Saturday, March 24, 2012

Demam peperiksaan

Setelah sekian lama tidak duduk menghadap soalan peperiksaan, Pagi tadi, saya dan Boss mengambil peperiksaan akhir semester satu sijil usuluddin kami.

Bukan sengaja tidak mahu mengulangkaji awal. Kekangan masa dan jumlah tugasan yang banyak akhirnya memaksa saya belajar sewaktu menunggu masa untuk bermesyuarat, di dalam kereta sewaktu berhenti di lampu isyarat, di waktu rehat makan tengahari dan tentu sekali sebelum melelapkan mata....

Pagi tadi, saya dan Boss keluar rumah seawal pukul 430 pagi untuk ke masjid. Kami duduk sambil berbincang apa yang telah masing-masing ulangkaji. Kami merasa satu nikmat yang belum pernah kami rasa - mengulangkaji dan berbincang sebagai pasangan kekasih dan rakan sekelas untuk peperiksaan di dalam masjid! Selesai solat subuh, kami ke kedai mamak untuk mengisi perut, kemudian singgah ke surau berhampiran untuk melegakan rasa kecut dan seram sejuk yangvmengganggu perut dan kemudiannya kami duduk di dalam kereta di perkarangan Sekolah Rendah Agama Seksyen 3 menanti tibanya waktu peperiksaan bermula sejam setengah lagi....

Tiba waktu yang dinanti. Debaran semakin kencang. Perut semakin bergelodak. Saya rasa satu benda pun saya tak ingat. Boss mula gelabah. Lalu dia mula mengusik pelajar-pelajar di kiri kanannya. Brother Badiuzzaman yang duduk di sebelah Boss membuat semua orang tergelak besar bila tiba-tiba dia berkata "aduh...kenapa rasa macam nak terk*****g ni....? Dok ambik exam Masters tak seriau macam ni?"

Selepas menerima arahan dan kertas soalan dan jawapan, dengan lafaz Bismillah, kami pun memulakan sesi menjawab...... Sedar tak sedar, dua jam setengah berlalu pantas. Penat jari menulis. Tulisan jadi macam cakar ayam. Saya dapat rasakan geraf adrenalin saya menurun sedikit demi sedikit hingga akhirnya saya merasa cukup lega kerana dapat menjawab kesemua soalan. Betul atau tidak, tinggi atau rendah markah yang bakal diperolehi bukan menjadi matlamat saya.

Saya bersyukur kerana saya diberi peluang untuk menuntut satu cabang ilmu yang sepatutnya sudah lama saya terokai dan pelajari secara formal.. Kelalaian dan kealpaan membuai dan menghanyutkan saya dalam keindahan dunia. Ilmu dari barat menjadi titik fokus saya. Biarpun saya terpaksa bermula dengan bertatih dan merangkak, saya pasti langkah yang saya ambil akan memberi kebaikan kepada diri saya dan keluarga saya, jika tidak masyarakat secara menyeluruh. Ada yang bergurau mengatakan saya sibuk hendak menjadi ustazah, ada juga yang kata masa muda-muda dulu tak mau belajar, dah tua bar nak kalut, ada yang skeptikal dengan kemampuan saya memenuhi komitmen... Sesungguhnya saya seronok menghabiskan masa saya membaca buku dan nota yang berkaitan.. Tidak perlu saya jawab apa akan saya lakukan dengan sijil saya nanti.... Di usia sebegini, Saya bukan mereka yang perlukan sijil untuk mendapat pekerjaan.... Doakan saya terus tabah dan kuat menghadapi sebarang kesulitan yang berkaitan demi mempelajari ilmu Allah yang terlalu luas.......

Tuesday, March 20, 2012

Tak terjangkau akalku...

Saya menulis tentang kekecewaan semalam. Tentang rasa dilayan seperti hampas. Tentang politik pejabat yang memualkan.

Pagi tadi, perasaan mual makin membuak. Di dalam mesyuarat, si dia menunjukkan kehebatan. Bagaikan si buta mengajar si pekak. Orang cakap entah apa, dia jawab entah apa-apa. Malas mahu melayan rasa, saya berdiam sambil berdoa....'berilah aku yang terbaik Ya Allah...'.

Petang tadi saya menghadiri mesyuarat dengan mereka yang lebih berpengaruh. Masih dihimpit rasa kecewa, mendung di wajah saya agaknya jelas ketara. Usai mesyuarat, saya diajukan soalan...'something wrong my dear?'. Saya hanya mampu tersenyum pahit.

Saya masuk ke bilik yang bertanya. Sebaik saya labuhkan punggung ke kerusi empuk di hadapannya, dia berkata, 'I guarantee you... You will be happier if you are with us.' terkedu saya. Apakah maksudnya?

'What does that mean?'

'I am offering you a position in this organisation. Join us. I want you here. We all do.'

Ternganga mulut saya. Apakah?

Subhanallah. Alhamdulillah. Allah hu akbar.

Saya pulang dengan senyuman. Panjang. Dari telinga sampai telinga.

Sampai di rumah, saya dapat BBM. 'Sis, we have to finalise our paper. They want it by tomorrow. We will fly high, darling!' aduuuhhh....susah untuk saya percaya.

Lepas solat Asar, saya terima email. 'Received your email in good order. Will proceed accordingly.'. Subhanallah. Sekali lagi saya tersenyum.

Bru sebentar tadi Boss tunjukkan email yang diterimanya. 'Sila hadir ke perbincangan ........'. Boss seperti tidak percaya. Saya apatah lagi....

Ya Allah.... Kau uji sedikit perasaanku untuk aku dekatkan diri padaMu. Hidangan enak kini terbentang di hadapanku.... Biarpun tidak sebesar mana menurut persepsi orang lain, apa yang Kau beri terlalu besar ertinya buatku.... Alhamdulillah...

Monday, March 19, 2012

Kenapa harus aku benci?

Benci yang amat sangat. itu adalah perasaan yang bersarang di hati saya terhadapnya. Kenapa? Kerana macam-macam. Saya sakit menghadapi kerenahnya. Tutur katanya meloyakan, tingkah lakunya memualkan, caranya mengampu dan membodek boleh saja merobek hati saya.

Sewajarnya saya benci dia kerana dia sentiasa menjadi 'blue eye boy' kepada sang penguasa. Dia saja yang dipuji melangit. Dia saja yang diberikan penghargaan. Dia diberi jawatan, gaji, pangkat.... Dan pelbagai keistimewaan lain. Kami yang lain hanya mendapat hampas.

Malam ini, saya melihat ke dalam diri. Saya benci dia. Dia juga benci saya. Makanya kami tidak boleh langsung berbincang. Tetapi saya punya banyak kelebihan berbanding dengannya. Dia tidak tahu menjual dan dia tidak mampu menjual. Dia perlukan saya. Adakah saya perlukan dia? Tidak sama sekali kerana saya ada ramai oranglain yang menyokong saya berdiri.

Sedang saya membantu Abo menyiapkan kerja rumahnya, saya terfikir.....Allah sudah menetapkan usia dan rezeki semua hamba ciptaanNya. Apa yang perlu saya bimbangkan? Perlukah saya pada penghargaan manusia? Ia kan hanya sementara....?

terkenang saya satu kisah....sekitar tahun 2009. Ada lebih 1000 kakitangan syarikat induk tempat saya bertugas dulu berkumpul mendengar amanat Pengarah Urusan. Saya tidak langsung menumpukan perhatian. Sibuk bersembang dengan kawan-kawan semeja. Tiba-tiba saya melihat semua mata bertumpu kepada saya. Dan saya juga dengar nama saya dipanggil oleh Datok RC dari atas pentas..... Beliau sedang mencari saya! Pelbagai pujian dan penghargaan yang Datuk RC beri kepada saya...hingga membuat hidung saya kembang kuncup...

Kini saya bertanya kepada diri.....bagaimana agaknya perasaan kakitangan yang lain? Apa agaknya kelebihan saya hingga mendapat perhatian sebegitu? Hebat sangatkah saya sedangkan orang lain ramai yang jauh lebih hebat. Adakah mereka yang hebat itu dihargai sepertimana saya? Terfikirkah saya ketika itu tentang perasaan rakan-rakan saya? Sama sekali tidak. Saya rasa bangga, besar diri dan gembira sekali. Andai ada yang mencebik, saya katakan 'alah...standardlah...jealous!' Ohhhhh...... What goes around comes around.... Hari ini hari dia. Hari esok entah siapa yang punya...

Sabarlah duhai hati. Lakukanlah segalanya dengan ikhlas, kerana Allah, demi mencari rezeki buat anak-anak.... Mudah-mudahan Allah menghargai segala usaha saya...itu saja yang saya mahu.

Monday, March 12, 2012

Miskin Tegar

Saya berpeluang bekerja dengan sebuah NGO yang membantu golongan miskin tegar. Saya mendapat maklumat yang tepat tentang maksud miskin tegar. Pendapatan keluarga kurang dari RM460 sebulan dinamakan miskin tegar. Kerajaan membantu mereka di dalam kelompok ini melalui agihan zakat, rakyat termiskin dan pelbagai lagi. Anak-anak mereka dibantu sejak dari sekolah rendah, ditempatkan di asrama, dan dilatih di pusat-pusat kemahiran dengan keseluruhan kos ditanggung oleh kerajaan.




Sambil mendengar penerangan NGO tentang usaha murni mereka ini, fikiran saya menerawang jauh....membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak saya. Terbayang wajah dua orang manusia berhati waja yang saya abadikan di atas, betapa bersungguhnya mereka yang hidup serba kekurangan, membesarkan sepuluh orang anak dengan menggunakan segala kudrat yang mereka ada.

Bapak seorang pemandu bas. Pada tahun 1942, sewaktu Bapak dalam darjah 5, Jepun masuk memerintah Malaysia. Bapak tidak dapat meneruskan persekolahan, makanya beliau bekerja di ladang getah. menjadi penoreh sehingga kulitnya menjadi gelap gelita. Tatkala beliau meningkat dewasa, Bapak bertukar kerjaya menjadi pemandu. Kedua-dua orangtua Bapak berasal dari tanah Jawa. Mereka berlabuh di Kelang dan meneroka tanah di kampung Meru, lalu jadilah Bapak antara penduduk asal Kg Meru yang kini telah berubah menjadi separa bandar. Semuanya ada di sana.

Bapak menjadi pemandu hingga pencen. Kami adik beradik sering mengusik Bapak dengan berkata begini: "Pangkat Bapak DSP - iaitu Drebar Sampai Pencen". Seorang yang jarang berkata-kata, hanya senyuman manis terukir di bibirnya. Saya tidak pernah tahu berapa gaji Bapak, yang pasti, sewaktu di universiti, saya bawa slip pencen Bapak ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk mendapatkan biasiswa, terkejut saya melihat gaji pokok Bapak....RM280.

Saya anak ke lapan. Bapak cuma ada motosikal Vespa; BW248. Saya bangga menjadi pembonceng motosikal hijau tersebut. Sesekali Bapak bawa balik bas ke rumah. Saya dan keluarga dapat menikmati percutian ke Johor Baru, Cameron Highland, Ipoh dan banyak tempat lagi, dengan menaiki bas......

Sebelum pencen, Bapak tidak lagi membawa bas, sebaliknya menjadi pemandu peribadi seorang Ketua Pengarah. Dapatlah kami kemudiannya menaiki kereta besar.... lupa saya nombor pletnya....

Seingat saya, saya jarang jumpa Bapak sewaktu saya kecil. Beliau bekerja dan bekerja. Sesekali cuti, Bapak akan ke kebun. Saya menimba pengalaman menabur baja, menanam jagung, menoreh getah, menebas, meracun rumput....sejak kecil, bersama abang-abang dan kakak-kakak saya.... Sesekali Bapak bawa kami menonton wayang. Ada satu ketika Bapak pinjam kereta MINI. Kami menonton wayang "Permintaan Terakhir". Sekali keluar dari kereta, berderet-deret. Agaknya ada lapan orang dalam MINI tersebut.....

Baju baru hanya di hariraya. Dipadankan dengan kasut sekolah. Namun Bapak amat prihatin dengan persekolahan kami. Beliau pastikan kami semua jadi ahli sukan. Itu juga antara cara untuk kami mendapat perhatian guru-guru sekolah. Seingat saya, saya mendapat BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) sejak darjah 5. Abang saya mendapat biasiswa sukan. Ada yang mendapat tajaan dari beberapa agensi juga. Subhanallah.

Seorang lagi manusia hebat ialah Mak. Beliau sentiasa di samping Bapak. Membesarkan sepuluh anak dengan segala kekurangan dan mengharungi segala kepayahan. Namun tidak pernah mengeluh. Mak tidak pernah merasa bersekolah. Seawal usia 16 tahun, Mak menjadi isteri Bapak yang setia. Kami sering disajikan dengan pelbagai resipi yang diinovasikan. Roti yang sudah keras Bapak bawa balik - lalu Mak kukus. Gulai ayam yang berlebihan Bapak bawa balik, lalu Mak cuci dan goreng. Telor rebus menjadi pelbagai jenis lauk. Mak tanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan. Ada yang kami makan sendiri, banyaknya untuk dijual. Mak pelihara ayam beratus-ratus ekor. Kami jual telor ayam di kedai, dan ada juga orang datang membelinya terus dari kami. Duitnya kami jadikan belanja sekolah. Lempeng yang tidak habis dimakan mak goreng jadikan Char kuey teow....

Mak menoreh getah di beberapa kebun orang. Kamilah pembantu-pembantunya. Dengan hasil jualan getah, Mak bekalkan kami duit. Itulah juga duit untuk beli makanan di rumah, duit naik bas, duit beli buku, beli baju.... Rumah kami tiada elektrik dan air paip, sehingga saya di sekolah menengah. Untuk menonton TV kami akan berbasikal ke rumah nenek saya. Kami gosok baju dengan seterika arang... Kami baca buku gunakan lampu gasolin ataupun lampu pelita....Mak masak pakai dapur kayu, kemudian dapur minyak....dan akhirnya baru dapur gas...

Mak jual kuih di merata-rata. Macam-macam jenis kuih. Mak juga ambil upah mengurut orang. Selalu juga rumah kami jadi macam klinik. Salah urat, terseliuh, patah, deman, kena sampuk....

Bila saya kenangkan Mak dan Bapak, mereka miskin harta tetapi mereka kaya ilmu, kaya usaha, kaya doa dan kaya jiwa. Kami dirotan jika ponteng kelas mengaji. Kami tidak dibenarkan berkawan dengan rakan-rakan kampung kerana kami orang miskin dan Mak tidak mahu kami terpengaruh dengan pergaulan yang salah. Kami bekerja siang dan malam, membantu Mak dan Bapak mencari duit, demi sebuah kehidupan.

Alhamdulillah. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang melalui pengalaman menakjubkan. Dilahirkan dalam keluarga miskin, namun saya TIDAK pernah merasa yang saya miskin. Biarpun tanpa baju cantik, atau kasut jalan, saya tidak pernah merasa tersisih. Kami berjaya dalam pelajaran, sukan dan kemahiran hidup.....

Allah Ya Allah....berilah Mak dan Bapak kehidupan yang bahagia di sana.... Sesungguhnya mereka berdua adalah lambang kekuatan jiwa dan keyakinan tinggi yang tiada tolok bandingnya...... Subhananllah.

Tuesday, March 6, 2012

Mahal yang tiada harga....

Bercuti adalah sesuatu yang amat dinanti oleh semua orang yang bekerja. Apatah lagi jika bercuti di tempat yang indah, mahal, romantik, dan macam-macam lah lagi.

Port Dickson merupakan satu tempat yang sering kami knjungi untuk bercuti. Sejak kecil saya sudah kenali Teluk Kemang, dan bila besar saya kenal banyak hotel di Port Dickson...

Antara hotel yang ingin saya diami ialah Avilion, chalet yang dibina di atas air. Pemandangn ndah dan mewah menarik perhatian. Saya berpeluang membawa keluarga ke Avilion baru-baru ini. Alangkah bertuahnya jika ia adalah untuk bercuti! Brainstorming session nama diberi.... Ia amat memenatkan tubuh dan minda.

Dari pagi hingga ke malam kami memecahkan kepala....(sepertinya) dan bersambung lagi di keesokan harinya.... Tepu otak terasa. Sejuk pendingin hawa di dalam bilik seminar menggigit hingga ke tulang temulang.

Saya masuk ke bilik hanya untuk mandi, solat, berehat sebentar dan tidur.... Itupun bukan tidur yang lena. Anak-anak mnikmati keindahan dan keseronokan, tetapi mereka lebih mengharapkan keindahan dan keseronokan yang boleh dikongsi dengan mama mereka.....yang merana menjeruk hati bersama rakan-rakan sekerja.

Teringat percutian kami di Bukit Fraser di bulan Jun tahun lalu. Empat keluarga bersama anak-anak tinggal di dalam sebuah rumah kecil berbilik tiga. Satu katil dikongsi berdua, bertiga.... Satu bilik air digunakan oleh lebih 20 orang! Makan berebut, apapun yang dihidang semuanya licin.... Daun salad dimakan dengan kuah pecal, lamb chop dimakan di tengah padang, berkayuh, bergaya seakan Kajol dan Shah Rukh Khan, memanah angin seolah Robin Hood.... Kami ketawa, tersenyum, bersorak, bergembira dan amat menghargai segala yang ada di situ..... Kuaci menjadi pengikat antara kami. Dari pagi hingga ke malam, di mana sahaja.

Mahal bukan penanda aras kegembiraan. Murah bukan penanda kemiskinan. Asalkan dikelilingi mereka yang berkasih sayang, bergambar di depan sang kuda pun kelihatan romantis.... Tidak perlu pemandangan menarik, di tepi sungai pun senyuman lebar kelihatan di lensa kamera....

Saya rindukan kemesraan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Saya kurang berminat dengan hipokrasi dan kedudukan materi. Apalagi birokrasi.

Semoga Tuhan memberi peluang untuk saya mencapai kebebasan untuk tersenyum di mana sahaja tanpa perlu berada dalam kelompok hipokrasi dan birokrasi, tetapi sentiasa mempunyai sumber untuk membayar harga yang ditawarkan, tidak kira berapa tinggi pun ia!

Amin.

Saturday, March 3, 2012

Battle Cry

Pagi tadi diadakan acara sukan tahunan Integrated Islamic School Shah Alam. Majlis perasmian dilakukan oleh YBhg Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Ahmad Mustapha.

Sedang saya mencari-cari tempat yang sesuai untuk melabuhkan punggung, Teacher Fari, pengarah eksekutif ISSA yang juga founder kepada ISSA dan Little Khalif, menghulurkan fail kepada saya. 'My Battle Cry judge is late. I want you to be one of the judges. But please do not bias.'

Saya terpinga-pinga. Lalu saya tanya, 'my boy take part ke?'

'Of course.' Oh....
Selepas perbarisan masuk dan upacara perasmian, Battle Cry pun dimulakan. Empat buah rumah mengambil bahagian, merah, kuning, hijau dan biru.

Markah diberi berdasarkan kreativiti, keseragaman, pakaian dan lain-lain. Anak-anak kecil di tengah padang yang becak dan berlumpur bersungguh-sungguh menjiwai peranan mereka. Mereka berlakun, ber'hakka', bertepuk dan bersorak kemenangan.

Selepas dua pasukan, atlit rumah hijau masuk ke tengah gelanggang. Mereka menamakan rumah mereka Salahuddin Al-Ayubi, sempena nama kesatria yang digeruni oleh Barat semasa Perang Salib, berjaya merebut Baitul Muqaddis dari tangan pemerintah Kristian dan mengalahkan musuh-musuh Islam yang banyak membunuh orang-orang Islam dan menyerang kabilah-kabilah yang mahu mengerjakan haji di Laut Merah.

Sambil berlari, bertempur, bersilat, diiringi dengan deklamasi sajak dalam bahasa Inggeris dan Melayu, anak-anak ini kelihatan sungguh bersemangat. Entah mengapa, hati saya merasa cukup sayu, bangga, terharu, sebak, dan berbagai rasa yang tidak dapat saya gambarkan. Airmata saya deras mengalir, mengenangkan begitu sekali pejuang bernama Salahuddin ini berjuang bermati-matian menegakkan syiar Islam dan merampas kembali kegemilangan Masjid AlAqsa dari tangan orang kafir setelah beratus tahun Islam kehilangannya. Salahuddin juga diceritakan meninggal tanpa meninggalkan harta, kecuali beberapa dinar di dalam peti simpanannya, walhal baginda seorang Sultan yang memerintah dan pejuang yang digeruni oleh seluruh benua Eropah. Menurut sejarah, Salahuddin sentiasa bersedekah dan mendermakan hartanya kepada rakyatnya yang miskin. Timbul soalan di hati kecil saya, 'apakah sumbanganku kepada perjuangan Islam? Apa yang aku usahakan untuk membebaskan bumi Palestin? Syria, Libya, Afghanistan?'

Tepukan gemuruh diterrima oleh rumah hijau. Saya seka airmata yang masih mengalir di pipi. Saya berdoa semoga Allah pelihara anak-anak kecil di tengah padang yang sedang bercerita tentang seorang pejuang hebat itu. Di celah-celah mereka yang begitu bersemangat itu, saya lihat wajah si comel saya yang kemerahan-merahan pipinya, menjiwai setiap patah lagu yang dinyanyikan, tepukan dan sorakan suara mereka begitu lantang dan penuh semangat juang.

Selepas beberapa acara lainnya, akhirnya keputusan yang dinantikan tiba. Saya berdebar menanti pemenang Battle Cry. Termasuk saya, ada 4 juri lain yang menilai persembahan hebat anak-anak ini.

Menjerit kesemua yang hadir tatkala Teacher Fari mengumumkan bahawa pemenang Battle Cry ISSA 2012 adalah rumah hijau. Kesemua ahli pasukan rumah hijau meluru ke arah Teacher Fari dan bersorak gembira. Guru-guru rumah hijau berpelukan sesama mereka. Saya juga bersorak riang....

Sempat saya ucapkan tahniah kepada guru-guru muda yang hebat ini. Saya beritahu mereka, 'sebagai juri, saya ingin you all tahu bahawa persembahan rumah hijau memang hebat. Tahniah. Andaikata Naufal bukan di dalam pasukan ini, rumah hijau tetap akan menang. Saya menangis ketika menyaksikan persembahan ini. Kalau sebagai penonton, saya hanya menyaksikan, tetapi sebagai juri, saya perlu berada bersama persembahan. Saya menjiwai dan merasai apa yang dipersembahkan. Tahniah sekali lagi.'

Subhanallah. Tiada puji selain pujian kepadaNya. Semoga semangat juang Salahudin AlAyubi, Salman Al Farisi, Khalid Al Walid, Hamzah dan ramai lagi pejuang Islam sentiasa berada dalam anak-anak kecil yang bakal menjadi Khalifah dan memimpin dunia ini satu hari nanti. Amin.