Saturday, May 30, 2015

Abo & Aman

Beza usia mereka 6 tahun. Sorang tembam putih melepak. Lembut tutur kata. Suka makan dan mudah mengalirkan airmata.

Sorang lagi kurus hitam manis. Tutur katanya kasar dan lasak. Suka mengusik semua benda dan kuat menangis.

Asyik lah bergaduh. Cakap sikit bergaduh. Lepas tu berpeluk. Lepas tu bergaduh. Saya jenuh dengan drama mereka.

Cuti sekolah ini dipenuhi dengan segala macam telenovela yang bakal mereka paparkan. Si Abang akan menduduki peperiksaan. Satu habuk pun tak bersedia lagi.

Tugasan rasmi Adik ialah ganggu perhatian Abang yang sedang "mengulangkaji pelajaran". 

Biar apa pun yang mereka lakukan, mereka buat saya ketawa. Mereka menguatkan semangat saya untuk terus berusaha keras bagi merasa kehidupan selesa.

Semoga mereka membesar sebagai anak yang soleh. Dan semoga saya terus tabah dalam menghadapi cabaran ini. Amin.

Thursday, May 28, 2015

ChiangRai - ChiangMai Hari Terakhir

Hari terakhir di bumi Thailand yang kaya dengan hasil bumi. Kami sama-sama setuju bahawa tanah Thailand memang subur dan teknologi pertanian mereka memang jauh di hadapan.

Selepas bersarapan, kami singgah sebentar di Silver Temple. Sebuah kuil yang dibina berwarna putih disalut dengan kristal. Bila matahari memancar terkena di atas kristal, pantulan cahayanya amat menarik perhatian.

(nota: Saya tidak mahu ulas pandangan saya tentang apa yang saya lihat dan alami ketika berada di sini. Saya hormati kepercayaan mereka yang percaya dengannya)



Kami berlepas kembali ke ChiangMai melalui kawasan kampung yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan. Paling menarik perhatian kami ialah buah laici. Bergayut-gayut berwarna merah dan pink... Sempat kami berhenti di satu kawasan dan memborong buah laici. Seikat RM2.00. Mana nak jumpa harga tu di tanahair yang tercinta!

Kami kemudiannya dibawa oleh Mr Whab ke kilang madu. Lebah-lebah yang menghasilkan madu yang dijual di sini (mengikut kata salesman kedai madu ini yang berasal dari Johor...), makan bunga pokok popi yang terdapat di kawasan Golden Triangle. Buah pokok popi diambil dan diproses menjadi adah jenis heroine. Hehehe.

Selepas itu kami dibawa ke kilang membuat payung pula. Macam-macam jenis payung kecik besar semua ada. Payung kertas ... Sekali ditimpa hujan, lencun!


Akhirnya, kami singgah untuk makan tengahari di sebuah kedai milik muslim ChiangRai. Kami makan laksa... Rasanya? Boleh lah. Kami juga merasai satay... Bila di Thailand, makan saja lah makanan Thailand... Ouch!


Dari situ, kami terus ke lapanganterbang ChiangMai untuk menaiki pesawat AK 587 pada jam 455 petang waktu Thailand. Selepas daftar masuk, kami mencari tempat solat. Alhamdulillah. Ada tempat untuk Muslim solat dan ada tempat untuk Buddhist sembahyang di situ.

Sementara menunggu ketibaan pesawat, kami diberitahu oleh Pengelola rombongan, saudara Hafiz bahawa kos makanan kami untuk 3hari dan 2 malam hanyalah RM90 seorang! MasyaaAllah! Macam tu punya sedap siang dan malam... Nikmat makanan yang hebat Allah beri kepada kami!

Perjalanan ChiangMai - KLIA mengambil masa 2jam setengah. Kami tiba di KLIA2 jam 840 malam dan tiba di rumah pada jam 1030 malam.

Kami bawa bersama kenangan indah bersama teman-teman di sana.

Buat Ceo Samad Kinto, terimakasih yang tidak terhingga.

Juga MohdNorHafiz, Ruffey, Shaifulizan. Anda AJK pelaksana yang hebat! Oh ya! Saya juga salah seorang AJK - Bahagian Makan....

Kepada semua ahli rombongan - Tuan Alim & isteri, Tuan Zubayri aka John & isteri, Tuan Azrul & isteri, Tuan Nazif & isteri, Dean, Ayie Oh Yeay, Irwan, Mem Besar Nur Impian dan semestinya terimakasih Boss Hj Naha yang sudi membawa saya bersama. Team ni memang ohsem dan hebat bergaya!

Jumpa lagi di lain masa, inshaaAllah.

www.bestmenserum.com


ChiangRai pula... Episod 2

Hari kedua di ChiangMai, kami beredar meninggalkan resort yang begitu mengasyikkan seawal jam 730 pagi. Kami mencari restoran halal untuk bersarapan. Alhamdulillah, dapat merasa makanan melayu...nasi goreng, mee hoon goreng dan nasi kerabu dihidangkan. Di tepi-tepi jalan ada dijual cakoi, satay dan beberapa jenis kuih. Jenuh mengunyah makanan demi makanan... Sempat juga Boss ajak solat sunat di masjid berhampiran.


Ada satu perasaan yang akan timbul tiap kali saya berkesempatan luangkan masa bersolat di dalam masjid tempat orang. Rasa syukur yang hadir dalam hati bersama deraian airmata. Pastinya doa dipanjatkan kepada Emak & Bapak kerana tanpa didikan dan asuhan mereka, saya tidak akan mampu mengembara ke negara orang...

Perjalanan dijangkakan memakan masa 4 jam. Belum sampai setengah jam, kesemua penumpang van kami lena diulit mimpi. Puas pulak saya tangkap gambar mereka. Perjalanan berliku-liku, kata orang, ada 1000 corners. Tajam-tajam pula selekohnya.


Saya terpegun melihat landscape yang menjadi latar belakang perjalanan kami. Ada gunung, lembah dan warna hijau menyelimuti keseluruhan muka bumi. Sawah padi terbentang luas, bagaikan emas kelihatannya. Padi sedang menguning, meliuk lintuk ditiup angin segar di pagi hari.

Kami berhenti berehat di HotSpring. Ada kolam-kolam air panas dan tempat shopping juga. Teruja melihat nenas kecil-kecil dan mangga yang berwarna indah. Allah! Murah sungguh mangga yang dijual. Sekilo RM3.50. Masalahnya kami membeli hanya berpandukan bau dan warna. Gadis Siam yang menjual berkeras tidak mahu memotongkan untuk kami. Suka hati lah labu...


Dari HotSpring, kami meredah lagi bumi ChiangRai menuju ke kawasan sanctuari gajah. Tu diaaaa... Besar-besarnya gajah! Bau tak payah cerita. Maklumlah, kan gajah. Mana lah mereka tahu untuk ke tandas!

Rupanya pakej kami termasuk menaiki gajah. Kami berdua adalah pasangan paling otai. Lalu diberi penghormatan memulakan perjalanan. Kami memanjat tangga untuk ke tingkat atas bangunan dan menunggu lah si gajah di pintu yang disediakan. Boss naik dulu. Saya memang seram. Tinggi sungguh gajah ni! Mau patah riuk andai jatuh dari atas gajah!


Saya duduk atas gajah dan si gajah mula membetulkan kedudukan badannya. Oh! Senget sebelah.. Hehehe. Belah saya senget sebab berat la... Apa lagi!

Lembut je bunyi tapak kaki gajah berjalan. Bergoyang goyang terhangguk hangguk kita yang duduk di atasnya. Eh! Dia menuju ke sungai... Alamak! Seram. Terasa mau jatuh ketika dia menuruni tebing sungai. Takut eh!

Kata si pemandu, gajah kami berusia 25 tahun. Saya minta dia ubah haluan...kerana saya mahu tahu cara arahannya kepada si gajah. Oh la la! Kaki pemandu gosok-gosok belakang telinga kanan gajah, maka gajah berpaling ke kanan... Hehehe


Gajah berjalan di dalam sungai... Hampir terendam keseluruhan badan gajah... Makin teruja bila melihat gajah menyemburkan air melalui belalainya yang umpama serombong... Hujung belalai saja yang kelihatan di atas air... Aduhai! Dia tinggalkan jejak pulak! Besar gedabak! Hahaha...


Jauh juga perjalanan meranduk sungai...kemudiannya kami naik ke atas tanah. Pandai gajah ni. Berjalan beriringan di tepi-tepi saja. Langsung tiada adegan potong memotong dan tidak sabar. Ada seekor gajah yang merajuk kerana mahukan pisang tetapi tidak dilayan oleh pemandunya! Comel melihat gelagatnya..

Selesai dengan gajah, kami ke tempat makan. Allah hu akbar! Laparnya rasa! Tomyam lagi... Bersekali dengan telor dadar, ayam goreng dan ulam sayur yang segar. Batang kailan pun manis di sini! Bawang besar terasa macam buah epal la pulak!


Kami singgah di kawasan penempatan kaum Karen Long Neck, dan cuba memahami mengapa mereka sanggup memakai perhiasan yang dikatakan cantik itu... Mmmm... Kesian melihat mereka yang kelihatan tersiksa sebenarnya!


Kami teruskan perjalanan ke kawasan Golden Triangle, sempadan 3 negara - Laos, Thailand dan Myanmar. Kami menaiki bot yang membawa kami menyusuri Sungai Mekong. Subhanallah... Di bawah sinaran mentari senja, kami nikmati angin yang menghembus lembut wajah kami... Kami mula mengimbau pelajaran sejarah dan guru-guru kami....Di kawasan ini lah, opium diedarkan ke negara-negara Asia dan menjatuhkan moral rakyat negara China di zaman Foong Sa Yuk... Kami juga terkenang guru geografi yang mengajar mukabumi negara Laos, Thailand, Cambodia, Vietnam dan Myanmar...  Berjalan laju menuju ke bot yang membawa kami mengingatkan kami kepada guru pendidikan jasmani!


Kami tidak dapat menjejakkan kaki ke tanah Myanmar atau Laos kerana pintu sempada ditutup seawal jam 6 petang. Bagaimanapun hati terasa puas kerana dapat merasai nikmat perjalanan itu.

Mr Whab kemudian membawa kami ke tempat makan. Restoran yang sama kerana hanya itu restoran halal yang okay di ChiangRai. Tomyam lagi, ikan 3 rasa, udang salut tepung, telor dadar dan sayur goreng. Sah! Lepas ni sebulan saya puasa makan tomyam!

Dari situ kami ke pasar malam. Berjalan membeli cenderahati buat mereka yang ditinggalkan di rumah....

Dan kami daftar masuk Hotel De Hug yang comel tepat pukul 12 malam waktu Thai... Bersamaan dengan pukul 1 pagi waktu Malaysia... Masa tu berdesup-desup mesej masuk... Kerana baru dapat wifi... 😁😁😁



Ikuti sambungannya....

www.bestmenserum.com

Wednesday, May 27, 2015

Percutian Indah di ChiangMai dan ChiangRai

Ahad hingga Selasa lepas Allah izinkan saya dan Boss untuk bersama 16 sahabat lain menikmati percutian indah di ChiangMai dan ChiangRai, Thailand. Percutian ini menjadi begitu indah kerana ia ditaja sepenuhnya oleh TrueTech Cosmetics, pengeluar produk yang sedang Boss pasarkan. Alhamdulillah. Boss berjaya mencapai jualan ke 5 tertinggi di bulan April. Rezeki hanya dari Allah.

Seawal pukul 3 pagi mata sudah tidak mahu pejam. Saya bangun dan bersiap. Begitu juga Boss, Abey dan Lala yang akan menghantar kami ke KLiA2. Kami tiba jam 445 pagi dan terus mengalas perut dengan secawan kopi.

Selepas kesemua 18 ahli rombongan tiba, kami ke kaunter check-in dan berbondong-bondong berjalan ke balai berlepas. Elok pula waktu subuh baru masuk. Kami singgah solat di surau yang disediakan dan menanti pelepasan pesawat dengan penuh keterujaan. Puas bergambar pelbagai aksi, dari selfie, wefie, gaya Pak Maon, gaya korporat.. Semua ada.


Penerbangan selama 2jam setengah melenakan kami semua. Hanyut tenggelam dalam mimpi indah. Setibanya kami di lapangan terbang ChiangMai, kami mendapat kalungan bunga melor dari gadis Thai yang comel. Kemudian kami diiringi ke kenderaan di luar bangunan. Eh! Tersilap kumpulan sebenarnya! Kami bukan dari kumpulan agensi pelancungan yang ditunggu! Hahaha. Rezeki di pagi hari...mendapat sambutan meriah tanpa dipinta.


Kami dibawa oleh airport shuttle ke hotel yang telah ditempah. Prat RajaPruek Resorts & Spa namanya. Sebuah boutique resort yang comel dan amat romantik hiasannya. Disebabkan masih awal, kami tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik. Lalu kami ke tengah bandar mahu mencari motosikal. Lama berbincang, kami putuskan untuk tidak menaiki motosikal... Alasan? Tiada siapa tahu jalan di bandar ChiangMai! Andaikata sesat, pengsanlah keseluruhan 18 orang nanti!

Akhirnya kami tahan dua buah tut-tut dan saya minta dibawa ke kawasan Night Bazaar atau Anusarn Market untuk mencari makanan. Tidak mudah mencari makanan halal terutama sekali bagi first timer seperti kami.

Allah hu akbar. Kawasan itu rupanya hidup di sebelah malam. Walaupun jam sudah masuk waktu tengahari (Thailand lewat sejam. Pukul 1 tenghari ialah pukul 2 di Malaysia), kedai masih belum dibuka. Kami ke AlHussin Restoran, satu-satunya kedai halal yang sudah dibuka. Itupun pekerja-pekerjanya nampak masih mamai.

Saya ditugaskan untuk memilih menu. Semua mata tertumpu kepada kami. Azrul, pemilik Restoran Sambal Hijau membantu dengan bijak. Tomyam campur, sayur goreng, daging goreng dan telur dadar. Cukup sudah.

Kami yang kelaparan menanti dengan sabar. Mula-mula si pelayan kacak umpama wajah Amir Khan membawa pinggan dan sudu garpu. Yang istimewa tentang cara dia membawa ialah dia bawa satu demi satu. Kemudian dia keluar membawa cawan dan mangkuk sup pula. Lemah gemalai lenggoknya. Semua mata mengekori pergerakannya. Selang beberapa ketika, dia keluar membawa mangkuk berisi nasi pula.

Hmmm.... Selang masa yang agak beberapa ketika menambah kesabaran kami. Tomyam pula dibawa. Masing-masing menerkam nasi dan tomyam. Dengan lafaz Bismillah... Ngap! Macam piranha. Subhanallah! Sedapnya tomyam poktek yang dihidangkan! Sejurus kemudian telur dadar pula keluar... Hampir siap kami makan, baru lah sayur goreng sampai. Siap dah makan, daging goreng baru tiba... Berderai kami ketawa.

Ada juga yang order minuman. Terbahak-bahak kami gelak kerana si Amir Khan membawa cawan satu persatu. Saiko betol budak ni!


Kami beredar dari restoran itu dengan hari girang. Sambil berjalan beriringan ke tepi jalanraya, puas kami berposing dengan pelbagai gaya sementara menanti tut-tut tiba. Ada apek penarik beca yang dijadikan model kepada produk kumpulan ini.


Kami kemudiannya ke tempat membuat kain sutera. Allah hu akbar. Cantiknya kain-kain yang dijual di sini. Secantik harganya. Melihat ulat sutera yang sedang memakan daun-daun, kami teringat subjek sejarah di mana ulat sutera diseludup dari negeri China dan dibawa ke Thailand untuk dibiakkan.


Abam-abam sado ramai yang mengambil kesempatan melelapkan mata, termasuk Boss. Punah harapan untuk saya membeli sepasang kain sutera. Lena sungguh tidurnya... Jenuh saya gerak. Buat bodo saja... Pandai!!!


Dari situ kami ke kilang kulit. Mahal! Kemudian kami ke Gems showroom. Mata saya terus menangkap sebentuk cincin nilam sebesar 3 carat. Harganya, Thai Bhat 510,000. Waduh! Sakan kawan-kawan lain mengerumuni saya...subhanallah! Ia memang cukup cantik!

Berjalan lagi dan saya terpandang sebentuk cincin delima potongan princess, diikat dengan berlian potongan bugget. Harganya Thai Bhat 2,300,000. Oh! Terasa-rasa lagi "kehilangan" di jari manis.

"Kak, Ain pun rasa macam missing something la kat jari ni. Cincin tu ada aura", kata Ain isteri Azrul.

Habis pakat gelak para suami yang mendengar. Bukan aura, kata mereka. Tapi auta!

Terbayang wajah Azrul dengan mulut muncung dan jelingan tajamnya sewaktu Ain memujuk untuk membelikannya cincin...."Bukan kita tak de duit! Kita tak nak beli!" Comel je...

Kami pulang ke hotel untuk berehat. Bilik cantik yang nyaman itu membuat tidur kami terlalu lena... Sedar-sedar sudah jam 7 malam. Rasanya baru saja lelapkan mata pada jam 5 tadi!


Pukul 8, kami keluar semula ke bandar untuk makan malam. Seperti yang saya tulis di atas, makanan halal tidak senang diperolehi....

Kami berjalan di Night Bazaar sambi menikmati Roti Pisang, pulut mangga dan air buah... Selepas sekali lagi makan tomyam, ikan siakap kukus, kangkung goreng, ayam goreng kunyit dan telor
dadar..seterusnya berjalan-jalan menikmati keindahan Night Bazaar di situ...


Pukul 12 malam, kami rebahkan badan di katil empuk dan hanyut dibuai mimpi... Alhamdulillah. Perjalanan panjang di hari pertama. Tiada yang membuat hati gundah. Hanya kesyukuran atas kegembiraan dan kasih sayang yang terjalin....

Bersambung....

www.bestmenserum.com

Saturday, May 23, 2015

SawadeeKap

Awal pagi esok kami akan terbang ke utara Thailand. Allah izinkan kami untuk menikmati keindahan ChiangMai dan ChiangRai. Bukan hanya kami berdua saja yang akan bermusafir dalam percutian ini, tetapi kami akan ditemani oleh 16 lagi rakan-rakan lain.

Percutian ini ditanggung sepenuhnya oleh TrueTech Cosmetic, pengeluar produk MenSerum yang sedang Boss saya, Haji Naha, pasarkan. Alhamdulillah, Rezeki itu Allah datangkan dalam pelbagai bentuk. Biarpun hidup bagai dilanda badai, keyakinan yang tiada tandingannya memberi kami jalan untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah kami fikirkan sebelum ini.

La hawla wa quwwata illa billah.

Ertinya: Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.

Berbekalkan sedikit kekuatan, saya hayunkan langkah perlahan-lahan mengikut rentak dan irama memulakan satu perjalanan baru. Semoga ianya sentiasa dipermudahkan.

ChiangMai, mu tunggu aku datang....

www.bestmenserum.com





Thursday, May 21, 2015

Sambal Hijau

Satu lagi kisah tentang makanan. Makin bersemangat saya mahu menulis tentangnya.

Orang Indonesia kata, sambel ijo.

Di sini, kita sebut Sambal Hijau. Ada sebuah restoran bernama Sambal Hijau yang terletak di Kg Sg Penchala, yang menyediakan makanan dari sarapan hingga ke dinihari. Subhanallah! Panjangnya deretan makanan tidak boleh saya nafikan. Rasanya.. Amat sedap. Harganya, berpatutan. Layanannya, *****.

(Disclaimer: Komen di atas adalah pendapat saya, seorang dewasa yang waras. Sekiranya anda punya pendapat berbeza, saya menghormatinya)

Usah ditanya menu kegemaran saya. Bagi pencinta makanan, rasanyasemua pun hendak dimakan!

Tuanpunya restoran adalah kenalan rapat kami. Sepasang suami isteri yang sentiasa merendah diri, berbudi pekerti mulia dan amat kuat berusaha untuk berjaya. Usaha mereka sejak sepuluh tahun lalu sedang memberi mereka kejayaan besar dalam perniagaan makanan. Saya cukup kagum melihat pelanggan beratur panjang untuk mengambil nasi, dan berdiri memegang pinggan yang penuh berisi menunggu tempat kosong dan beratur panjang sekali lagi di kaunter bayaran. Kadang-kadang mereka marahkan cashier hanya untuk menyerahkan wang mereka! Hebat!!

Selain menu berat, menu ala-Thai, goring-goring dan ala-carte, ada juga desserts yang sedap-sedap yang disediakan oleh sahabat-sahabat usahawan yang lain. Givers' gain, falsafah Tuan Azrul Shah Isa, tuanpunya restoran yang sentiasa muda remaja dan isterinya yang cantik jelita Puan Nooraini Abdul Majid.

www.sambalhijau.my
www.bestmenserum.com




Gambar ini diambil oleh Tuan Azrul dan dihantar khas kepada saya. Ketam ini selfie, katanya. Memang kejam!



Dalam banyak-banyak lauk yang terhidang, saya pasti akan ambil batang keladi masak asam rebus. Kecur air liur>



Sunday, May 17, 2015

Makanan Negeri Sembilan yang lazat!

Minggu lalu, saya dan ramai sahabat lain dijemput untuk makan tengahari sempena reunion dengan sahabat-sahabat dari Negeri Sembilan.

Waduh! Sedap sungguh makanan yang dihidangkan. Kami makan bersila... Hahaha. Sempot nafas saya dibuatnya. Orang gemok macam ni lah... Venuenya pula amat menarik. Ladang Alam Warisan di Seri Menanti. Ada sawah,ada kambing, kuda, tempat memanah, ayam, itik... Amat tradisional.


Saya catat menu makanan yang disediakan:

1. Ikan salai masak lemak cili api dengan daun maman;
2. Rendang ayam kampung dengan daun pegaga;
3. Daging salai masak lemak cili api dengan terung telunjuk dan pucuk ubi;
4. Rendang betik;
5. Kerabu pucuk paku;
6. Air jando pulang
7. Kuih sopang (badak berendam) yang berintikan gula enau;
8. Pengat pisang;
9. Sirap biji selaseh;
10. Kopi O pekat.

Hingga kini saya masih terasa-rasa keenakan makanan yang jarang sekali saya rasa.

Hari ini, saya bayangkan saya makan berlaukkan sambal daun kayu dan masak lemak telor itik campur belimbing buluh. Kecur air liur...

Nikmat makan... Alhamdulillah. 


Tuesday, May 12, 2015

Bermula Kecil Bermula Betul dengan HiGoat

Antara pelajaran yang saya perolehi dari Tuan CeoSamadKinto www..samadkinto.comdi Jemaah Kopi Satu ialah Bermula Kecil Bermula Betul.

Hebat betul kuasa kenyataan yang Tuan Ceo kongsikan.

Lalu, saya pun mencari apa agaknya yang boleh saya usahakan. Ada beberapa jenis produk yang boleh saya jual untuk dapat pendapatan. Saya minat makan. Apa kata jika saya jual makanan.

Kebetulan saya didekati oleh Kak Eda. Beliau menghasilkan serunding ikan bilis yang marvelous sedapnya. Saya beritahu Kak Eda yang saya mahu edarkan produk itu. Beria-ia saya usahakan. Create brand, HANA namanya. Saya promotekan di fb dan IG. Alhamdulillah...laku.

Entah di mana silap dan salah.. Saya hilang semangat mahu teruskan usahasama itu. Banyak duit habis, dan keghairahan mengeluarkan HANA hilang ditelan masa. Sedap bagaimana sekalipun, ia bukan jaminan untuk saya berjaya. Ia hanya sebahagian dari penyebab kejayaan.

Lalu saya beralih ke produk lain. So-so.

Kemudian, saya dihampiri oleh HiGoat. Pengeluar susu kambing yang dimiliki oleh usahawan terbilang, Dato Hashim dan isterinya Datin Atikah.

Kata Dato, berniaga umpama berperang. Sebelum masuk ke medan peperangan, kena lah kenal pasti di mana paritnya, bukitnya, semaknya. Kena tahu juga dengan siapa mahu berperang, senjata yang digunakan dan semuanyalah.

Emmm... Sah!

Sewaktu saya memulakan HANA, saya kurang ilmu. Saya didorong oleh perasaan mahu berjaya dengan kuasa duit. Saya tidak In Out dan Out In.

Saya perhati segala benda yang dalam rumah saya.

Saya buka laman web HiGoatwww.hrgroup2u.com dan kenali produk-produk yang ditawarkan. Aik? Semua ada dijual di sini? Macam supermarket pula. Tapi di alam maya.

Lalu saya mulakan langkah kecil saya. Doa saya permulaan ini betul. Saya tidak perlu memohon 11 jenis lesen seperti yang HRGroup sudah miliki. Saya tidak perlu buat segala macam research kerana ia memang telah dibuat oleh pihak HR.

Saya paling bertuah kerana dapat bertalaqi dengan Dato dan Datin serta dapat melihat sendiri bagaimana pengeluaran produk HiGoat dilakukan. 

Semoga saya terus tabah meneruskan usaha ini dan mencapai kejayaan besar sepertimana yang telah dikecali oleh Dato Hashim dan Datin Atikah. Amin.



Sinetron

Entah mengapa saat ini saya teringat dialog Kassim Selamat kepada mak mertuanya dalam filem Ibu Mertuaku:

Aku hairan kenapa Allah jadikan manusia sepertimu di dunia ini?

Saya teringatkannya sebab terkenang cerita kawan saya Nita siang tadi. Bagaimana dia dibenci sehingga hidupnya menjadi kucar-kacir. Nita yang sedang dalam kesedihan tidak dapat membayangkan kenapa seorang rakannya tergamak untuk membencinya hingga sebegitu.

Sambil menghirup teh ais di Syed Bistro, dia teruskan bicara dengan suara perlahan.

"Agaknya dia nak sangat tengok I mati melepek tepi jalan tidak dipedulikan. One after another dia buat kat I. I sampai hilang daya nak fikirkan apa lagi cara untuk I hadapi umpat keji dia."

Saya tatap wajah ayunya yang sendu. Tampak jelas kekecewaan dan kesakitan yang sedang ditanggung. Dalam masa sama,  saya bayangkan yang saya sedang menonton sinetron. Wajah pelakon garang yang kejam dan tidak berhati perut bermain di mata saya.

"Suria... Ini kisah benar. Depan I punyalah baik. Lembut sangat suara dia. Concern sangat kat I. Tapi sebenarnya, dia tikam I habis-habisan. I tak berdaya untuk menghentikan apa pun fitnah dan tohmahan dia pada I. Dia ada all the avenues untuk pastikan orang percaya dengan cerita dia and I don't. I am so sad."

Saya terdiam. Tiada suara. Cuba merenung apa kisah di balik cerita itu. Saya sendiri pun tidak tahu apa yang sedang saya hadapi.

"I keep on praying that Allah will make things easy for me. I know He will. Just that, as human, otak I tak boleh nak digest macammana dia boleh jadi sekejam itu. Dia kata dia kawan I, tapi... Subhanallah. I am very sure I will not do that to anybody walau pada musuh I sendiri."

"Bersabarlah sahabat. Ini hari kita. Hari kita diuji. Bukan kerana Allah hukum kita, tapi kerana Allah sayang kita. Dia tahu you boleh hadapi situasi ini. Kalau I, sure dah terbaring pengsan."

Semoga Nita terus tabah. Kalaulah dia tahu apa yang sedang bergolak dalam hati saya, pasti tangisannya akan jadi lebih kuat...

Kami berdua ketawa kuat bila saya ulang kata-kata Amri kepada saya minggu lalu:-

Dalam dunia ni, ada 3 benda yang paling best.
1. Makan free
2. Mengumpat
3. Kayuh basikal naik bukit, lepas tu lepaskan tangan bila turun dari bukit...yeay!!!!


Sunday, May 10, 2015

Jemaah Kopi Satu

Oktober 2014, saya mengambil cuti sehari untuk berguru dengan seorang hartawan dan jutawan yang berbisnes dari rumah. Logik akal tidak membenarkan saya percaya bulat-bulat apa yang saya baca dan dengar. Teori juga tidak mengizinkan saya mengikut framework yang tiada dalam buku. Apa hipotesisnya?

Subhanallah. Ia memang lain dari biasa. Saya berkenalan dengan mereka yang hebat walaupun mereka tidak punya ijazah dan sijil berderet seperti sangkaan saya. Guru yang mengajar adalah seorang yang berkelulusan SPM dan berpengalaman bekerja sebagai despatch dan driver. Biar betul?

Memang betul. Ia bukan tentang ijazah atau sijil. Ia tentang semangat. Aspirasi. Kehendak. Tindakan. Niat.

Dalam hati, dengan nada sombong saya kata, "apa lagi nak dikejar?"

Silap. Saya silap besar.

Selepas hari itu, kami dikumpulkan di dalam satu kumpulan yang diberi nama "Jemaah Kopi Satu." 80% GenY. Saya antara otai. Mengikut rentak mereka maknanya saya perlu berlari laju. Semput nafas saya.

Antara kami ada tuanpunya Restoran Sambal Hijau, ada tuanpunya dan pengasa HiGoat, ada pegawai tinggi kerajaan, ada Jurutera, ada Saintis dan kebanyakannya berniaga. Kami semua "Bermula Kecil, Bermula Betul."

Entah bagaimana kami boleh bina keakraban yang amat hebat. Kasih sayang antara kami melimpah ruah. Saya antara Kakak yang mereka punya. Rumah saya menjadi tempat mereka melepak. Anak-anak saya adalah adik-adik mereka. Begitu juga dengan jemaah yang lain. Kami saling menghargai. Menyayangi. Hanya kerana Allah.

Kami tidak bersaing. Kami berlumba-lumba.

Kami sayang guru kami yang hebat, Tuan CeoSamad Kinto atau Tuan Abdul Samad Abd Rahman yang begitu dedikasi mahu menjadikan kami kaya dan berjaya sepertinya. Duit simpanannya berkepuk-kepuk. Hartanahnya berada di merata tempat. 5 tahun berniaga, beliau menjadi jutawan (US$1M) selepas 3 tahun...

Saya tarik tangan suami untuk bersama dalam jemaah ini. Mulanya beliau teragak-agak. Selepas melihat kemesraan dan keakraban kami, beliau mula mendekat. Akhirnya dia bersama membina empayar perniagaan dengan ahli jemaah. Jual apa? Jual lifestyle...

Ia bermula dengan gaya hidup. Tentang kepuasan peribadi. Seterusnya tentang kebebasan kewangan. Ia tentang membina jemaah bisnes yang hebat.

www.bestmenserum.com




Saturday, May 9, 2015

Hari Ibu

Selamat Hari Ibu.

Sana sini ucapan Selamat Hari Ibu berkumandang. Lagu untuk ibu berdendang.

Ibu.
Kerjanya menjaga anak. Eh silap! Mengandung sembilan bulan. Dengan mual. Pening. Mengidam. Sakit. Berat badan bertambah-tambah, Kemudian melahirkan. Usah ditanya sakitnya melahirkan. Orang kata ia sakit kedua selepas mati. Masalahnya orang yang pernah merasai mati tidak akan mampu memberitahu bagaimana sakitnya ketika mahu mati.

Melahirkan pula bukan sekali. Berkali-kali. Lepas bersalin, terkepot-kepot bila nak berjalan. Sakit di sana. Di sini. Baby halus yang asyik menangis 24 jam sehari. Nak mandikan pun takut sangat terkehel sana sini. Gagahkan juga. Baring terlentang salah. Mengiring juga salah. Duduk  perlu bersimpuh. Pakai stokin. Pakai palas di dahi. Pakai param di seluruh badan. Makan jamu. Asyik-asyik dipesan, "Jaga badan. Lama lagi nak pakai tu."

Si baby lapar. Disuakan puting susu kepadanya. Dalam keadaan badan yang masih terhoyong-hayang. Aduh! Sentap selalunya. Lidah baby kasar. Terkena di puting susu, berdarah-darah. Menangis la sendirian. Apakan daya, susu ibu makanan terbaik dalam dunia. Kena baby lelaki yang asyik lapar, kerap la pulak menyusunya. Baby perempuan dari lahir asyik nak jaga badan. Menyusu sedikit sudah kenyang. Lalu bengkak la susu. Apa yang akan jadi pada ibu bila susu bengkak? Demam.

40 hari makan berpantang. Mandi air daun-daun. Bertungku. Bertangas. Silap makan sikit boleh buatkan baby kembung. Serba serbi berpantang. Kalau ikut arwah Mak, membaca pun tak dibenarkan. Nanti mata cepat rosak. Anak sulung bolehlah. Masa Mak ada bolehlah. Dibuatnya anak dah dua tiga... Dalam sakit tu, kena juga ke dapur. Kalau tak ke dapur, apa yang nak dimakan? Anak-anak berkeriau kebulur...

Sebelum zaman diapers, pakai lampin kain. Basuh lah lampin baby dalam sinki... Sebabnya, tak mampu nak menyangkung. Nak cuci pakai mesin orang kata nanti lampin jadi kasar. Sakit kulit baby. Oh! Segalanya tentang baby.

Dari dok terlentang sengih-sengih, baby dah pandai mengiring, keluar suaa gelak besar, meniarap, menyelar, duduk, menyangkung, berdiri, bertatih, berjalan,berlari, tumbuh gigi, bercakap... Semua perkembangan itu mengasyikkan ibu. Penat ibu tidak perlu diberitahu. Sebab sepanjang nak besarkan baby, demam dia,rengek dia, keletah dia. Kebanyakan masanya, ibu jaga anak secara trial and error. Bukan semua cara boleh digunapakai oleh semua anak. Ada anak sering jatuh sakit. Ada anak sihat kiat bertenaga.

Bagi ibu bekerja, haru biru selalunya. MC dan EL perkara biasa. Tiba-tiba babysitter buat hal. "Akak nak pegi hospital hari ni". Pang! Macam kena pelempang. Makanya... EL. Esok mengadaplah muka Boss yang macam entah apa. Bila tiba bab promotion arau increment, bab yang EL tu yang Boss dok sebut tak habis-habis.

Membesarkan anak, mendidik anak, menggembirakan anak, mendodoi anak, mendisiplinkan anak, merawat anak. Dan seribu satu tugas lain adalah tugas hakiki seorang ibu. Selain dari itu, ibu perlu jaga ayah. Ayah yang cerewet. Baju dia, kasut dia, seluar dia, seluar dalam dia, stokin dia, tie dia... Ibu juga wajib layan ayah bila-bila masa sahaja. "Tak larat la Bang.." Ambik kau! Berdosa. Tak cium bau syurga.

Belum masuk hal bil-bil yang ibu perlu langsaikan. Eh! Bukan itu tugas ayah? Hmmm... Alamatnya TNB datang potong bekalan. Alih-alih air dah tiada. Kereta kena tarik. Ibu redha. Ibu nak masuk syurga. Jika bukan tanggungjawab, ibu kata. "sedekah. Kalau ikhlas, syurga."

Berlarutan kisah ibu. Setahun jadi sepuluh tahun jadi dua puluh tahun. Ibu dah makin berusia. Hilang cantiknya. Berkeladak macam air paya. Saiz badan jadi macam tong deram. Orang kata ibu kuat makan. Mana orang tau ibu lah yang habiskan semua makanan yang dia beli bahan mentahnya di pasar, dia siang sebaik sahaja tiba dari pejabat, dia masak berpeluh-peluh dengan tudung pun tak sempat nak buka, hidang atas meja cantik-cantik, siap dengan air dan susun pinggan sudu garpu bagai... Alih-anak ayah kata "tak de selera". Anak kata "dah makan dengan kawan tadi".

Ibu pun makan... Sedih ke tak sedih ke... Ibu makan jugak.

Pasal tu badan ibu gedebab macam tong. Eh... Sana sini orang kata ayah hensem. Muda. Ibu tua. Mula orang pandang senget. Kata ibu tak pandai jaga ayah. Ibu tak pedulikan ayah. Ibu tak layak untuk berdiri sebelah ayah.

Ibu ingat harijadi semua anak-anak, harijadi ayah, hari ulangtahun perkahwinan, hari pertama jumpa ayah, harijadi makcik pakcik atuk nenek semua ibu ingat. Ibu juga ingat Hari Kekasih, Hari Ibu, Hari Ayah, Hari Guru. Ibu cari hadiah sana sini. Ibu juga ingat makanan apa yang anak-anak suka. Minuman apa yang anak-anak gemar. Teringin ibu nak dengar anak tanya, "Ibu nak minum apa?"

Hari gaji,,,ibu ke Giant beli barang rumah. Anak-anak punya pencuci muka pun ibu belikan. Ayah punya kiwi kasut pun ibu ingat. Lepas tu ibu buat online transfer masukkan duit anak-anak dalam Tabung Haji. Errr.... anak-anak tak pernah bagi ibu walau RM10 pun masa anak dapat gaji. "Ala...ibu banyak duit kan?"

Hariajdi anak...Ibu belikan cupcakes banyak-banyak siap dengan topeng dan belon, buat party di kelas anak. Harjadi ayah, Ibu tempeh meja di hotel. Di restoran mahal.

Harijadi ibu.. Tiap tahun ibu ucap pada diri sendiri. Bila dah bengkak mata, ayah akan kata, "bukan ucapan atau hadiah yang diperlukan. Ingatan yang penting." Setahun, dua tahun...eh! 30 tahun pun masih sama daaa...

Anak nak masuk universiti ibu yang excited. Belikan cadar, baldi, sabun... Hantar nangis-nangis. Anak konvo ibu yang terlebih happy. Kalau boleh pakat nak khabar satu dunia.

Di Hari Ibu... Ada ibu yang menangis dalam diam. Lepas subuh tadi, dia pegi pasar beli lauk. Masak sarapan yang istimewa untuk keluarga yang disayang. Duit datang dari beg duit dia sendiri. Dah siap masak, dia hidang cantik-cantik atas meja. Dia buka fb, ramainya orang post ucapan hari ibu.

Anak-dia ibu turun dari atas, makan dan berlalu. Ayah makan bila ibu jemput makan dengan lemah lembut. Dah kenyang, ayah letak pinggan kotor atas pinggan ibu dan bangun berjalan ke depan.

Ibu basuh pinggan di dapur sambil kesat airnata dengan hujung lengan baju.

Semoga ibu terus tabah. Syurga untuk ibu hendaknya.