Sabtu, 15 Sept. 07, saya menjemput seluruh adik-beradik saya (saya anak ke 8 dari sepuluh beradik) untuk datang berbuka puasa di rumah saya. Ini adalah rutin tahunan kami sekeluarga, setiap minggu di rumah setiap seorang dari kami. Saya sentiasa menjadi hos pertama kerana suami saya selalunya teramat sibuk pada minggu-minggu terakhir Ramadan kerana kunjungan ke kedainya menjadi semakin rancak menjelang hari-hari terakhir puasa.
Menu yang saya sediakan: Nasi putih, siput sedut masak lemak dengan batang keladi, kerabu mangga (mangga petik kat depan rumah), ikan pari bakar dengan air asam, ayam goreng istimewa (resepi bibik seri), sayur goreng, ulam dan sambal tempoyak. Adik saya, Epah, datang membawa cempedak goreng, Kak Non datang dengan popia dan tauhu sumbat, Kak We dengan nenas, betik dan air soya, Kak Uji dengan soto dan cempedak goreng dan Kak Wie tiba sebagai orang terakhir (Kancilnya mati di traffic light!) dengan tembikai dan kuih-kuih kiriman Ita, kakak ipar saya..
Ulong juga sampai dengan anak-anaknya, Iwan yang belajar di UiTM dan Yin di UKM. Meriahnya suasana di rumah saya hari itu. Sebanyak-banyak makanan yang saya hidang, semuanya licin! Kami berjemaah Maghrib, Isya' dan terawih di rumah saya. Seronok betul saya hari itu....
Keesokannya, Ahad 16/9, kami berkumpul di rumah emak di Kg Kuantan pulak. Tak sangka pula semua adik beradik suami saya hadir. Mujur saya beli daging dan sotong banyak semalamnya. Hidangan hari itu: Nasi putih, daging masak lemak cili api, sambal sotong, sayur goreng, ikan masin dan sambal belacan belimbing. Ngah Uji tambah ikan terubuk bakar dengan sambal asam. Segala macam buah ada - tembikai, tembikai susu, mangga, nenas dan betik.... Emak buat bubur som-som kegemaran semua...Masing-masing pesan pada Ira supaya tidak menghabiskannya! Kami makan dan terus makan tanpa henti. Selepas Maghrib, masing-masing minta urut dari Uda (kakak ipar saya ni pandai mengurut). Ira (pelajar ACCA final) juga sedang mengambil Diploma Fisioterapi dengan MSN. Dia pun mengurut juga. Eija, anak buah suami saya, adalah Mak Andam. Yang buat facial pun ada!!!
Suasana meriah pada hari itu diakhiri dengan sembahyang terawih berjemaah. Sekali lagi anak saya bergembira dengan sepupu-sepupu mereka. Emak tersenyum lebar di akhir pertemuan istimewa kami tahun ini.... Mudah-mudahan ada lagi situasi ini tahun hadapan....
No comments:
Post a Comment