Thursday, December 4, 2014

Explode

...Musnahlah kini sumpah dan janji
Semua harapan hanya ilusi....

Dalam duka ada suka. Begitu banyak cabaran yang sedang ditempuh. Ia mendewasakan. Ia menuakan.

Tidak mudah untuk mengharungi segala kepayahan ini. Namun Allah tahu siapa yang boleh melaluinya.

Pelbagai tekanan melanda. Subhanallah. Andai goyah jiwa, musnah segala rasa.

Syukurlah. Saya masih mampu berdiri gagah dalam kepayahan. Airmata yang seakan mahu tumpah berlari kembali ke dasar mata. Di luar sana lebih ramai yang menanggung kesusahan.

*********************

Saya berdoa semoga Allah berikan kemudahan kepada rakan sepejabat kami yang sedang kesakitan di Institut Kanser Negara. Allah hu akbar. Sukarnya dia menghadapi kesakitan ini.

Selina, nama yang diberi oleh kedua ibubapanya yang beragama Kristian, kekal digunakan biarpun dia memilih untuk menjadi umat Muhammad. Kami sambut penghijrahannya dengan penuh kesyukuran.

Selepas beberapa ketika, Selina menjadi isteri kepada Arif yang tampan bergaya. Saya hadir di hari pernikahannya, menjadi salah seorang ahli keluarga Selina. Subhanallah. Nampak kebahagiaan yang terserlah.

Beberapa bulan kemudian, Seli menghantar borang cuti. Hadiah perkahwinan dari ibubapa mertuanya, menunaikan umrah sebulan Ramadhan. Bertuahnya dia mendapat hadiah istimewa itu. Ia impian hampir semua orang.

Sepulangnya dari tanah suci, Seli menukar gaya pakaiannya. Berhijab penuh dari hujung kepala sampai hujung kaki. Membawa berita gembira kepada kami semua. Akan lahir keturunan Melayu-Bidayuh yang pastinya comel dan bijak seperti ibu ayah.

Sepanjang kehamilan, Seli amat cergas. Tetapi tahap kesihatannya merosot hari demi hari. Masuk bulan ke tujuh, Seli semakin lemah. Kami andaikan ia kerana kelasakan anak yang dikandung.

Genap 9 bulan, lahirlah Adruce yang bulat dan tembam. Seli kembali ceria di hadapan kami yang melawat. Namun, mendung rupanya di hati. Seli dalam kesakitan. Doktor temui ketumbuhan di ususnya. Pembedahan perlu disegerakan.

Selepas sembuh dari luka pembedahan, Seli kembali ke pejabat dengan wajah gembira. Namun ia hanya seketika. Doktor mengesahkan sel kanser sudah berleluasa dalam badannya. Sudah merebak ke sana sini. Saya rujukkan Seli kepada sahabat-sahabat perawat DarusSyifa. Allah hu akbar. Keyakinan Seli kepada keajaiban Allah begitu tinggi.

Hakikatnya, badan Seli sudah sedia lemah. Secara fizikal sudah tidak mampu bertahan biarpun mindanya menidakkan. Sudah lebih sebulan beliau terlantar kesakitan. Sudah diinjek dengan dadah morfin yang paling tinggi dos nya. Rawatan kimo sudah tidak memberi kesan positif kepadanya lagi.

Kami hanya mampu berdoa, memohon Allah kurniakan yang terbaik buatnya dan keluarga. Rakan-rakan dari Darus Syifa tidak putus-putus menghadiahkan solat hajat, bacaan Yassin dan doa kepada Seli.

Betapa sucinya dia. Tidak sampai tiga tahun memeluk Islam, dapat mengerjakan umrah, dapat mengandungkan anak selama 9 bulan  dan melahirkan umat Muhammad....Biarpun tiada pertalian darah, ketika diuji dengan kesakitan, Seli sentiasa dikelilingi sahabat yang merupakan saudara-saudara seagamanya; yang berkasih sayang hanya kerana Allah.

**********************

Besar sangatkah ujian yang sedang saya hadapi sekarang ini dibandingkan dengan apa yang Seli hadapi?

Syukur padaMu Ya Allah kerana diriku masih terus Kau beri kekuatan untuk berjuang. Aku yakin dengan janjiMu.

Subahanallah.


No comments: