perbezaan waktu. Tugasnya menuntut fokus yang tidak sedikit. Setiap siang, Amir perlu menjaga anak-anaknya yang masih kecil. Masa untuk Amir tidur terlalu singkat. Itu membuat beliau tidak keruan dan keliru.
Boss akhirnya mengajak Amir untuk bersama kami ke Masjid Negeri. Dalam ketidakpastian, Amir mengikut langkah kami. Rupanya beliau belum bersolat Zohor. Eloklah juga kami dapat menariknya sedikit. Selepas Asar, Amir memohon supaya dia dibenarkan untuk berada terus di dalam Masjid sehingga Maghrib. Alhamdulillah, nampak sedikit kelonggaran di wajahnya yang begitu tegang sebelum itu.
Sambil mendengar Forum yang bertajuk 'muhasabah diri sempena hijrah', saya terima teks dari anak saudara saya. Saya terpikat dengan garapan ayat-ayatnya, tentang ukhwah. Lalu saya ubah suai sedikit di sana sini dan saya forwardkan kepada rakan-rakan saya. Tanpa diduga, banyak sungguh balasan sms yang saya terima. Keadaan itu amat mendamaikan. Kita berdoa untuk saudara kita, dan kita tahu mereka juga berdoa untuk kesejahteraan kita. Semoga doa-doa kita semua diterima.
Ukhwah itu bukan terletak pada pertemuan, bukan pada manisnya ucapan di bibir, tetapi ingatan seseorang pada saudaranya dalam doanya.
Itulah antara bait-bait perkataan yang berrita tentang ukhwah. Semoga rakan-rakan yang membaca entri ini dirahmati Allah sentiasa. Hnya redha Allah yang kita harapkan dalam menempuh perjalanan hidup di dunia dan akhirat.
Hijrah bukan sesuatu yang mudah. Sejarah membuktikannya. Dan dugaan yang paling besar adakalanya datang dari orang yang paling dekat dengan kita.... Allah hu akbar!
No comments:
Post a Comment