Saturday, March 7, 2009

Emak

Malam tadi Jimie mengkhabarkan yang kawan sekelasnya, Azrul, kehilangan ayah kerana strok. Seminggu koma, petang semalam ayah Azrul yang baru berusia 51 tahun, pergi buat selamanya. Azrul anak sulung dari 3 beradik. Mudah2an arwah ayah Azizul dirahmati Allah.

Strok merupakan satu perkataan yang menakutkan saya. Emak dan Abang Aris pergi kerana strok. Abang Nasir pula lumpuh sebelah badannya hingga kini kerana strok. Khabar yang Jimie bawa sedikit sebanyak mengganggu emosi saya di pagi Ahad yang indah ini.

Ingatan saya kepada Emak tiba-tiba menerjah fikiran saya. Emak wanita hebat. Beliau bukan saja cantik, kulitnya putih gebu dan badannya montok. Saya selalu cemburu dengan paras rupa Emak yang jauh lagi cantik dari saya...hehehe. Saya anak Emak yang dapat kulit sawo matang Bapak dan badan yang macam tong Alam Flora...Ya Ampunnn...

Emak sentiasa mendahulukan kami sepuluh beradik dari dirinya sendiri. Jarang sekali Emak berganti baju baru, berbeg tangan mahal mahupun bersolek. Namun, kecantikan Emak terserlah melalui hatinya. Tidak pernah Emak berdendam pada sesiapa pun dalam kehidupannya biarpun kehidupan Emak sentiasa diiringi dengan hasad dengki manusia lain. Bagaikan satu kesalahan besar seorang wanita secantik Emak bersuamikan Bapak yang tiada harta... Cemburu manusia pada Emak tidak pernah terhenti. Namun, Emak cukup tabah. Semangat kuatnya menjadi sandaran kehidupan kami. Saya akui saya banyak mewarisi kecekalan hati Emak. Dan, saya amat berbangga dengannya.

Emak membesarkan kami tanpa wang. Bapak hanya seorang pemandu bas yang bergaji bulanan. Tapi yang peliknya, kami tidak pernah kelaparan. Emak cukup kreatif. Tidak pernah bersungut dan tidak pernah memburukkan Bapak di hadapan kami. Emak terima Bapak seadanya, dan amat menghormati Bapak. Tiap malam kami nampak Emak temankan Bapak makan biarpun waktu tengah malam. Emak pandai mengurut orang yang salah urat. Kalau kami demam atau pening, urutan Emak terus membolehkan kami berlari semula. Tapak tangan Emak gebu dan padat. Masih terasa2 lagi belaian dan urutannya..

Masakan Emak mengalahkan Chef. Dari lempeng hingga nasi beriyani, semuanya emak buat sendiri. Emak bela ayam, Emak tanam sayur, cili, serai, buah2an dan segalanya di belakang rumah. Rasanya, Emak cuma perlu beli garam, gula, tepung, minyak, beras dan bawang saja. Ikan masin dan telur masin pun Emak buat sendiri. Saya ingat lagi bila malam2 Emak uli tepung untuk buat roti canai keesokan harinya. Ye. Roti canai pun Emak buat sendiri.

Emak tidak akan buang makanan. Selagi boleh, beliau akan habiskan segala yang tersisa. (Saya warisi sikap Emak ini...pasal tu badan jadi macam tong...) Emak ajar kami payahnya mencari sesuap nasi. Emak tunjukkan pada kami susahnya hidup tanpa wang. Emak ajar kami cara mencari wang dan cara membahagiakan kehidupan orang lain.

Wajah Emak yang selamba, ketawa Emak yang berdekah-dekah, senyum Emak yang manis, amat saya rindukan. Pelukan Emak penuh. Ciuman Emak amat ikhlas. Sesekali melihat Emak menangis teresak-esak, kami semua akan sama-sama menangis. Emak jarang memangis. Tangisannya hanya ketika hatinya benar-benar terluka. Selalunya kerana anak-anak...

Emak...anak Emak ini juga amat sukar untuk memangis. Hatinya sekeras batu. Namun, sesekali hatinya terluka, dia akan menangis sendirian. Jauh dari semua orang yang amat disayanginya...macam Emak juga. Baru kini saya tahu bagaimana pedihnya hati Emak jika beliau merasakan dirinya tidak dihargai.

Ampunkan saya Ya Allah kerana terlalu kerap menyakitkan hati Emak... Semoga Emak bahagia di sana...Doa saya sentiasa bersama Emak.

No comments: