Sedang saya mencari-cari tempat yang sesuai untuk melabuhkan punggung, Teacher Fari, pengarah eksekutif ISSA yang juga founder kepada ISSA dan Little Khalif, menghulurkan fail kepada saya. 'My Battle Cry judge is late. I want you to be one of the judges. But please do not bias.'
Saya terpinga-pinga. Lalu saya tanya, 'my boy take part ke?'
'Of course.' Oh....
Selepas perbarisan masuk dan upacara perasmian, Battle Cry pun dimulakan. Empat buah rumah mengambil bahagian, merah, kuning, hijau dan biru.
Markah diberi berdasarkan kreativiti, keseragaman, pakaian dan lain-lain. Anak-anak kecil di tengah padang yang becak dan berlumpur bersungguh-sungguh menjiwai peranan mereka. Mereka berlakun, ber'hakka', bertepuk dan bersorak kemenangan.
Selepas dua pasukan, atlit rumah hijau masuk ke tengah gelanggang. Mereka menamakan rumah mereka Salahuddin Al-Ayubi, sempena nama kesatria yang digeruni oleh Barat semasa Perang Salib, berjaya merebut Baitul Muqaddis dari tangan pemerintah Kristian dan mengalahkan musuh-musuh Islam yang banyak membunuh orang-orang Islam dan menyerang kabilah-kabilah yang mahu mengerjakan haji di Laut Merah.
Sambil berlari, bertempur, bersilat, diiringi dengan deklamasi sajak dalam bahasa Inggeris dan Melayu, anak-anak ini kelihatan sungguh bersemangat. Entah mengapa, hati saya merasa cukup sayu, bangga, terharu, sebak, dan berbagai rasa yang tidak dapat saya gambarkan. Airmata saya deras mengalir, mengenangkan begitu sekali pejuang bernama Salahuddin ini berjuang bermati-matian menegakkan syiar Islam dan merampas kembali kegemilangan Masjid AlAqsa dari tangan orang kafir setelah beratus tahun Islam kehilangannya. Salahuddin juga diceritakan meninggal tanpa meninggalkan harta, kecuali beberapa dinar di dalam peti simpanannya, walhal baginda seorang Sultan yang memerintah dan pejuang yang digeruni oleh seluruh benua Eropah. Menurut sejarah, Salahuddin sentiasa bersedekah dan mendermakan hartanya kepada rakyatnya yang miskin. Timbul soalan di hati kecil saya, 'apakah sumbanganku kepada perjuangan Islam? Apa yang aku usahakan untuk membebaskan bumi Palestin? Syria, Libya, Afghanistan?'
Tepukan gemuruh diterrima oleh rumah hijau. Saya seka airmata yang masih mengalir di pipi. Saya berdoa semoga Allah pelihara anak-anak kecil di tengah padang yang sedang bercerita tentang seorang pejuang hebat itu. Di celah-celah mereka yang begitu bersemangat itu, saya lihat wajah si comel saya yang kemerahan-merahan pipinya, menjiwai setiap patah lagu yang dinyanyikan, tepukan dan sorakan suara mereka begitu lantang dan penuh semangat juang.
Selepas beberapa acara lainnya, akhirnya keputusan yang dinantikan tiba. Saya berdebar menanti pemenang Battle Cry. Termasuk saya, ada 4 juri lain yang menilai persembahan hebat anak-anak ini.
Menjerit kesemua yang hadir tatkala Teacher Fari mengumumkan bahawa pemenang Battle Cry ISSA 2012 adalah rumah hijau. Kesemua ahli pasukan rumah hijau meluru ke arah Teacher Fari dan bersorak gembira. Guru-guru rumah hijau berpelukan sesama mereka. Saya juga bersorak riang....
Sempat saya ucapkan tahniah kepada guru-guru muda yang hebat ini. Saya beritahu mereka, 'sebagai juri, saya ingin you all tahu bahawa persembahan rumah hijau memang hebat. Tahniah. Andaikata Naufal bukan di dalam pasukan ini, rumah hijau tetap akan menang. Saya menangis ketika menyaksikan persembahan ini. Kalau sebagai penonton, saya hanya menyaksikan, tetapi sebagai juri, saya perlu berada bersama persembahan. Saya menjiwai dan merasai apa yang dipersembahkan. Tahniah sekali lagi.'
Subhanallah. Tiada puji selain pujian kepadaNya. Semoga semangat juang Salahudin AlAyubi, Salman Al Farisi, Khalid Al Walid, Hamzah dan ramai lagi pejuang Islam sentiasa berada dalam anak-anak kecil yang bakal menjadi Khalifah dan memimpin dunia ini satu hari nanti. Amin.
No comments:
Post a Comment