Tuesday, January 18, 2011

Arafah

Pagi tadi saya berbual dengan 'Mr High Profile'. Entah macammana, perbualan kami tersentuh kisah Haji. Saya andaikan beliau sudah melalui perjalanan indah yang baru saya tempuh beberapa bulan lalu. Namun saya termalu kerana jangkaan saya salah. Beliau mengaku kealpaan beliau dan merasa amat malu kerana belum pernah sekali menjejakkan kaki ke tanah suci. Andaian saya adalah berasaskan penampilan beliau, kata-kata yang beliau ucapkan, kematangan usia beliau dan kedudukan tinggi beliau di dalam masyarakat semata-mata. Aduh...malunya saya....!

Saya pohon kemaafan beliau kerana saya pastinya telah menyinggung hati beliau. Jawab beliau, "Saya belum dapat jemputan lagi." Sambil bergurau saya katakan padanya, "Surat jemputan Tuan tersangkut di Pejabat Pos Besar Shah Alam....". Saya rasa lega bila beliau ketawa besar dengan jawapan saya. Fuuhhhh!!!!

Namun saya tahu beliau amat tertarik dengan apa yang saya kisahkan. Ianya tentang wukuf di Arafah.

Bagi saya, hari wukuf amat mendebarkan. Ianya adalah satu tempoh pendek yang Allah hadiahkan buat jemaah Haji di mana Allah telah janjikan bahawa Dia akan tunaikan apa saja permohonan hambaNya yang memohon dariNya di sana. Saya masih terasa betapa tubuh saya menggigil ketika saya bermunajat memohon kepadaNya segala yang saya hajatkan. Terasa betapa banyaknya dosa yang telah saya kumpul sekian lama sepanjang kehidupan ini dan takutnya saya dengan hukuman yang Allah akan berikan andai saya tidak mendapat keampunan dariNya sebelum saya mengadap Dia di hari kebangkitan.

Saya kongsi perasaan saya ini dengan Mr High Profile tadi. Saya juga sampaikan padanya bahawa andainya kita sangsi dengan janji Allah untuk mengampunkan kita atau menunaikan hajat kita, musyriklah kita. Janji Allah itu benar dan pasti. Lambat cepat hajat kita tertunai adalah hakNya.

Saya nampak butir-butir air halus mengalir keluar dari kelopak mata beliau. Sebelum beredar, beliau sempat mengucapkan terimakasih kepada saya kerana telah benar-benar membuka hatinya supaya mencari 'surat jemputan'nya yang masih ada di Pejabat Pos....Saya doakan beliau berjaya.

2 comments:

lina said...

salam ma'am - sadis

Suria Klang said...

Lina....Salam. Sadis? Teruk betul saya. Saya pohon keampunanNya....