Sunday, August 21, 2011

Kaya?

Hari raya akan menjelma beberapa hari lagi. Rutin kami di minggu-minggu terakhir Ramadhan adalah berkampung di Kompleks PKNS Shah Alam. Boss amat memerlukan bantuan kami semua.Halimah tidak mampu melayan pelanggan yang datang sambil mengawasi barang jualan dan mengemas...sambil menjaga dan mencatit duit jualan dan stok.

Kebiasaannya kami akan menjadi terlalu sibuk sehingga mengenepikan soal baju raya kami sendiri. Setiap tahun kami akan membeli baju raya, kuih raya dan segala yang berkaitan dengan raya di masa-masa kecederaan....

Kami juga seboleh mungkin mahu mengisi minggu terakhir kani dengan qiamullail dan solat jemaah di masjid. Kesibukan di pejabat yang tidak pernah surut, di samping Abey yang akan bertemu dengan Trial SPM seminggu lepas raya dan Jimie yang akan mengadap peperiksaan akhir hujung September. Lala pula akan menyambung semesternya bermula 12 September. Padanyalah diserahkan tanggungjawab menjaga kedai sekiranya Boss keluar mencari stok.

Saya suka berada di suasana ini. Ia begitu spesifik dan istimewa. Pertamanya, saya akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Kerenah yang pelbagai membuat kita tidak jemu untuk terus belajar.

Saya bertemu dengan ramai kawan setiap kali saya berada di kedai. Kawan sekampung, kawan sekolah, kawan universiti, kawan sepejabat.... Belum masuk kawan baru yang bermula sebagai pelanggan dan akhirnya menjadi akrab.

Semalam saya ditakdirkan solat di sehelah Nora, teman serumah di universiti dulu. Kami berpelukan sambil menangis terharu kerana dapat bersama selepas sekian lama.

Saya juga menerima kunjungan Lan, kawan sekolah yang datang dengan keluarga. Saya rasa bersyukur kerana di saat saya terpinggir dan terasa tidak diperlukan, ada ramai yang merindui saya sebagai diri saya. Saya rasa saya kaya, bukan dengan wang ringgit atau harta kekayaan mahupun pangkat dan kedudukan....tetapi dengan kawn-kawan.

Saya masih menangis tiap kali saya teringat penghinaan yang saya tempuhi. Ia satu pengalaman ngeri buat saya. Namun saya pasti Allah akan menggantikan keadaan itu dengan memberi saya kemuliaan di sisiNya nanti, kerana hanya itu yang saya pinta....

Apapun, saya bahagia dengan kenyataan yang saya kaya dengan kawan-kawan jauh dna dekat.....biar siapapun mereka....

No comments: