Sunday, December 14, 2014

Tenanglah di sana wahai Selina

Akhirnya dia pergi jua.

Selina Lafbred Jens Jalung, keturunan Bidayuh berasal dari Sibu. Lembut orangnya. Bahasanya tertib. Wajahnya cukup ayu. Kulit putih melepak dan sentiasa tersenyum.

Usianya belum pun 30 tahun. Tiga tahun lalu, beliau memberi khabar paling gembira kepada kami apabila beliau menyatakan hasrat mahu memeluk Islam. Setahun kemudian, beliau berkahwin dengan Arif yang tinggi budi bahasa.

Rejab 2013 beliau mengkhabarkan yang beliau akan mengerjakan umrah sepanjang Ramadhan. Tidak lama kemudian, beliau memberi khabar gembira lagi kepada kami. Beliau mengandung. Sepanjang tempoh hamil, Selina kuat, namun masuk bulan ketujuh, beliau mula sering sakit. Kami andaikan ia kerana kandungannya. Anak sulungnya dilahirkan pada bulan Julai 2014. Seminggu sebelum aidilfitri, Selina meminta GL untuk membuat MRI. Kami semua kehairanan. 

Seminggu selepas Aidilfitri, Selina menulis email kepada kami semua bahawa beliau telah didiagnos kanser usus tahap 4. Kami terkedu. Pembedahan dilakukan segera. 

Kami hanya mampu membantu sekadar yang mampu. Beliau masih menggagahkan diri datang ke pejabat biarpun dinasihatkan agar berehat saja di rumah. Kami hanya mampu melihat dan melayannya seolah-olah tiada apa yang berlaku. Itu permintaan beliau.

Sejak sebulan yang lalu, Selina dimasukkan ke wad. Pendarahan dan pelbagai komplikasi sudah menyerang tanpa belas kasihan.

Biarpun semangat juangnya begitu tinggi, takdir menentukan segalanya. Sebentar tadi, Selina pergi buat selama-lamanya. Meninggalkan semua, pergi mengadap Allah Yang Esa yang lebih menyayanginya.

Semoga Selina ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman. Mudah-mudahan kita bertemu nanti di syurga. 

No comments: