Sunday, September 30, 2007

Terharu

Musim menerima dan menghantar kad raya telah bermula. Dalam banyak-banyak kad raya yang saya terima, ada sekeping yang membuatkan saya terharu. Ingin saya abadikan di sini sebahagian dari isi kandungannya dan dapat disimpulkan apa yang membuat saya merasa demikian:

Dearest Pn Mahasuria Idris,

May this year Hari Raya gives you and your family the joy and love.....Yesterday's 'buka puasa' (27.09.07) was totally amazing. Pn, I would like to take this opportunity to thank you so much for being part of my journey...I really admire your strong character, your level of confidence, your words....gosh, I wish time is on my side. I really want to learn more from you.

My dreams are yet to be achieved, but I hope Pn, that you will include me and my other friends in your daily prayer, especially this up coming final examination.......

Ditandatangani oleh : Anna Theresa Peter Amandus.

Aaaaahhhhh! Saya rasa benar-benar dihargai. Pernah dulu saya menghantar email kepada supervisor saya, Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim, mengucapkan terimakasih. Prof Kamil kemudian mengabadikan email tersebut di dalam bukunya, PhD Kecil Tapi Signifikan. Waktu itu saya tidak merasai apa yang Prof Kamil rasakan, namun kini saya faham kenapa Prof Kamil berbuat demikian....

Thursday, September 27, 2007

Sihir

Saya memohon maaf kepada beberapa individu yang tidak mendapat maklum balas dari saya tentang Ustaz yang mengubat suami saya sewaktu beliau diganggu makhluk halus / disihir. Saya baru perasan yang saya 'termiss' beberapa comments.

Hubungi saya di idrismahasuria@gmail .com untuk mendapatkan nombor ustaz tersebut. Saya akan cuba membantu mana yang mampu.

Salam.

Satu kemestian

Sejak saya mula mengenali dunia bloggers ni, saya rasa pelik jika saya tidak melakukan satu perkara ini: membaca cerita2 baru di blog-blog mereka yang berkenaan.

Bulan puasa ni, seringnya saya tidak tidur selepas sahur. Ini masa yang cukup sesuai untuk saya melayari blog-blog yang saya sering kunjungi. Saya belajar macam2. Dari ilmu agama, hinggalah ilmu kecantikan....

Saya terasa macam.... kalau di kampung, wanita2 dan ibu2 sering bersembang di beranda rumah (or maybe pagar, sekarang ni), tapi wanita moden ni kerja bersembang tanpa suara...di alam maya... fundamentalnya sama, sembang... tapi, tak ngumpat.... Ok lah gak kan???

Monday, September 24, 2007

Jimie dan PMR

Seminggu saja lagi, Jimie, anak kedua saya, akan menduduki PMR. Dia betul-betul tertekan kini. Jimie sentiasa inginkan kemenangan. Pantang untuknya menerima kekalahan.

Tadi, waktu berbuka, dia nampak cukup resah dan tertekan. Saya biarkan dia melayan perasaan. Dan, di akhir waktu berbuka, saya katakan padanya: "PMR adalah satu dari banyak ujian yang Mie kena tempuh. Tapi, ia bukan penghabisan cerita. Mie kena cuba seberapa daya untuk dapat yang terbaik buat Mimie, bukan untuk orang lain. Doa banyak-banyak, Insyaallah, semuanya jadi mudah untuk Mie."

Suara saya sendiri tersekat-sekat... Saya mahu dia dapat straight As kerana dia mampu melakukannya. Namun, saya tidak mahu dia menyeksa perasaannya sendiri. Tanpa sesiapa menduga, airmata anak bujang saya mengalir deras.... Aah...luluh hati saya melihat dia mengalirkan airmata....

Kami semua ketawa, termasuk Bibik Seri. Kelakar ada, sedih pun ada. Saya doa siang dan malam, 24 jam sehari, supaya dia berjaya mendapat 8A..... Saya tahu dan yakin doa seorang ibu akan dimakbulkan Tuhan, apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini....

Saturday, September 22, 2007

Hari Raya

Tak sampai beberapa hari lagi kita semua akan menyambut Hari Raya. Saya tidaklah sibuk sangat sekarang, tapi saya rasa saya sedang sedih..

Saya asyik teringat emak ayah saya yang telah pergi sepuluh tahun lalu. Saya juga teringat dua orang abang saya yang juga telah pergi. Saya tak tau kenapa.. Mungkin kerana di hari raya kami selalunya berkumpul dan bergurau, bergaduh, bermasam muka dan bermaafan..

Abang saya, Abu Bakar Idris, meninggal pada 10 Mac 1994 di Hospital Kelang. Pada ketika itu arwah berusia 31 tahun 10 bulan. Kami berdua amat rapat. Ke sekolah bersama, pegi ngaji sama, gaduh sama.... beliau pergi kerana sakit buah pinggang, meninggalkan anak-anak: Aina Amira, kini 17 tahun, Amirul Akmal, kini 15 tahun, Amirul Afiq kini 13 tahun dan isteri, Anita Ahmad. Sewaktu abang saya pergi, isterinya sedang mengandungkan Afiq 7 bulan. Saya ada menulis sebuah 'novel' tentang arwah abang saya, dengan kakak ipar saya menjadi watak utama cerita tersebut. Saya tulis sewaktu saya sedang bergelut menyiapkan tesis Master's saya pada tahun 2002. namun hingga kini, saya masih belum menerbitkan novel tersebut. Saya tak tahu bagaimana....kalau ada sesiapa yang tahu, tolong beritahu saya.

Kakak ipar saya tidak mencari pengganti sehingga kini. Bagi saya, itu cinta sejati... Beliau besarkan ketiga-tiga anak sendirian. Saya dan keluarga lain membantu mana yang patut, namun bantuan kami tidak seberapa sebenarnya. Ita amat tabah dan kuat. Mia, Mamal dan Afiq kini membesar sebagai remaja yang cantik dan kacak. Namun, wajah mereka suram, terutama Mamal yang renungan matanya kosong... Tiap kali saya terpandang mereka, saya pasti menangis. Saya amat rindukan abang saya..

12 disember 1996, ayah saya, Idris Abdul Kadir, meninggal kerana sakit jantung. Beliau sakit sejak abang saya pergi. Keluar masuk IJN rutin beliau. Akhirnya ayah saya pergi pada pagi Khamis, dua hari sebelum pernikahan adik saya, Epah.... Empat bulan kemudian, emak saya, Saadiah Sujak, koma. Selepas Isya 16 Jun 2007, dia pula pergi tinggalkan kami semua yang sememangnya masih bermurung....

Kami adik beradik menjadi semakin rapat sejak pemergian mereka semua. Setiap cuti sekolah kami akan bersama di bukit tinggi yang dingin, atau berkejar-kejar di tepian pantai atau berjemur di pulau-pulau indah. Bila tiba Ramadan, kami akan berbuka bersama di rumah setiap dari kami bergilir-gilir. Dan, tengahari hariraya pertama, kami akan berkumpul di rumah arwah emak. Hari Raya kedua kami akan berkonvoi bersama, sekurang-kurangnya lima buah kereta, menziarah saudara-mara. Kami selalunya akan berpakaian mengikut tema warna. Macam kumpulan marhaban....

Kapten kami adalah abang kedua saya Mohd Aris Idris. Namun, pada 30 Mac 2006, Abang Aris pergi meninggalkan kami kerana sakit jantung ketika berusia 50 tahun. Semua kini hanya tinggal kenangan terindah. Kami sekeluarga masih bersama, namun, hari ini, saya berasa cukup sedih dan sunyi.....Aaaaaahhhhhh!!!!!! Saya rindu...

Friday, September 21, 2007

Doa buat Nurin

Betapa marahnya seluruh negara apabila menerima khabar tentang Nurin. Bodohnya manusia yang berhati syaitan itu. Saya kata dia bodoh kerana dia lupa yang Allah sedang memerhatikannya.

Saya amat berharap Nurin tidak mengalami kesakitan ketika didera. Saya takut untuk menutup mata dan berfikir yang Nurin menangis meminta tolong.... Anak-anak saya digigit nyamuk pun saya terjaga, inikan pula....

Tuhan...berikan kekuatan kepada ibubapa dan keluarga Nurin. Jangan sukarkan mereka lagi Ya Allah. Berat benar dugaan yang Kau beri kepada mereka. Namun, seperti janjiMu Ya Allah, Engkau tidak akan membebankan hambaMu dengan beban yang tidak mampu mereka pikul.

Nurin, kami pasti Nurin tenang di sana...Al-fathihah

Wednesday, September 19, 2007

Anand, Mas Idayu dan Steven

Hari Ahad lepas Steven Pang, bekas pelajar Bachelor in Accountancy BIA) saya, menalipon dari Singapura. Beliau memberitahu bahawa beliau kini bekerja di tempat baru. Sebuah multinational milik American di Singapura. Steven menyatakan terimakasihnya kepada saya kerana nasihat dan galakan yang saya beri kepadanya selama ini. Saya mengajar Steven Theory of Accounting di semester akhir beliau pada tahun 2006.

Hari Selasa petang, Anand menalipon saya dengan suara terketar-ketar. Anand adalah pelajar Bachelor in Business Management yang saya ajar subjek International Financial Management tahun 2006 juga. Anand amat gembira kerana beliau yang kini bekerja di HSBC Bank telah mendapat tawaran untuk menjalani latihan di HSBC London mulai 16 Oktober ini selama dua bulan. Anand berjanji akan membawa saya ke Peranchis sekiranya beliau ada wang yang cukup.

Malamnya, Mas Idayu, seorang lagi pelajar BIA saya menalipon memberitahu yang beliau akan mula bekerja keesokan harinya di Strawberry Park Resort, Kijal, Terengganu.

Cerita di atas hanya secebis dari kisah gembira yang dibawakan oleh bekas-bekas pelajar saya. Mereka berjaya, saya tumpang gembira. Setiap kali saya mengajar, saya bukan hanya memberi mereka apa yang terkandung dalam silibas, tetapi saya sering letakkan benchmark kejayaan mereka. Saya sering tekankan tentang keupayaan lain yang mereka perlu ada untuk mendapat yang terbaik. Saya sering jadikan pengalaman saya dahulu sebagai rujukan. Saya pernah bekerja di Coopers, Big 4 dalam audit di dunia. Saya pernah kerja di Uniphone dan Celcom, public listed company dan saya pernah berada di Alcatel, sebuah multinational. APa yang saya ada? Selain dari kelayakan akademik, saya punya self-confidence yang tinggi dan kemampuan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Saya mahu anak-anak yang saya didik merasai pengalaman bekerja di firma dan syarikat besar kerana mereka akan dapat pendedahan yang tidak ternilai. Antara pengalaman yang saya perolehi ketika bekerja di syarikat besar adalah peluang melihat dan mengembara ke negara orang, bekerja dengan orang asing dan saya mendapat gaji lumayan.

Kenapa saya di sini? Gaji, Pangkat? Langsung tidak.... Saya di sini hanya kerana saya rasa inilah masanya saya curahkan apa yang saya telah perolehi kepada orang lain. Saya akan pastikan anak-anak ini pergi lebih jaih dan melompat lebih tinggi! Insya Allah.

Doa buat Guru

Semalam adalah kelas terakhir saya dengan pelajar-pelajar bachelor in International Business majoring in Banking & Finance. Saya mengajar mereka sejak bulan November 2006, iaitu subjek International Financial Management dan sejak May 2007, subjek International Financial Analysis & Reporting. Pelajar-pelajar ini akan menduduki peperiksaan minggu hadapan dan selepas Aidilfitri ini mereka akan mula bekerja.

Saya rasa sebak dan terharu kerana mereka antara pelajar-pelajar kesayangan saya. Walaupun tidak saya nafikan ada antara mereka yang sering menyakitkan hati, namun bukan kesemuanya begitu. Saat mereka mahu keluar dari kelas, setiap dari mereka bersalam dan mencium tangan saya memohon restu agar mereka berjaya. Lelaki, perempuan, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban....mereka ibarat anak-anak saya sendiri. Sebagai guru, tiada apa yang lebih membanggakan saya selain dari melihat dan mendengar kejayaan mereka.

Setelah hampir dua tahun saya menjadi pensyarah, saya dapat rasakan bahawa kepuasan ini tidak dapat ditandingi dengan wang ringgit dan glamor di sektor korporat.

Ingin saya nyatakan betapa saya sendiri amat menghargai setiap ilmu yang dicurahkan oleh semua pensyarah-pensyarah dan guru-guru saya dulu. Ada antara mereka yang telah pergi, namun ilmu yang mereka beri dan saya amalkan sehingga hari ini tidak akan habis. Hanya Allah yang dapat membalas. Semoga kalian beroleh kesejahteraan dunia dan akhirat.

P/S: Guru-guru saya di SRK (P) Bukit Kuda, Kelang, SM (P) Methodist, Klang, SM Teknik, Kuala Lumpur, UiTM Shah Alam (Diploma & Advanced Diploma in Accountancy) dan Masters of Accountancy, UiTM Shah Alam.

Monday, September 17, 2007

Buka Puasa Bersama Keluarga

Sabtu, 15 Sept. 07, saya menjemput seluruh adik-beradik saya (saya anak ke 8 dari sepuluh beradik) untuk datang berbuka puasa di rumah saya. Ini adalah rutin tahunan kami sekeluarga, setiap minggu di rumah setiap seorang dari kami. Saya sentiasa menjadi hos pertama kerana suami saya selalunya teramat sibuk pada minggu-minggu terakhir Ramadan kerana kunjungan ke kedainya menjadi semakin rancak menjelang hari-hari terakhir puasa.



Menu yang saya sediakan: Nasi putih, siput sedut masak lemak dengan batang keladi, kerabu mangga (mangga petik kat depan rumah), ikan pari bakar dengan air asam, ayam goreng istimewa (resepi bibik seri), sayur goreng, ulam dan sambal tempoyak. Adik saya, Epah, datang membawa cempedak goreng, Kak Non datang dengan popia dan tauhu sumbat, Kak We dengan nenas, betik dan air soya, Kak Uji dengan soto dan cempedak goreng dan Kak Wie tiba sebagai orang terakhir (Kancilnya mati di traffic light!) dengan tembikai dan kuih-kuih kiriman Ita, kakak ipar saya..



Ulong juga sampai dengan anak-anaknya, Iwan yang belajar di UiTM dan Yin di UKM. Meriahnya suasana di rumah saya hari itu. Sebanyak-banyak makanan yang saya hidang, semuanya licin! Kami berjemaah Maghrib, Isya' dan terawih di rumah saya. Seronok betul saya hari itu....



Keesokannya, Ahad 16/9, kami berkumpul di rumah emak di Kg Kuantan pulak. Tak sangka pula semua adik beradik suami saya hadir. Mujur saya beli daging dan sotong banyak semalamnya. Hidangan hari itu: Nasi putih, daging masak lemak cili api, sambal sotong, sayur goreng, ikan masin dan sambal belacan belimbing. Ngah Uji tambah ikan terubuk bakar dengan sambal asam. Segala macam buah ada - tembikai, tembikai susu, mangga, nenas dan betik.... Emak buat bubur som-som kegemaran semua...Masing-masing pesan pada Ira supaya tidak menghabiskannya! Kami makan dan terus makan tanpa henti. Selepas Maghrib, masing-masing minta urut dari Uda (kakak ipar saya ni pandai mengurut). Ira (pelajar ACCA final) juga sedang mengambil Diploma Fisioterapi dengan MSN. Dia pun mengurut juga. Eija, anak buah suami saya, adalah Mak Andam. Yang buat facial pun ada!!!



Suasana meriah pada hari itu diakhiri dengan sembahyang terawih berjemaah. Sekali lagi anak saya bergembira dengan sepupu-sepupu mereka. Emak tersenyum lebar di akhir pertemuan istimewa kami tahun ini.... Mudah-mudahan ada lagi situasi ini tahun hadapan....

Thursday, September 13, 2007

Gempa bumi, Terawaih dan Puasa

Semalam, hari Rabu 12 September 2007. Gempa bumi berskala 8.3 menggegarkan Jambi di Sumatera pada pukul 6.30 petang. Banyak kemusnahan berlaku dan banyak jiwa terkorban. Ancaman tsunami juga dikeluarkan. Kita di Malaysia mendapat berita ini menerusi TV. Saya dan keluarga terdiam di depan TV. Waktu itu kami sedang bersiap untuk ke surau mengerjakan solat Isya' dan terawih.

Saya rasa amat bersyukur kerana dapat mengerjakan solat terawih dengan jayanya, walaupun saya teramat penat dan kaki saya begitu 'ketat' sekali. Saya takut sekiranya saya hanya mendapat 'niat' semata-mata, namun akhirnya, alhamdulillah saya berjaya menghabiskan solat terawih pertama saya untuk tahun ini.

Pengerusi surau mengingatkan jemaah (di antara Isya' dan terawih) supaya bersyukur kerana kita masih berpeluang menghadapi Ramadhan tahun ini. Tahun depan belum tentu. Kerana itu beliau mengingatkan jemaah supaya berpuasa sebaik mungkin seolah-olah ini adalah Ramadhan terakhir dalam hidup kita. Satu lagi pesan beliau ialah banyakkan solat-solat sunat, banyakkan sedekah dan banyakkan membantu sesama manusia kerana Allah akan sentiasa membantu kita di saat-saat kita amat memerlukan.

Sekitar pukul 4 pagi, saya terbangun. Malasnya.....tiba-tiba hidung saya terbau ayam goreng. Sah, bibik dah bangun siapkan makanan....tak payah saya bangun masak...boleh sambung tidur lagi.... Tahun ini, satu kerusi kosong. Lala tidak bersama kami dan saya pasti dia amat bersedih di perantauan. Entah bangun ke tidak anak dara saya yang kuat makan itu..... Saya buang rasa sedih kerana ini hakikat yang harus saya hadapi. Dalam hati berbisik, rasanya tahun depan Mimie pun akan bersahur dengan kawan-kawan di asrama....

Pukul 7 pagi, Mimie bersiap untuk ke sekolah. Aik???Pakai songkok? Katanya...puasa lah Ma... Tengahari tadi Abey pun bersongkok ke sekolah.....Kelakar anak-anak ku....

Mudah2an kami sekeluarga mendapat keberkatan di Ramadhan yang mulia ini...

Monday, September 10, 2007

Bajet

Beberapa hari lepas bajet 2008 diumumkan. Seperti biasa, ia tidak memberi kesan kepada saya. Kalau adapun sedikit, saya tak perlu beli buku sekolah anak-anak tahun depan. Yang lain, tak ada apa. Kakitangan kerajaan tak dapat bonus, baik untuk saya kerana untuk seorang yang bergaji kecil di sektor swasta, sekurang-kurangnya kita serupa......

Namun , ingin saya cerita sedikit tentang bajet yang sepatutnya kita amalkan dalam hidup kita. (Saya tidak mengamalkan cara yang paling efektif ini kerana merasakan saya boleh mengawal cara perbelanjaan saya, maklum saja lah, saya ni kan akauntan!!! Malangnya saya gagal...)

Saya bersembang dengan kakak saya yang mengamalkan sistem bajet yang saya sarankan kepadanya berbelas tahun yang lalu. Ketawa besar kakak saya waktu saya katakan yang saya sering sangat keputusan wang. Beliau pula....dapat buat simpanan yang begitu besar....

Bajet yang saya maksudkan ialah seperti berikut: setiap bulan masukkan sejumlah wang untuk kegunaan spesifik di dalam satu sampul/bungkusan/bekas. Katakan: kita masukkan RM300 ke dalam bekas pertama untuk minyak kereta sepanjang tempoh sebulan pada setiap 1hb. Bekas yang kedua pula diisi dengan perbelanjaan dapur, mengikut kebiasaan kita berbelanja. Kalau isirumah saya, RM700 lah kut. Bekas ketiga pula untuk saya bayar api, air dan talipon. RM500 rasanya. Kemudian, bekas untuk belanja sekolah anak-anak. Kalau 3 orang anak, RM5 seorang sehari, bererti RM450. Katakan pendapatan bersih yang saya dan suami bawa pulang ialah RM5,000, tolakkan dulu bayaran kekal seperti ansuran rumah RM1,200, ansuran kereta RM800, dan orang gaji RM500 sebelum kita tolakkan bajet yang telah dimasukkan ke dalam bekas tadi. Baki di tangan hanya ada RM550. Kakak saya tidak akan belanjakan lebih dari RM550 untuk makan di luar atau beli barangan lain. Sekiranya dia perlu juga untuk membeli sesuatu barangan, dia akan cuba mendapatkan pendapatan sampingan seperti kerja overtime.

Setelah lebih 15 tahun mengikut dengan tekun rejim bajet ini, kakak saya berjaya menyimpan sejumlah besar wang. Dialah banker dalam keluarga kami walaupun pendapatannya mungkin hanya seperempat dari gaji saya.... Kata beliau, setiap akhir bulan akan ada lebihan dalam bekas2 yang disediakannya. Diambilnya duit dari bekas tersebut dan disimpan di dalam ASB atau Tabung Haji.

Saya terkedu mendengar apa yang kakak saya ceritakan. Betapa rapuhnya kekuatan hati saya.. Dapat saja gaji, mula beli itu dan ini. Menyimpan hari ni, esok korek balik. Jawapannya, saya kopak selalu. Nak senangkan hati sendiri, saya kata yang saya ada simpanan banyak dalam EPF, yang juga saya laburkan dalam unit-unit amanah saham yang memberi saya pulangan banyak....Sebenarnya, saya gagal merealisasikan ajaran saya....Malu!!!!

Saya berazam untuk mencari bekas-bekas yang akan saya isikan dengan jumlah-jumlah yang sepatutnya selepas ini. Saya akan pastikan saya tidak akan kopak lagi beberapa bulan lagi....YES! Saya pasti berjaya melakukannya....ahakkkk!