Sunday, December 21, 2014

Kawan Ketawa; kawan menangis


Kisah semalam.

Saya pernah menulis kisah di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Bahagia dikelilingi sahabat-sahabat yang sangat setia bersama.

Semalam, kami diberi kesempatan berkumpul dan bergembira bersama. Subhanallah! Dua puloh orang... Rahimah, Chek Puziah, Suraya, Maznah, Azizah, Rashidah, Roslina, Zahureen, Suhana, Norasni, Fairoz, Rosmawati, Norshida, Christy, Jasmin, Situ Khadzimah, Zuraidah, Rosnah, Siew Choo dan saya, Suria.

Riuh rendah coffee house di Hotel Concorde... 

Antara topik hangat perbualan selepas terpisah hampir 33 tahun:

1. Berapa anak sekarang?
2. Anak yang tua besar mana dah?
3. Dah bercucu?
4. Dah bermenantu?
5. Dah pegi haji?
6. Duduk mana?
7. Hang ingat lagi tak Cikgu tu? Cikgu ni?
8. Hang ingat dak aku kena dera dek OC?
9. Kakak senior yang garang nak mampos tu apa nama? Kat mana dia sekarang?
10. Eh... Si fulan tu kawin dengan budak kelas tu la!!! Ha???
11. Si A dah dapat PhD. B tengah buat. C dah jadi lady of leisure, kau!
12. Awat hang tak kawin dengan mamat tu? Mamat ni? Eh ramainya bekas hang!
13. Dia dah divorced? Masa kita buat gathering sebelum ni bukan main lovey dovey lagi?
14. Laaa... Hang dok sinun? Dekat je dengan rumah aku?
15. Awat hang boleh kembang sampai gini? Hang makan la ubat ni... Bagus tau aku ambik!
16. Ko tengok gambar ni! Toye giler! Kurus kering macam orang tak cukup makan!
17. Camana nak kurus wey?
18. Hang banyak uban dak?
19. Aku tak tau camana nak buang jeragat aku ni!
20. Dia tu abang angkat hang kan? Mana dia la ni?

Selepas beberapa ketika, masing-masing mula bercerita tentang:

1. Aku dah makan ubat darah tinggi
2. Kencing manis aku tinggi
3. Kolesterol aku tinggi
4. Aku dah buang rahim
5. Alu buat mamogram dan doktor kata ada ketulan
6. Lutut aku ni dah tak de grease. Nak kena buat operation
7. Aku dah operate mata aku ni
8. Ini my second husband...

Kemudian bersambung lagi:

1. Tak sempat jumpa arwah. Dengar-dengar dah tak ada
2. Arwah tu meninggal sebab kanser. Yang sorang tu pun kanser. Eh... Arwah tu pun kanser juga la..
3. Jagalah kesihatan korang ye? Kalau sakit2 tu, jumpa doktor
4. Tak pun gi Darus Syifa


Sebelum berpisah, masing-masing:

1. Berpeluk
2. Mengalirkan airmata
3. Berjanji untuk bertemu kembali
4. Memohon maaf zahir dan batin andai ada kesilapan
5. Mengesat airmata sambil berkata dalam hati..."andai ini pertemuan terakhir kami... Temukan kami nanti di syurgaMu Ya Allah!"

Alhamdulillah. Saya tidak akan mendustakan nikmat yang Allah beri ini... Nikmat berkasih sayang hanya keranaNya. 


Monday, December 15, 2014

Hikmah di sebalik kejadian

Selalunya kita tertanya, apakah hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Sebagai seorang yang beriman dengan qada dan qadar, apapun yang berlaku adalah suratan. Ia tertulis sejak azali.

Andaikan kita dipertemukan dengan seseorang yang telah sekian lama hilang tanpa berita. Pastinya teruja. Segala kenangan muncul kembali. Bagaimana satu kisah itu bermula. Lalu kita impikan kenangan manis berulang kembali.

Allah mengatur sesuatu mengikut perancanganNya. Otak manusia yang dangkal tidak dapat menilai dengan serta merta apa di sebaliknya.

Begitu lah yang berlaku baru-baru ini. Saya terleka dengan kegembiraan yang seketika. Biarpun ia hanya perasaan saya semata, ia sedikit sebanyak berjaya mengalihkan perhatian kepada ilusi dari realiti.

Saya terpukul dengan suara hati.

Dalam doa, saya pohon agar Dia tunjukkan jalan yang diredhaiNya. Wajah lembut dan suara merdu sang arjuna menyedarkan saya dari lena yang panjang. Allah hu akbar! Saya lekas-lekas kembali berdiri teguh, mengukuhkan benteng keimanan agar tidak goyah lagi.

Itulah hikmahnya! Cinta saya semakin menebal. Kasih sayang saya semakin menggunung. Kesetiaan saya tidak berbelah bagi. Rindu saya semakin memuncak.

Izinkan saya terus berdoa untuk bersamanya di dunia dan di syurga. Jika di syurga nanti dia dikelilingi 70 bidadari yang cantik jelita, saya memohon Allah makbulkan doa saya untuk menjadi Ketua Bidadarinya. Yang paling cantik di antara semua.

Saya nyanyikan dalam hati; sambil memandang wajah kacak yang lena dibuai mimpi:

🎶Izinkan aku sayang
Menyintaimu selalu...🎶

Maafkan diri ini yang seringkali gagal untuk menilai kaca dan permata...

Sunday, December 14, 2014

Tenanglah di sana wahai Selina

Akhirnya dia pergi jua.

Selina Lafbred Jens Jalung, keturunan Bidayuh berasal dari Sibu. Lembut orangnya. Bahasanya tertib. Wajahnya cukup ayu. Kulit putih melepak dan sentiasa tersenyum.

Usianya belum pun 30 tahun. Tiga tahun lalu, beliau memberi khabar paling gembira kepada kami apabila beliau menyatakan hasrat mahu memeluk Islam. Setahun kemudian, beliau berkahwin dengan Arif yang tinggi budi bahasa.

Rejab 2013 beliau mengkhabarkan yang beliau akan mengerjakan umrah sepanjang Ramadhan. Tidak lama kemudian, beliau memberi khabar gembira lagi kepada kami. Beliau mengandung. Sepanjang tempoh hamil, Selina kuat, namun masuk bulan ketujuh, beliau mula sering sakit. Kami andaikan ia kerana kandungannya. Anak sulungnya dilahirkan pada bulan Julai 2014. Seminggu sebelum aidilfitri, Selina meminta GL untuk membuat MRI. Kami semua kehairanan. 

Seminggu selepas Aidilfitri, Selina menulis email kepada kami semua bahawa beliau telah didiagnos kanser usus tahap 4. Kami terkedu. Pembedahan dilakukan segera. 

Kami hanya mampu membantu sekadar yang mampu. Beliau masih menggagahkan diri datang ke pejabat biarpun dinasihatkan agar berehat saja di rumah. Kami hanya mampu melihat dan melayannya seolah-olah tiada apa yang berlaku. Itu permintaan beliau.

Sejak sebulan yang lalu, Selina dimasukkan ke wad. Pendarahan dan pelbagai komplikasi sudah menyerang tanpa belas kasihan.

Biarpun semangat juangnya begitu tinggi, takdir menentukan segalanya. Sebentar tadi, Selina pergi buat selama-lamanya. Meninggalkan semua, pergi mengadap Allah Yang Esa yang lebih menyayanginya.

Semoga Selina ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman. Mudah-mudahan kita bertemu nanti di syurga. 

Friday, December 12, 2014

Hikmah

Sungguh kita tidak tahu hikmah apakah yang ada di sebalik setiap kejadian. Sungguh hanya Dia yang tahu.

Namun dengan petunjukNya, pasti hikmah itu akan kita singkap. Mudah-mudahan akan lahir rasa syukur yang amat kerana Allah takdirkan sesuatu itu berlaku.

Saya gagal mengawal perasaan baru-baru ini. Ia halus. Rumit.

Lalu saya pohon dari Dia. Berhari-hari. Malah berminggu.

Doa. Doa. Doa.

Airmata memang sentiasa di hujung mata. Namun saya seka sebelum ia membasahi pipi.

Sakit. Sesak dada. Menghenyak perasaan.

Di dalam suasana hening. Di sini. Di ketika ini. Di antara azan dan qamat, tangan saya tadahkan. Memohon untuk kesekian kalinya agar dimakbulkan permintaan. Sambil fikiran menerawang ke dalam masalah yang bersarang.

Dengan izinnya, telafaz dari mulut "astaghfirullahilazim". Lalu tumpah airmata berjuraian dengan banyaknya.

Baru saya faham.

Sesungguhnya hikmah terbesar di sebalik kejadian adalah untuk saya menghadapinya dengan lapang dada. Ia menguatkan lagi diri saya. Keyakinan saya. Subhanallah! Ia menambahkan cinta buat permata hati saya.

Saya yakin tiada apa mampu menggugat keharmonian hidup ini. Bukan saya. Bukan dia.

Segala yang berlaku hanya dengan izinNya.

Syukur padaMu Ya Allah.

😭😭😭😭

Masjid UTM Jalan Semarak

Wednesday, December 10, 2014

Benci tapi Rindu



Bukan hanya sekedar penghibur
Diriku ini sayang
Bukan pula sekedar pelepas
Rindumu oh sayang
Sakit hatiku
Kau buat begini
Kau datang dan pergi
Sesuka hatimu
Oh... kejamnya dikau
Teganya dikau padaku
Kau pergi dan datang
Sesuka hatimu
Oh... sakitnya hati
Bencinya hati padamu
Sakitnya hati ini
Namun aku rindu
Bencinya hati ini
Tapi aku rindu

*****************

Saya tumpang kereta kawan. Dibuka radio dan saya dengar suara lunak Diana Nasution mengalunkan lagu di atas. Ia lagu yang menjadi siulan di kala saya remaja. Ia mengimbau kenangan lama. 

Saya terkenang kisah di kampung. Pergi ngaji adalah satu aktiviti yang dinanti setiap petang. Bertemu rakan-rakan amat mengujakan. Ada saja cerita baru.

Saya terkenang kisah di sekolah. Saya tersenyum sendiri. Saya rindukan gelak tawa dan gurau senda rakan-rakan. 

Kemudahan komunikasi masa kini memudahkan persahabatan lama terjalin kembali. Pelbagai group Whatssap diujudkan. Kumpulan sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, ofis, dan macam-macam lagi. 

Ada saja yang menjadi topik perbualan.

Dalam banyak babak dalam hidup saya, babak di TIKL 81/82 paling berwarna-warni. Ia berkait rapat dengan pelakon-pelakonnya. Apabila dikenang peristiwa lalu, kerinduan memuncak. Biarpun terasa seakan membenci, namun saya akui, ia mendewasakan.

Saya rindu awak 200%!

Thursday, December 4, 2014

Explode

...Musnahlah kini sumpah dan janji
Semua harapan hanya ilusi....

Dalam duka ada suka. Begitu banyak cabaran yang sedang ditempuh. Ia mendewasakan. Ia menuakan.

Tidak mudah untuk mengharungi segala kepayahan ini. Namun Allah tahu siapa yang boleh melaluinya.

Pelbagai tekanan melanda. Subhanallah. Andai goyah jiwa, musnah segala rasa.

Syukurlah. Saya masih mampu berdiri gagah dalam kepayahan. Airmata yang seakan mahu tumpah berlari kembali ke dasar mata. Di luar sana lebih ramai yang menanggung kesusahan.

*********************

Saya berdoa semoga Allah berikan kemudahan kepada rakan sepejabat kami yang sedang kesakitan di Institut Kanser Negara. Allah hu akbar. Sukarnya dia menghadapi kesakitan ini.

Selina, nama yang diberi oleh kedua ibubapanya yang beragama Kristian, kekal digunakan biarpun dia memilih untuk menjadi umat Muhammad. Kami sambut penghijrahannya dengan penuh kesyukuran.

Selepas beberapa ketika, Selina menjadi isteri kepada Arif yang tampan bergaya. Saya hadir di hari pernikahannya, menjadi salah seorang ahli keluarga Selina. Subhanallah. Nampak kebahagiaan yang terserlah.

Beberapa bulan kemudian, Seli menghantar borang cuti. Hadiah perkahwinan dari ibubapa mertuanya, menunaikan umrah sebulan Ramadhan. Bertuahnya dia mendapat hadiah istimewa itu. Ia impian hampir semua orang.

Sepulangnya dari tanah suci, Seli menukar gaya pakaiannya. Berhijab penuh dari hujung kepala sampai hujung kaki. Membawa berita gembira kepada kami semua. Akan lahir keturunan Melayu-Bidayuh yang pastinya comel dan bijak seperti ibu ayah.

Sepanjang kehamilan, Seli amat cergas. Tetapi tahap kesihatannya merosot hari demi hari. Masuk bulan ke tujuh, Seli semakin lemah. Kami andaikan ia kerana kelasakan anak yang dikandung.

Genap 9 bulan, lahirlah Adruce yang bulat dan tembam. Seli kembali ceria di hadapan kami yang melawat. Namun, mendung rupanya di hati. Seli dalam kesakitan. Doktor temui ketumbuhan di ususnya. Pembedahan perlu disegerakan.

Selepas sembuh dari luka pembedahan, Seli kembali ke pejabat dengan wajah gembira. Namun ia hanya seketika. Doktor mengesahkan sel kanser sudah berleluasa dalam badannya. Sudah merebak ke sana sini. Saya rujukkan Seli kepada sahabat-sahabat perawat DarusSyifa. Allah hu akbar. Keyakinan Seli kepada keajaiban Allah begitu tinggi.

Hakikatnya, badan Seli sudah sedia lemah. Secara fizikal sudah tidak mampu bertahan biarpun mindanya menidakkan. Sudah lebih sebulan beliau terlantar kesakitan. Sudah diinjek dengan dadah morfin yang paling tinggi dos nya. Rawatan kimo sudah tidak memberi kesan positif kepadanya lagi.

Kami hanya mampu berdoa, memohon Allah kurniakan yang terbaik buatnya dan keluarga. Rakan-rakan dari Darus Syifa tidak putus-putus menghadiahkan solat hajat, bacaan Yassin dan doa kepada Seli.

Betapa sucinya dia. Tidak sampai tiga tahun memeluk Islam, dapat mengerjakan umrah, dapat mengandungkan anak selama 9 bulan  dan melahirkan umat Muhammad....Biarpun tiada pertalian darah, ketika diuji dengan kesakitan, Seli sentiasa dikelilingi sahabat yang merupakan saudara-saudara seagamanya; yang berkasih sayang hanya kerana Allah.

**********************

Besar sangatkah ujian yang sedang saya hadapi sekarang ini dibandingkan dengan apa yang Seli hadapi?

Syukur padaMu Ya Allah kerana diriku masih terus Kau beri kekuatan untuk berjuang. Aku yakin dengan janjiMu.

Subahanallah.


Allen


...Kenangan demi kenangan
Menjelma kini
Kau hadir dalam bayangan
Mencipta seribu mimpi

Kau hulurkan satu kuntum yang
mekar mewangi
Sayang hanya seketika
Bunga layu hilanglah seri...

Ia indah untuk dikenang. Saya pernah menulis mengenainya satu ketika dulu. Alhamdulillah kami diberi kesempatan untuk bertemu kembali sebelum kami mengakhiri kehidupan di dunia yang fana ini. Pasti ada sebab kepada pertemuan semula ini. Hanya Dia yang maha mengetahui.

Berpuluh tahun berlalu, banyak yang tidak kami ketahui tentang satu sama lain. Biarlah ia menjadi misteri. Tiada siapa mahu menyingkap kisah silam. Apa pun  yang berlaku adalah suratan Yang Maha Esa.

Bagi saya, dia seorang manusia yang baik. Amat baik. Setahun cuma saya kenali dia, kemudian terpisah selama 33 tahun. Hari ini, selepas 34 tahun, saya mahu kekalkan di minda saya bahawa dia seorang yang baik.

Kepada Tuan Allen, terimakasih atas segala-galanya. Kebaikan Tuan akan saya kenang selagi hayat dikandung badan. Saya doakan kebahagiaan yang berkekalan di dunia dan akhirat buat Tuan dan keluarga. Semoga kita dapat berjiran di syurga nan indah nanti, agar kitta dapat berkenalan dengan lebih dekat lagi.