Saya berpeluang bekerja dengan sebuah NGO yang membantu golongan miskin tegar. Saya mendapat maklumat yang tepat tentang maksud miskin tegar. Pendapatan keluarga kurang dari RM460 sebulan dinamakan miskin tegar. Kerajaan membantu mereka di dalam kelompok ini melalui agihan zakat, rakyat termiskin dan pelbagai lagi. Anak-anak mereka dibantu sejak dari sekolah rendah, ditempatkan di asrama, dan dilatih di pusat-pusat kemahiran dengan keseluruhan kos ditanggung oleh kerajaan.
Sambil mendengar penerangan NGO tentang usaha murni mereka ini, fikiran saya menerawang jauh....membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak saya. Terbayang wajah dua orang manusia berhati waja yang saya abadikan di atas, betapa bersungguhnya mereka yang hidup serba kekurangan, membesarkan sepuluh orang anak dengan menggunakan segala kudrat yang mereka ada.
Bapak seorang pemandu bas. Pada tahun 1942, sewaktu Bapak dalam darjah 5, Jepun masuk memerintah Malaysia. Bapak tidak dapat meneruskan persekolahan, makanya beliau bekerja di ladang getah. menjadi penoreh sehingga kulitnya menjadi gelap gelita. Tatkala beliau meningkat dewasa, Bapak bertukar kerjaya menjadi pemandu. Kedua-dua orangtua Bapak berasal dari tanah Jawa. Mereka berlabuh di Kelang dan meneroka tanah di kampung Meru, lalu jadilah Bapak antara penduduk asal Kg Meru yang kini telah berubah menjadi separa bandar. Semuanya ada di sana.
Bapak menjadi pemandu hingga pencen. Kami adik beradik sering mengusik Bapak dengan berkata begini: "Pangkat Bapak DSP - iaitu Drebar Sampai Pencen". Seorang yang jarang berkata-kata, hanya senyuman manis terukir di bibirnya. Saya tidak pernah tahu berapa gaji Bapak, yang pasti, sewaktu di universiti, saya bawa slip pencen Bapak ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk mendapatkan biasiswa, terkejut saya melihat gaji pokok Bapak....RM280.
Saya anak ke lapan. Bapak cuma ada motosikal Vespa; BW248. Saya bangga menjadi pembonceng motosikal hijau tersebut. Sesekali Bapak bawa balik bas ke rumah. Saya dan keluarga dapat menikmati percutian ke Johor Baru, Cameron Highland, Ipoh dan banyak tempat lagi, dengan menaiki bas......
Sebelum pencen, Bapak tidak lagi membawa bas, sebaliknya menjadi pemandu peribadi seorang Ketua Pengarah. Dapatlah kami kemudiannya menaiki kereta besar.... lupa saya nombor pletnya....
Seingat saya, saya jarang jumpa Bapak sewaktu saya kecil. Beliau bekerja dan bekerja. Sesekali cuti, Bapak akan ke kebun. Saya menimba pengalaman menabur baja, menanam jagung, menoreh getah, menebas, meracun rumput....sejak kecil, bersama abang-abang dan kakak-kakak saya.... Sesekali Bapak bawa kami menonton wayang. Ada satu ketika Bapak pinjam kereta MINI. Kami menonton wayang "Permintaan Terakhir". Sekali keluar dari kereta, berderet-deret. Agaknya ada lapan orang dalam MINI tersebut.....
Baju baru hanya di hariraya. Dipadankan dengan kasut sekolah. Namun Bapak amat prihatin dengan persekolahan kami. Beliau pastikan kami semua jadi ahli sukan. Itu juga antara cara untuk kami mendapat perhatian guru-guru sekolah. Seingat saya, saya mendapat BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) sejak darjah 5. Abang saya mendapat biasiswa sukan. Ada yang mendapat tajaan dari beberapa agensi juga. Subhanallah.
Seorang lagi manusia hebat ialah Mak. Beliau sentiasa di samping Bapak. Membesarkan sepuluh anak dengan segala kekurangan dan mengharungi segala kepayahan. Namun tidak pernah mengeluh. Mak tidak pernah merasa bersekolah. Seawal usia 16 tahun, Mak menjadi isteri Bapak yang setia. Kami sering disajikan dengan pelbagai resipi yang diinovasikan. Roti yang sudah keras Bapak bawa balik - lalu Mak kukus. Gulai ayam yang berlebihan Bapak bawa balik, lalu Mak cuci dan goreng. Telor rebus menjadi pelbagai jenis lauk. Mak tanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan. Ada yang kami makan sendiri, banyaknya untuk dijual. Mak pelihara ayam beratus-ratus ekor. Kami jual telor ayam di kedai, dan ada juga orang datang membelinya terus dari kami. Duitnya kami jadikan belanja sekolah. Lempeng yang tidak habis dimakan mak goreng jadikan Char kuey teow....
Mak menoreh getah di beberapa kebun orang. Kamilah pembantu-pembantunya. Dengan hasil jualan getah, Mak bekalkan kami duit. Itulah juga duit untuk beli makanan di rumah, duit naik bas, duit beli buku, beli baju.... Rumah kami tiada elektrik dan air paip, sehingga saya di sekolah menengah. Untuk menonton TV kami akan berbasikal ke rumah nenek saya. Kami gosok baju dengan seterika arang... Kami baca buku gunakan lampu gasolin ataupun lampu pelita....Mak masak pakai dapur kayu, kemudian dapur minyak....dan akhirnya baru dapur gas...
Mak jual kuih di merata-rata. Macam-macam jenis kuih. Mak juga ambil upah mengurut orang. Selalu juga rumah kami jadi macam klinik. Salah urat, terseliuh, patah, deman, kena sampuk....
Bila saya kenangkan Mak dan Bapak, mereka miskin harta tetapi mereka kaya ilmu, kaya usaha, kaya doa dan kaya jiwa. Kami dirotan jika ponteng kelas mengaji. Kami tidak dibenarkan berkawan dengan rakan-rakan kampung kerana kami orang miskin dan Mak tidak mahu kami terpengaruh dengan pergaulan yang salah. Kami bekerja siang dan malam, membantu Mak dan Bapak mencari duit, demi sebuah kehidupan.
Alhamdulillah. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang melalui pengalaman menakjubkan. Dilahirkan dalam keluarga miskin, namun saya TIDAK pernah merasa yang saya miskin. Biarpun tanpa baju cantik, atau kasut jalan, saya tidak pernah merasa tersisih. Kami berjaya dalam pelajaran, sukan dan kemahiran hidup.....
Allah Ya Allah....berilah Mak dan Bapak kehidupan yang bahagia di sana.... Sesungguhnya mereka berdua adalah lambang kekuatan jiwa dan keyakinan tinggi yang tiada tolok bandingnya...... Subhananllah.
No comments:
Post a Comment