Haji 2010 KT 24
Tiap kali musim Haji tiba, tergambar jelas di ruang mata kisah Haji kami di tahun 2010.
Gambar ini diambil pada pukul 3 pagi. Kami baru sampai di Mekah selepas lebih 8 jam dari Madinah dengan bas. Masih jelas terbayang perjalanan yang kami lalui. Berhenti makan Nasi Arab di R&R dan mendapat pelbagai bekalan berupa makanan, minuman dan kitab dari pihak kerajaan Saudi dan syarikat korporat yang berebut mahu mendapat kebaikan dengan bersedekah kepada jemaah haji. Seingat saya, tarikhnya 24/10/10 dan hawa sejuk terasa menusuk hingga ke tulang.
Sampai di Hotel Abeer yang berdiri megah di belakang jam besar yang sedang dibina, (kini sudah tiada), kami letakkan bag dan terus menuju ke MasjidilHaram untuk menunaikan umrah. Agak sukar mulanya maklum pertama kali menolak Abang Nasir di atas kerusi roda.
Kami diarahkan tawaf di tingkat atas. (Mataf belum dibina waktu tu). Dalam sendu, esak dan tangis, kami cukupkan 7 pusingan tawaf. Elok pula Kak We terlupa samada dah cukup 7 pusingan atau baru 6. Maka berpusing lah lagi sekali. Satu kali pusingan lebih kurang 800 meter x 7 = 5.6 kilometer. Pergh!!!
Kami sambung dengan saie sebaik selesai mengerjakan solat sunat 2 rakaat selepas tawaf. Biarpun tumit terasa bagai mahu tanggal, semangat untuk menyiapkan secepat mungkin amat tinggi. Usai kami bertahallul, azan suboh berkumandang.
Haji adalah perjalanan paling bermakna dalam hidup seorang insan yang mengakui Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.
Masih jelas terbayang di kelopak mata setiap langkah yang diambil dan tempat-tempat yang dijejaki di sepanjang kembara menyucikan jiwa selama 46 hari itu.
Tidak banyak yang dapat dirakam dalam bentuk visual. Saya pasti Allah mahu saya kenang momen itu sendiri tanpa perlu dikongsi dengan orang lain.
Semoga ada kesempatan dan jemputan untuk kami ke sana lagi, dan lagi.
Amin.
No comments:
Post a Comment