Saturday, March 24, 2012

Demam peperiksaan

Setelah sekian lama tidak duduk menghadap soalan peperiksaan, Pagi tadi, saya dan Boss mengambil peperiksaan akhir semester satu sijil usuluddin kami.

Bukan sengaja tidak mahu mengulangkaji awal. Kekangan masa dan jumlah tugasan yang banyak akhirnya memaksa saya belajar sewaktu menunggu masa untuk bermesyuarat, di dalam kereta sewaktu berhenti di lampu isyarat, di waktu rehat makan tengahari dan tentu sekali sebelum melelapkan mata....

Pagi tadi, saya dan Boss keluar rumah seawal pukul 430 pagi untuk ke masjid. Kami duduk sambil berbincang apa yang telah masing-masing ulangkaji. Kami merasa satu nikmat yang belum pernah kami rasa - mengulangkaji dan berbincang sebagai pasangan kekasih dan rakan sekelas untuk peperiksaan di dalam masjid! Selesai solat subuh, kami ke kedai mamak untuk mengisi perut, kemudian singgah ke surau berhampiran untuk melegakan rasa kecut dan seram sejuk yangvmengganggu perut dan kemudiannya kami duduk di dalam kereta di perkarangan Sekolah Rendah Agama Seksyen 3 menanti tibanya waktu peperiksaan bermula sejam setengah lagi....

Tiba waktu yang dinanti. Debaran semakin kencang. Perut semakin bergelodak. Saya rasa satu benda pun saya tak ingat. Boss mula gelabah. Lalu dia mula mengusik pelajar-pelajar di kiri kanannya. Brother Badiuzzaman yang duduk di sebelah Boss membuat semua orang tergelak besar bila tiba-tiba dia berkata "aduh...kenapa rasa macam nak terk*****g ni....? Dok ambik exam Masters tak seriau macam ni?"

Selepas menerima arahan dan kertas soalan dan jawapan, dengan lafaz Bismillah, kami pun memulakan sesi menjawab...... Sedar tak sedar, dua jam setengah berlalu pantas. Penat jari menulis. Tulisan jadi macam cakar ayam. Saya dapat rasakan geraf adrenalin saya menurun sedikit demi sedikit hingga akhirnya saya merasa cukup lega kerana dapat menjawab kesemua soalan. Betul atau tidak, tinggi atau rendah markah yang bakal diperolehi bukan menjadi matlamat saya.

Saya bersyukur kerana saya diberi peluang untuk menuntut satu cabang ilmu yang sepatutnya sudah lama saya terokai dan pelajari secara formal.. Kelalaian dan kealpaan membuai dan menghanyutkan saya dalam keindahan dunia. Ilmu dari barat menjadi titik fokus saya. Biarpun saya terpaksa bermula dengan bertatih dan merangkak, saya pasti langkah yang saya ambil akan memberi kebaikan kepada diri saya dan keluarga saya, jika tidak masyarakat secara menyeluruh. Ada yang bergurau mengatakan saya sibuk hendak menjadi ustazah, ada juga yang kata masa muda-muda dulu tak mau belajar, dah tua bar nak kalut, ada yang skeptikal dengan kemampuan saya memenuhi komitmen... Sesungguhnya saya seronok menghabiskan masa saya membaca buku dan nota yang berkaitan.. Tidak perlu saya jawab apa akan saya lakukan dengan sijil saya nanti.... Di usia sebegini, Saya bukan mereka yang perlukan sijil untuk mendapat pekerjaan.... Doakan saya terus tabah dan kuat menghadapi sebarang kesulitan yang berkaitan demi mempelajari ilmu Allah yang terlalu luas.......

2 comments:

KAMATO said...

Tahniah, semoga beroleh markah yg tinggi

Suria Klang said...

Thanks Bro. Keputusan nanti hanya Gagal atau Lulus sahaja......