Friday, January 21, 2011

Abdul Rahman

Nama ini begitu cantik. Ia bermaksud hamba Yang Maha Penyayang.

Ada seorang Abdul Rahman dalam hidup kami sekeluarga. Dia hadir tatkala kami sedang dalam keadaan yang amat tersepit dan sempit. 27 September 2010, pukul 10 malam, hampir 12 jam selepas ibunya mengadu kesakitan dan kami bawa ke Hospital Klang (HTAR).

Kami menanti dengan sabar di luar dewan bersalin sejak petang itu. Bila tiba masa untuk pelawat meninggalkan kawasan hospital, Aci yang jaga dewan bersalin memberi jaminan akan menalipon saya jika si ibu selamat bersalin. Kami pulang membawa debaran. Jam 12 malam, saya mendapat panggilan dari Aci tadi dan kami bergegas ke HTAR saat itu juga, meninggalkan Abo dan Abey yang sedang lena diulit mimpi.

Di dalam kotak kecil (inkubator), di ICU, saya melihat wajah Abdul Rahman yang sedang dalam kepayahan untuk menghela nafas. Menggigil saya melihat nafasnya yang amat perlahan...seolah-olah helaan itu akan terhenti. Saya mengucap berkali-kali, memohon Allah mudahkan urusan si kecil yang baru berusia beberapa jam itu. Seketika kemudian, Boss berada di sebelah saya dan memohon kebenaran jururawat untuk mengazankan Abdul Rahman. Saya yang sedang memerhatikan helaan nafas Abdul Rahman betul-betul terpegun tatkala saya lihat dengan tidak semena-mena dadanya berombak kencang dan bacaan di mesin terus bertamnbah laju. Abdul Rahman tidak lagi berdepan dengan kesukaran untuk bernafas selepas diazankan! Subhanallah....

Sepuluh hari menjadi penghuni HTAR, Abdul Rahman dan ibunya pulang ke rumah. Kami sedang amat kalut menyiapkan persiapan terakhir sebelum ke tanah suci. Dengan segala kepayahan, kami berupaya menyediakan seorang Mak Bidan yang menjaga makan minum dan proses urut mengurut, bengkung, tapal dan sebagainya kepada ibu Abdul Rahman.

Kami tinggalkan Abdul Rahman yang baru berusia 19 hari untuk mengikuti pengembaraan abadi di tanah suci. Pulangnya kami selepas 46 hari, Abdul Rahman masih lagi seorang bayi lelaki yang teramat kurus, hanya mata yang besar kelihatan, dan dada yang tinggi. Tiada daging, hanya tulang dan kulit. Betapa remuknya hati melihat dia dalam keadaan itu.

Saya teringat arwah Mak yang begitu tekun membelai anak-anak kecil yang ada di depan matanya. Saya cabar keupayaan saya. Alhamdulillah, selepas 25 hari, berat badan Abdul Rahman naik hampir 2.5kg! Jururawat di klinik komuniti terpegun. Si ibu hanya mampu mengalirkan airmata. Abdul Rahman membesar dengan belaian, nutrisi yang mencukupi dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

Kini Abdul Rahman hampir berusia 4 bulan. Dia seorang bayi cerdik yang montel, dengan berat hampir 7kg, sudah pandai meniarap dan hampir maju ke depan. Sudah pandai ketawa mengelekek jika diagah, sudah pandai menangis jika ditinggal dan sudah pandai memanggil dengan suara manja dan pandangan tajam. Andul Rahman telah mengisi kehidupan kami dengan keletah dan suaranya...

Semalam, si ibu yang 'tidak mahu menyusahkan' membuat saya marah. Susu dan makanan Abdul Rahman sudah habis, namun dia tidak beritahu saya dengan alasan skema yang menyakitkan. Abdul Rahman menangis semalaman kerana perutnya kosong. Saya berjanji kejadian ini tidak akan berulang.

Abdul Rahman...anak pembantu rumah saya. Kehadirannya tidak pernah dirancang dan boleh dikatakan 'unplanned and unwanted'. Namun, Tuhan lebih tahu kenapa dia dilahirkan di rumah kami, dan siapa dia akan jadi satu hari nanti. Bagi kami, Abdul Rahman adalah antara kurniaan besar yang Allah beri kepada kami sekeluarga. Semoga dia terus membesar dengan sihat dan menjadi seorang insan berguna di dunia dan akhirat. Dia anak yang saya angkat dari ibu kandungnya. Dia juga anak saudara saya kerana dia adalah anak susuan Anis, adik perempuan saya....

2 comments:

lina said...

masyallah...ma'am...dan alhamdulilah telah menjadi anak angkat ma'am...saya amat kagum dengan ma'am..setiap kali membaca n3 puan pasti air mata akan mengalir tanpa di pinta :)

Suria Klang said...

Subhanallah Lina...jangan begitu. Saya cuma menjalankan tugas sebagai hamba Allah....