Thursday, January 29, 2009

A humble millionaire

Di hotel tempat saya tinggal di sini, ada ramai orang Malaysia dan Singapura. Saya paling seronok dapat sembang dalam bahasa Melayu, selalunya waktu sarapan pagi.

Saya berkenalan dengan Mr Raman, yang berseluar pendek, bert-shirt buruk dan berselipar jepun. Mr Raman bekerja dalam sektor oil and gas.

Semalam, sekali lagi saya bertemu Mr Raman dan kami mula bersembang panjang. Beliau masih dalam gaya pakaiannya yang macam kat kampung. Mr Raman rupanya ada 6 buah syarikat di Malaysia, Singapura, India, Saudi, Emirates dan Afrika Selatan... Wow!!! Langsung tak de gaya!

Sembang punya sembang, terkeluarlah sikit2 tentang siapa mamat depan saya ni... Beliau anak estate dari Bota, sekolah hingga darjah enam, kemudiannya ke Singapura sebagai pengutip sampah. Beliau sekolah malam, dan mengambil kursus kejuruteraan mekanikal atas daya usahanya sendiri. Telah hampir 30 tahun beliau mengusahakan perniagaannya, dan kini beliau sedang menikmati hasil penat lelahnya...

Beliau tinggal di JB dan punya pelbagai jenis hartanah di Singapura, Langkawi dan di JB, rumah barunya di kawasan golf berharga lebih dari RM3 juta.... Namun, beliau cukup humble bila berbicara. Seringnya beliau ketawa dan asyik berkata bahawa apa yang beliau perolehi adalah disebabkan "Tuhan Alah' kesian dan sayang kat beliau....

Apa yang menarik perhatian saya ialah apabila beliau memberitahu bahawa beliau banyak mengambil anak2 estate, diberi latihan dalam bidang oil and gas dan kemudiannya mengubah warna kehidupan keluarga mereka. Bukan hanya satu dua bilangannya, lebih dari beratus2 yang telah mendapat kehidupan baru. Mr Raman tidak perlukan duit untuk dirinya sendiri, tetapi beliau perlukan duit untuk anak2 bangsanya yang tidak mampu menjalani kehidupan senang seperti bangsa lain di bumi Malaysia yang bertuah ini...

Tiada siapa mengenali Mr Raman.... Bukan Datuk, bukan YB, bukan alim ulama. Hanya lelaki biasa yang berjalan kaki, naik otto dan keretapi bersama orang kebanyakan untuk sentiasa mengingatkan dirinya tentang dari mana dia berasal....

Ohh....Itulah yang saya impikan.... Semoga saya mampu mencapai cita-cita ini...

P/S: Mr Raman sedang dalam perbincangan dengan sebuah syarikat US untuk menjual kepentingannya dalam syarikat 100% miliknya di Singapura dengan keuntungan bersih RM40 juta....! Uhukkkk Uhukkkk

Sunday, January 25, 2009

Proud of Abo by being a Little Caliph...

Seminggu ni anak2 berkumpul di rumah kerana cuti sekolah dan cuti semester. Semalam Nabilla menjemput bekas teman sebiliknya di Sarawak, Danna, yang sedang belajar di UiTM Shah Alam untuk tinggal di rumah kami.

Danna berasal dari kaum Bidayuh dan beragama Kristian. Kami memang sudah biasa dengannya dan kami anggap dia seperti anak sendiri. Namun, ini kali pertama Danna akan tinggal lama di rumah.

Abo agak keliru bila kami bersiap untuk keluar makan malam tadi:

"Kak Dee, where's your tudung?"

Kami hanya ketawa.

"Mommy and Akak Lala wear tudung. They are beautiful. You are not. You don't wear tudung."

Pagi tadi Abo menjalankan rutinnya:

"Abang Jimie, Abang Abey, AKak Lala, Akak Dee....!!!!!! Bangunnnn!!!!! Sembahyang!!!!!"

Danna hanya tersenyum sambil memaut Abo ke dalam pelukannya.

"Kenapa Kak Dee tak sembahyang? Tak tau ke nanti Tuhan marah????"

Kami sama2 ketawa. Abo praktikkan apa yang dia belajar di tadikanya. Beliau diasuh untuk menjadi Little Caliph...Kami bangga dengannya. Dia berdakwah dalam bahasanya... Mudah2an Allah menjadikan beliau seorang Big Caliph bila besar nanti...

To Danna, no matter who you are, you are my daughter....

Saturday, January 24, 2009

Next....What?

Seorang teman bertanya khabar saya. Sudah lama kami tidak catch-up with each other dan hanya sesekali kami ber-email atau pun ber-sms.

Saya jawab,"Alhamdulillah."

Sesungguhnya, kehidupan saya jauh lebih baik kini dibandingkan dengan setahun yang lalu. Banyak keperitan yang telah saya lalui bersama Boss dan anak-anak, dan berkat sabar dan redha, keperitan telah berjaya kami singkirkan ke tepi...

Lalu kawan saya bertanya: "Lepas ni kau nak mintak apa pulak? Dah semuanya kau dapat?"

Jawapan saya, "Aku sentiasa memohon supaya aku dan keluargaku diberi kedudukan dan kemuliaan di dunia dan akhirat."

"Nak jadi apa lagi kau lepas ni? Kalau kau jadi jutawan, boleh aku tumpang senang"...

"Kau tolong doakan ye?"

Saya mengelamun selepas perbualan kami. Apakah ini kesudahannya? Jika jawapan saya "Ya", makanya, berakhirlah kehidupan saya... Ujian Allah tiada akhirnya selagi kita manusia masih bernyawa.

Lalu saya tekadkan hati dan mula mengumpul doa...

"Tuhan, berikan aku kedudukan yang lebih tinggi dan kemudahan dalam segala urusanku. Berikan rezeki buatku dan keluargaku, agar kami dapat memberi sebanyak-banyaknya kepada hambaMu yang tidak berupaya. Jadikan aku seperti sahabat2 Rasul yang kaya raya dan menggunakan kekayaan mereka ke jalanMu Ya Allah..."

Kepada D, terimakasih kerana mengingatkan saya tentang "where I am coming from." Insyaallah akan saya hadapi kehidupan ini dengan penuh keredhaan dan kesabaran...Amin

Sunday, January 18, 2009

Wajahmu di mana-mana...

Ini hanya rekaan semata-mata. Saya sedang mencabar minda untuk menulis sesuatu yang "out-of-the-box". Sambungan pada kisah sebelum ini...Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati.
******************************************************

Semester baru bermula. Aku mulakan langkah dengan perasaan yang bercampur-baur. Gembira kerana pencapaian yang memberangsangkan pada semester lepas, sedih dan kecewa kerana...aku putus cinta!!! Perhubunganku dengan Mamat berlangsung sejak aku masih di tingkatan empat. Mamat atau nama manjanya, Mat, belajar di Amerika. Aku mengenalinya melalui seorang rakan. Dia sebenarnya yang beria-ia ingin menjadikan aku teman istimewanya.

Kami jarang bersua muka, namun surat-surat dan kad-kad darinya aku terima saban minggu. Mat cukup pandai bermain dengan kata-kata. Selepas empat tahun, aku putuskan hubungan dengannya. Kenapa? Kerana aku dipermainkan dengan kata-katanya. Kesetiaanku dikhianati. Aku 'reserved'kan hatiku semata-mata kerana dia, namun dia tidak menghargainya... Ohhh...sedih!!!

Awal-awal semester ni aku banyak melamun. Pensyarah pun masuk ala-ala 'Touch-N-Go' saja. Aku tiada mood nak bergelak dan bersuka-ria dengan kawan-kawan. Aku mengambil keputusan untuk balik ke bilik dan tidur biarpun Ain dan Nora mengajakku ke kafetaria.

Aku berjalan di bawah matahari terik dengan fikiran kosong. Segalanya terasa kosong. Sesekali aku mengeluh, memaki diri sendiri kerana bertindak bodoh. Bukan Mat yang putuskan hubungan, aku yang lakukannya. Kenapa mesti aku bersedih? Sabarlah hati...

"Hai!!! How are you? Nak ke mana ni? Blurr je??"

Aku dikejutkan dengan suara yang seolah-olah pernah ku dengar. Tersedar dari lamunan, aku pandang wajah empunya suara.

"Siapa dogol ni?" Bisik hatiku.
"Mesti kes salah orang ni..." Sambung hatiku lagi...

"Tak ingat I ke? Dinner ROTU di PJ Hilton bulan lepas?". Si dia sedang mengingatkan aku.
"Are you talking to me?" Ingin saja aku bertanya...tapi suara tak terkeluar.

"Sapa ye?" akhirnya suaraku keluar berbunyi macam itek serati...
"Kesian I...You dah tak ingat kat I lagi. Tak pe lah. Sori mengganggu...See you!"

Dia pun berlalu.

Aku termangu. Entah siapa gerangan yang baru menegurku tadi. Lantaklah... Mamat tu mesti tersilap orang punya....

Aku habiskan masaku bersendirian di dalam bilikku yang cozy. Namun, fikiranku masih tertumpu kepada jejaka yang menegurku tadi. Dia pakai t-shirt merah menyala dan berseluar jeans. Tinggi lampai dan putih melepak...Pakai spek mata hitam dan... Aku tak dapat nak figure out.

Biar aku cuba untuk melupakan dia, wajahnya di mana-mana. Ke dining hall pun terbayangkan dia, dalam toilet pun teringatkan wajahnya....Siapakah gerangan manusia bernama lelaki itu?

Keesokannya, dengan malas dan berat hati, aku ke kelas...Semput memanjat tingkat 3. Boring betul duduk dalam kelas ni...bisik hatiku. Kawan-kawan memekak dan bergelak ketawa, aku hanya membatu. Langsung tiada mood.

Manalah pulak lecturer ni? Kalau tau dia tak masuk, baik sambung tidur je lepas subuh tadi....Aku bangkit dan berdiri di tingkap. Seronok perhatikan orang yang lalu lalang di bawah. Tiba-tiba aku terpandang seseorang yang agak familiar. Sedang aku cuba memastikan siapa dia, eh...dia mendongak ke atas!! Dari jauh pandangan kami bertemu. Aku pasti dia sedang memandang ke arahku! Dia tersenyum....

T-Shirt kuning menyala dan jeans. Aku pasti, dia dogol semalam. Tapi kali ini tanpa spek mata hitam. Dia tersenyum... dan senyumannya amat ku kenal....

Siapa dia??? Dinner ROTU di PJ Hilton? Yang mana ye???

Habislah aku... Asyik wajah dia saja yang kelihatan di mataku. Fikiranku asyik berputar ke dinner yang lepas...cuba mengingati satu persatu mereka yang aku kenali di sana.... Hilang kisah Mat di Amerika....

...wajahmu di mana-mana...sering ku temui...@#$%^&*()! Aaahhhh.....!!!!

Wednesday, January 14, 2009

Teringat kisah…ku di malam itu….Sejak bertemu…ku rindu selalu….

Ini hanya rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati…
*********************************************************

Suasana ballroom PJ Hilton begitu gah. Indah dan gemerlapan. Jantungku berdebar kencang. Langsung tidak dapat ku bayangkan apa yang bakal aku tempuhi sekejap lagi. Malam ini adalah majlis makan malam tamat latihan ROTU. Seramai lebih 100 orang kadet yang berjaya menghabiskan latihan ROTU selama tiga tahun menerima watikah sebagai Pegawai Tentera di sebelah petang selepas perbarisan di sebelah pagi tadi.

Aku bukan ROTU. Aku hanya menyibuk kerana emak ayah Shida, rakan sebilikku tidak dapat datang dari Mersing. Pagi tadi, aku hadir di Stadium, kemudian aku masuk ke dalam Dewan menyaksikan Shida menerima watikah dari Agung. Selepas menerima watikah, aku menunggu Shida di luar dewan. Tiba-tiba aku disapa oleh seorang pemuda. Beliau mengajakku untuk menjadi pasangannya ke majlis makan malam ini. Alamak.... siapa mamat ni pun aku tak kenal.

Shida kemudian datang menghampiriku dan memperkenalkan pemuda tadi. Oh...Aziz namanya. Aku tolak mentah-mentah, namun Shida dengan cerdiknya berjaya memujukku supaya mengatakan ye kepada Aziz. Shida juga tidak ada pasangan, dia bawa aku, Aziz bawa room-mate dia dan mereka akan bertukar pasangan sewaktu berjalan masuk ke dalam dewan.

Debaranku bermula sebaik aku mengatakan ye petang tadi. Macam-macam yang aku fikirkan. Apalah agaknya yang Mamat ni fikir pasal aku... Murah sangat ke aku ni kerana mudah sangat menerima pelawaan lelaki... Ahhh... macam-macam lagi yang bermain di fikiran.

Sedang aku melayan debaran, datanglah Aziz ni menghampiri. Entah mengapa aku tidak merasa gembira langsung sedangkan Mamat ni punyalah happy bila dengan bangganya dia berjalan bergandingan denganku masuk ke dalam dewan. Aku menyumpah-nyumpah dalam hati. Bukan hanya sebab rupa Mamat ni langsung tidak menepati cita rasaku, tapi sebab dia punya syok sendiri buatkan aku jadi cukup menyampah....

Sebaik sampai ke dalam dewan, aku mengambil tempat di sebelah Shida. Aziz yang asyik tersengih bangga kerana ditemani gadis cantik yang jauh lagi tinggi darinya duduk di sebelah kananku. Sengihnya makin melebar setiap kali rakan-rakannya menoleh ke arah kami. Masing-masing angkat kening. Aku betul-betul menyesal....

Dalam pada aku memaki hamun diriku, mataku beralih ke pemuda yang duduk berdepan denganku. Pertama kali pandangan mata kami bertemu, jantungku terasa bagai nak gugur. Aku terpegun melihat sepasang mata yang cukup cantik sedang memandang tepat ke wajahku. Aku larikan pandangan dan cuba untuk tidak memberi perhatian kepada sepasang mata tadi. Aku makan hidangan yang terhidang. Aziz asyik melayanku bagaikan putri raja, namun ia membuat aku jadi lebih lemas. Aku menyibukkan diri dengan mencuba kreativitiku memotong makanan dengan pisau. Tiba-tiba...ooopss! Ayam yang sedang ku potong melompat dari pinggan...Pisau yang ku pegang pula jatuh ke bawah kerana aku terperanjat... Huh...mujur tak de siapa perasan.

Dengan selambanya aku cuba mencapai pisau yang jatuh dan memasukkan semula ayam ke dalam pinggan. Aku pasti Aziz dan Shida tak perasan. Lega....tapi ia hanya seketika. Tuanpunya mata yang cantik tadi sedang tersenyum simpul memerhatikan aku. Ceh!!! Malunya!!!!!

Selepas makan tibalah masa majlis tari-menari. Aku tak faham kenapa askar-askar masih terikut dengan cara Mat Saleh ni. Aku mengambil kerusi jauh di belakang untuk mengelakkan diri dari Aziz. Sedang aku menikmati saat-saat indah bersendirian, aku terasa seseorang menarik kerusi di sebelahku. Dalam gelap aku melihat susuk seseorang yang cuba mengambil tempatnya. Siapa pulak Mamat ni? Belasah aje lah.

”Hai...boleh saya duduk?”
”Silakan.”
”Tak kan tengok aje?”
”You tu?”
”Saya tak pandai menari.”
”Saya pun.”
”Saya Imran. Boleh saya tau nama you?”
“Shasha.”
“You girlfriend Aziz kan?”
“Eh bukan…. Saya room-mate SHida. Saya tak kenal pun Aziz.”
“Ohhh…..rupanya. Cempedak dah jadi nangka…”

Aku masih tak tau rupa Mamat di sebelahku ini. Tapi kami teruskan juga perbualan.

”You student ke?”
”Ye.”
”Course apa?”
”Accountancy.”
”Part berapa?”
”5.”
”Orang mana?”
”Kelang.”
”Eh...samalah kita.”
”Ye ke? You Kelang kat mana?”
”Batu Belah. You?”
”Port Klang.”
”You sekolah mana dulu? I budak High School.”
“I, MGS.”
“Ha…Monkey Girls School….”
“You pulak Sekolah Taik Kambing…”

Hahahaha…Kami sama-sama ketawa. Dalam pada bersembang, aku betul-betul teringin nak lihat wajah Mamat yang sedang bercakap denganku ini.

Bunyi muzik yang kadang-kala kuat dan kadangkala perlahan tidak lagi menjadi perhatian kami. Orang yang mundar-mandir juga tidak kami pedulikan. Aku masih berusaha untuk melihat wajah tuanpunya suara yang sedap didengar ini.

Tiba-tiba lampu terpasang. Secepat kilat aku melihat ke kanan. Aduhhhh......rupanya yang sedang berbual denganku adalah si Mata Cantik! Dia tersenyum, cukup tampan wajahnya dan cukup tajam renungan matanya.....Aku tersipu. Aku termalu. Aku terpegun!!!!

Aku panik. Secepat kilat aku bangun dan tinggalkan dia. Aku sendiri tak tahu kenapa aku mesti lari darinya. Kepalaku terasa panas dan debaran jantungku begitu kuat. Aku menyusup masuk ke dalam celah-celah kelompok manusia yang ramai. Tiba-tiba ada yang mengajakku ambil gambar. Alamak...terasa macam selebriti pulak. Ramainya yang berminat nak abadikan kenangan bersamaku. Eh...aku perasan yang aku ni cantik kut malam ni....

”Hai....ok kan kalau I nak bergambar dengan you?”

Aku terkedu. Huhhh....Mamat ni lagi...Woww...

”Why not?” Control ayu, beb...
“Senyum…There it is…Thanks…”
“Welcome.”
“See you and nice knowing you.”
“Me too.”

Dia hilang dari pandangan. Aku buat-buat tak kisah walaupun hatiku berkata….”Jangan lah pegi…!”

Aziz yang menyibuk masih lagi memburuku walau ke mana aku pergi. AKu rasa dia cukup bangga malam ni sebab dia telah membuktikan kemampuannya membawa seorang gadis, cantik pulak tu, (wahahaha) ke satu majlis formal… Aku pasti Aziz akan tersenyum di sepanjang kehidupannya.

Aku layan Aziz nak tak nak aje. Dia pun tak kisah, sebab baginya, dia dah menang.. Dalam pada itu, datang pula Mamat lain menyapaku. Dia perkenalkan dirinya sebagai Zul. Tall, dark and handsome. Allright… aku suka senyuman dia. Boleh jadi lelaki idaman… Namun, aku masih tercari-cari Imran, si Mata Cantik....

Malam ini aku tidur bermimpikan bulan bintang dan matahari….#@*&%$....

....tak dapat aku melupakan oh wajahmu...telah menjadi lukisan di hatiku..... !!!

Sunday, January 11, 2009

Gawat

Boss saya terima panggilan dari seorang teman lama. Suka dan terujanya dia kerana teman ni dah lama tak ditemui. Puas dia berpesan pada anak2 supaya kemaskan rumah dan saya diminta untuk memasak sesuatu.

Petang tadi sekitar jam 4, datanglah teman ni. Agak terkilan kami kerana suami dan anak2 beliau tiada bersama, tetapi beliau datang dengan sepasang suami isteri. Kami berkenal2an. Pasangan ini agak proper orangnya, isteri cantik dan suami yang stylo. Kawan Boss saya, A namanya, hanya tersenyum dan tidak banyak bercakap. Kami disoal dengan pelbagai soalan, dan nampak gayanya kami faham tujuan mereka datang.

Kami berdua telah melalui bermacam peristiwa dalam hidup. Dari puncak menara jatuh bersepai ke dalam gaung, merangkak2 mencari diri dan dengan kepayahan bangkit kembali. Sekilas ikan di air kami boleh jangka jantan betinanya, lebih kurang...

Tetamu tadi cuba menerangkan kepada kami apa yang perlu kami lakukan untuk mencipta kekayaan. Kami hanya tersenyum. Dari CD, kertas dan white board mereka cuba yakinkan kami pelan pemasaran yang paling terbaik. Kami akur. Memang kami 'bucket carrier'. Saya bekerja makan gaji dan Boss self employed. Kami dianggap tidak mahu memperbaiki diri.

Akhirnya, tetamu kami gave-up kerana saya telahpun menjadi pengguna produk yang mereka cuba pasarkan dengan cara networking mereka. Saya menjadi pengguna kerana saya percaya dengan produk ini, bukan kerana saya mencari kekayaan dan kesenangan at the expense of memburukkan apa yang orang lain buat. Saya tidak sanggup menghabiskan hari Ahad saya mengunjungi rumah orang untuk present marketing plan saya. Itu masa yang paling berharga yang kami ada. Kalaupun kami 'bucket carrier', kami tidak hanya duduk menghitung waktu dan menanti hari gaji. Kami enjoy setiap saat yang kami jalani. Kerja yang kami lakukan sentiasa mengujakan.

Selepas membuang masa mereka, kami kesal kerana teman lama kami menghubungi kami untuk 'business opportunity', bukan kerana dia benar2 miss kami yang telah lama tak bersama. Kami kesal kerana terpaksa menghampakannya. Terkilan kerana beliau seorang yang cukup optimis dengan kerjaya dan perniagaan bunganya, namun kegawatan ekonomi memaksa beliau mencari jalan pintas untuk mendapat kembali apa yang pernah beliau punyai satu waktu dahulu. MLM bagus, namun ia bukan untuk semua orang. Lagi satu, janganlah kata apa yang oranglain buat tak elok... Siapa kita untuk tahu apa yang ada dalam fikiran orang lain????

Wednesday, January 7, 2009

Cabaran 2009...buat Abo

Abo, anak kecil saya, memulakan persekolahannya di Tadika Isnin lepas. Selain pertama kali di Tadika, ini juga pertama kali Abo terpaksa tinggal di pusat jagaan (Day Care)dan berkawan. Sejak lahir Abo hanya kenal Bibik Seri selain dari kami. Hidup Abo tidak seindah biasa sekarang ini. Wajah comel dan cerianya berubah. Sedih melihat wajahnya yang asyik mendung dan matanya yang bengkak. Setiap pagi saya berperang dengan dia untuk tinggalkan dia di Tadika. Melalak dan menangis tidak mahu bersama Teacher atau Mama Noni...(Panggilan kepada tuanpunya Taska).

Pagi tadi saya bawakan dia bekal belon. Saya beli banyak supaya dia boleh share dengan kawan2nya. Saya tinggalkan dia yang menangis sekuat2nya: dan berhenti menangis sebaik dia tidak melihat bayangan saya...Abo juga sarankan, dalam esak tangisnya, supaya saya "beli" bibik... Alahai...budak kecik yang tahu bagaimana kuasa duit!!!

Saya sebenarnya melalui satu pengalaman baru menghantar Abo ke Tadika. Yang pertama, terasa betapa tuanya saya: sebab saya bandingkan diri saya dengan ibu2 lain yang juga menghantar anak2 mereka. Yang kedua, saya dah lupa cara untuk memujuk atau mungkin menghentikan tangisan anak yang tidak mahu ke sekolah... Bayangkan Nabilla yang akan menjejaki usia 20 tahun, Jimie 17 tahun dan Nabil 15 tahun... tetiba Abo baru nak masuk 5 tahun. Dah lama saya lupakan skil2 pujuk memujuk anak kecik ni...

Tapi, bila diingat kembali kisah anak2 ke sekolah, anak lelaki lagi kuat nangis dari anak perempuan. Anak lelaki lagi bergantung kat emak dan tak punya keyakinan diri... Sejak tadika, darjah satu hingga masuk universiti, Nabilla tak pernah mencabar saya dengan tangisan dan tentangan di hari2 pertamanya. Steady je dia masuk dalam kelas, walaupun takut2, tapi penuh dengan keyakinan. Jimie... haru. Bukan setakat takut ke tadika atau sekolah, nak kena inject di hospital pun macam nak runtuh hospital dibuatnya! Syukurlah sepanjang perjalanan Jimie akhirnya menjadi lelaki yang penuh dengan semangat dan keyakinan diri yang cukup tinggi. Rasanya campak ke mana sekalipun dia kini dia akan bina foundation yang kukuh dan mampu terbang setinggi-tingginya.

Abey...Mr Cool. Seingat saya, nangis tidak senyum pun tak pernah. Seorang yang jarang tunjukkan perasaan. Kekal begitu hingga kini. Tiada apa yang mampu merisaukan Abey. Fail exam bukan apa2 untuknya. Pass exam juga tak memberi kesan. Jadi juara atau kalah bertanding biasa saja. Life is like that only... Payah nak terpa hatinya...

Harapnya Abo boleh excel dalam sekolahnya. Saya akan cuba sedaya upaya untuk 'belikan' Bibik untuknya. Harapnya dia tidak akan menangis dan bersedih lagi selepas seminggu di Tadika...

Friday, January 2, 2009

Bermula 2009...


Telah 3 hari kita berada di tahun yang baru. Boss saya sambut ulangtahun ke 45 pada 1 Januari lalu. Saya dan anak2 doakan beliau sihat sejahtera selalu dan dipermudahkan segala urusan, diberi kemuliaan dan kedudukan tinggi dunia dan akhirat, dijauhkan dari fitnah dan kejahatan syaitan dan manusia dan semoga beliau terus kekal sebagai suami dan ayah yang baik, jujur dan setia kepada saya dan anak2...Yang paling utama, saya doakan beliau sentiasa mengingati Allah. Amin.

Saya kehilangan pembantu yang amat saya sayangi. Seri namanya. Dia datang pada tahun 2001 menyerikan kehidupan kami sekeluarga. Saban tahun Seri pulang bercuti ke Bandung, dan akhirnya pada 24 Disember lalu, Seri tidak muncul di LCCT seperti yang dijadualkan. Seri menghilang tanpa sepatah kata. Dia bawa bersama harapan dan kepercayaan kami. Lapan tahun bersama, saya yakin Seri terpaksa mengambil keputusan untuk mengecewakan kami demi keluarganya sendiri. Saya doakan Seri bahagia dengan keputusannya dan saya tidak putus memohon agar Tuhan membukakan hatinya untuk kembali kepada kami.

Saya berdoa agar segala urusan saya dipermudahkan. Saya ingin terus berjaya di dunia dan di akhirat. Cuaca mendung yang menyelubungi ekonomi dunia harapnya tidak memudarkan semangat saya dan Boss untuk terus berjuang memberi keselesaan hidup kepada anak2 dan mereka yang memerlukan. Perjalanan saya masih panjang. Banyak lagi yang belum saya laksanakan.

Namun, ada kalanya saya merasa agak kecewa kerana pencapaian anak2 tidak seperti yang diharapkan. Mereka sering lalai dan leka biarpun segala yang dipinta ada di depan mata. Kalaulah mereka tahu betapa sukarnya saya di usia mereka dulu. Buku rujukan, kasut sukan, seluar sukan, alatulis, kelas tuisyen, dan apa saja selain dari buku tulis, tidak pernah saya miliki. (Nota: Saya tidak pernah ke tadika atau kelas tuisyen....kesian.) Saya belajar dengan hanya mendengar apa yang Cikgu ajar dan baca apa yang ada dalam buku teks. Biar hati meronta ingin memiliki apa yang kawan lain miliki, tapi saya ketepikan kerana tahu emak tak punya apa2 untuk membolehkan saya mendapat apa yang saya inginkan. Namun, Tuhan kurniakan saya otak yang mampu berfikir dan menilai pengorbanan emak dan bapak. Mereka bekerja keras untuk memberi kami kehidupan. Saya beri anak2 saya apa yang tidak pernah saya perolehi dulu, supaya mereka punya sesuatu yang mereka perlukan. Sayangnya, mereka masih belum mampu melihat dan menilai...

Mudah2an sinar 2009 adalah lebih baik dari tahun2 sebelumnya. Semoga keamanan dan kemenangan berada dalam genggaman kita semua....