Thursday, August 20, 2015

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Boss besar saya, Haji Naharuddin Mohd Zain amat meminati keindahan batu permata. Pada tahun 1995, beliau memulakan perniagaan barangan kemas di Klang. Melalui perniagaan itu, beliau tekun mendalami ilmu gemologi sehingga ke HongKong dan melalui pembacaannya dari buku-buku yang tidak terhitung bilangannya.

Apabila perniagaan yang dijalankan berkecai di tengah jalan akibat kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, Boss kehilangan punca. Stok yang banyak terpaksa digadai/dilebur bagi mendapatkan tunai untuk meneruskan kehidupan kami sekeluarga.

Sejak itu, Boss menjalankan pelbagai jenis perniagaan lain. Jual mainan, kraftangan, bunga, baju, tudung, kosmetik dan macam-macam lagi. Namun, minat dan kesungguhan dalam batu permata tidak pernah diketepikan, bertepatan dengan minatnya mengembara ke serata pelusuk dunia.
Andai berjalan ke mana pun, lampu suluh kecil, teropong dan tweezer sentiasa berada dalam poket beliau. Pantang nampak batu, beliau akan berhenti dan meneliti batu yang menarik perhatiannya hingga berjam-jam lamanya. Selalunya, beliau pasti membeli untuk dibawa balik. Matanya yang sensitif dengan warna, kualiti dan corak batu juga membolehkan beliau mengumpul baru bercorak unik yang jarang didapati.

Sejak tahun 2006, Boss membuka kedai yang diberi nama KrafDuniaDesign di Kompleks PKNS Shah Alam. Batu-batu permata adalah sebahagian dari produk yang dijualnya. Selain mengambil tempahan barangan kemas seperti cincin, gelang dan rantai mengikut desain kesukaan pelanggan, Boss juga menjadikan batu permata sebagai satu hasil seni. Ukiran di setiap barang kemas yang terhasil sentiasa berasaskan senihalus Melayu yang cukup halus dan berseni. Boss rajin (sekali sekala) menulis di blog nya yang sudah bersawang, www.towkeyemas.blogspot.com tentang batu-batu permata ini yang menjadi rujukan penggemar batu.

Alhamdulillah. Minat Boss sekian lama mendapat perhatian media massa bilamana beliau diintai oleh wartawan Harian Metro dan disiarkan hari ini 21/8/15 edisi nasional.

Semoga usaha Boss yang berterusan tanpa jemu mendapat keredhaan Allah.

---------
Permata untuk semua.

www.kedaibatuco.com


No comments: