Saya dilahirkan di sebuah kampung yang jauhnya 6 km dari bandar Klang. Boss pula dilahirkan di Muar. Namun takdir menentukan kami kehilangan orang tua di kala usia kami masih muda. Sejak kehilangan orang tua, kami hanya ada adik beradik dan ibu/bapa sausara dan sepupu.
Bagi anak-anak saya, kampung adalah asal saya dan boss. Bila Atuk dan Nenek serta Maktok dan Tokbah sudah tiada, kampung mereka adalah tempat asal mereka, iaitu Shah Alam. Di sinilah mereka membesar, bersekolah tadika, mengaji, sekolah rendah, sekolah menengah, berkawan, bercinta..... malah Lala menyambung pelajarannya di belakang rumah kami.....
Sebelum tibanya Syawal, kami sibuk di kedai. kami seronok melihat keghairahan pengunjung yang akan pulang bercuti di kampung halaman... bila tiba giliran kami menjawab, kebanyakan orang merasa kami seolah-olah lupa pada kampung halaman....
Saya rindukan kampung saya. Banyak kenangan saya di sana. Namun rumah mak bukan lagi milik saya. Pemiliknya tidak mungkin menyukai apa yang kita sukai. Makanya kepulangan kami sebenarnya adalah kedatangan.... Tiada yang merindui kami, bahkan mungkin ramai yang membenci...
Tahun ini, seperti tahun-tahun sebelum ini, sejak kami menjadi yatim piatu, kami akan beraya di tempat orang. Bezanya, tahun ini kami memulakan langkah pada hariraya kedua memandangkan Abey akan menghadapi peperiksaan percubaan SPMnya bermula awal minggu hadapan. Kami tidak akan bersama-sama dalam konvoi keluarga seperti sebelum ini, tetapi kami akan memulakan perjalanan jauh yang amat mengujakan.
insyaallah jauh perjalanan luas pengalaman. Anak-anak saya tentunya akan dapat menimba banyak pengalaman baru di sepanjang perjalanan ini, terutama Abo yang belum pernah merasainya. Sepupu mereka tidak akan ada bersama, tetapi kami pasti ketiadaan kami tidak akan dirindui....
semoga Allah meredhai pengembaraan kami kali ini. Mudah-mudahan Allah beri kami kekuatan untuk terus menghadapi kehidupan dengan tenang dan sabar.....Kami tidak pulang beraya, sebaliknya kami datang beraya. Kami hanya ada diri kami....dan kami amat mensyukurinya.....
No comments:
Post a Comment