Wednesday, June 17, 2015

Ramadhan 1436H #1

Alhamdulillah. Allah izinkan kita menyambut Ramadhan yang mulia sekali lagi. Syukur kepadaNya, diberi kesempatan untuk terus beribadah dan memohon keampunan dariNya. 

Jika sebelum ini saya beri alasan "bekerja" demi untuk menghilangkan rasa bersalah kerana tidak dapat melakukan apa yang sepatutnya dilakukan di bulan Ramadhan, kali ini, saya tidak ada alasan lain. Semoga saya tabah! :-(

Ada 7 amalan mudah (?) yang sukar sekali untuk dilaksanakan dalam bulan ini. Ia pastinya akan menjadikan kita hambaNya yang disayangi dan diredhai. 

1. Membaca Quran
Biasanya, saya cukup bersemangat di awal Ramadhan. Nampak seperti pasti boleh! Ia bukan lagi rahsia bila semangat berkobar-kobar itu terhenti bila ada "cuti wajib". Semangat entah ke mana, sambungannya entah bila.

Saya berdoa saya sentiasa bersemangat untuk khatam Quran di Ramadhan ini.       

2. Membanyakkan sedekah
Menjadi surirumah bukan sesuatu yang glamour dari segi kewangan. Jika ada wang di tangan, ia bukan hasil usaha sendiri. Ia pemberian suami. Makanya, dompet memang selalunya kosong. 

Apa agaknya sedekah yang boleh saya banyakkan? Rajin-rajinlah memasak wahai Suria..lepas masak sedap-sedap tu, hantarlah ke rumah-rumah jiran untuk mereka nikmati kala berbuka. Allah hu akbar! Banyak pahala dapat. Menggembirakan jiran, memberi makan orang berpuasa, suami pun dapat pahala. Ish! Banyak lah!

3. Menuntut Ilmu
Untungnya jika rajin. Belajar pun dapat pahala. Dengar kuliah, tazkirah, ceramah...pun dapat pahala. Allah ya Allah! Bulan puasa ni lah mata selalu sangat jadi kecik. Patutnya bila kenyang mengantuk, ini lapar pun sentiasa mengantuk. Syaitan dah kena ikat... Nafsu pula yang tidak mampu melawan.. Mengantuk manjang. Silalah berlawan dengan mengantuk!

Berpesan Imam Syafie:
Jika kamu tidak merasa keperitan menuntut ilmu, maka rasalah keperitan dalam kebodohan.

4. Berzikir
Berzikir ertinya mengingati Allah. Sebut lah apa pun. Di setiap hela nafas, hanya nama Allah yang kita ingat. Saya, ye, saya... Selalunya, belum habis lima jari, sudah lena beradu. Kadangkala siap berdengkur lagi. Amat nyenyak! Allah Yang Maha Besar. Dia Mengetahui apapun yang terlintas di hati hambaNya. Dia yang cipta kita kan? 

5. Solat Terawih
Bab ni, semua orang bersemangat. Di Masjid Negeri Shah Alam, penuh sesak bagaikan diMasjidil Haram. Imam-imam pula suara dan bacaan, pergh!!! Hebat-hebat belaka. Kena Sheikh Karim, Imam Hatta, Imam Besar Farhan, Ustaz Firdaus, Ustaz Abu Zar... Suara mereka memang meruntun kalbu! 

Selalunya saya akan menemani Aman di rumah bila semua penghuni rumah memilih untuk bertarawih di surau atau masjid. Makanya, jika rajin, banyaklah rakaat saya. Jika malas? Usah ditanya. Semoga saya terus tabah.

6. Qiamullail
Di Masjid Negeri pun memang diadakan qiamullail di setiap hujung minggu dan 10 malam terakhir. Saya berdoa saya istiqomah bangun siapkan juadah sahur untuk semua, kerana Aman juga perlu mula berpuasa (sudah 5 tahun). Dapat bertahajjud sambil bertaubat nasuha dan menangis dan berkeluh kesah dengan Sang Pencipta.. Kuatkan hati, wahai Suria!

7. Amar makruf nahi mungkar
Saya manusia yang sentiasa melakukan kesilapan. Apa yang berlaku baru-baru ini sebahagiannya disebabkan kesilapan saya yang alpa dengan keindahan dunia. Saya memohon keampunan hanya dari Allah dan dari mereka yang saya sakiti dan saya bertaubat nasuha tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi. Saya mahu kembali kepadaNya dalam keadaan bersih. Dijauhkan dari api neraka. Dimasukkan terus ke dalam syurga tanpa dihisab. 

Semoga Ramadhan ini menjadi titik mula kepada kebaikan dan noktah kepada kemungkaran buat diri ini dan semua yang disayangi. Hanya Allah tempat kita meminta pertolongan.

Jauhkan aku dari segala yang mungkar Ya Allah. Dan terimalah amal kebaikanku, agar nanti dapat daku bersama Rasulullah saw dan mereka yang aku sayangi di syurga firdaus.

Amin


Jejaka tampan sudah bersedia untuk terawih pertama Ramadhan 1436 di Masjid Negeri


Mama dan Aman di rumah. Kakak dapat ke masjid. Bibik ke surau. Alhamdulillah.




No comments: