Beberapa hari lepas bajet 2008 diumumkan. Seperti biasa, ia tidak memberi kesan kepada saya. Kalau adapun sedikit, saya tak perlu beli buku sekolah anak-anak tahun depan. Yang lain, tak ada apa. Kakitangan kerajaan tak dapat bonus, baik untuk saya kerana untuk seorang yang bergaji kecil di sektor swasta, sekurang-kurangnya kita serupa......
Namun , ingin saya cerita sedikit tentang bajet yang sepatutnya kita amalkan dalam hidup kita. (Saya tidak mengamalkan cara yang paling efektif ini kerana merasakan saya boleh mengawal cara perbelanjaan saya, maklum saja lah, saya ni kan akauntan!!! Malangnya saya gagal...)
Saya bersembang dengan kakak saya yang mengamalkan sistem bajet yang saya sarankan kepadanya berbelas tahun yang lalu. Ketawa besar kakak saya waktu saya katakan yang saya sering sangat keputusan wang. Beliau pula....dapat buat simpanan yang begitu besar....
Bajet yang saya maksudkan ialah seperti berikut: setiap bulan masukkan sejumlah wang untuk kegunaan spesifik di dalam satu sampul/bungkusan/bekas. Katakan: kita masukkan RM300 ke dalam bekas pertama untuk minyak kereta sepanjang tempoh sebulan pada setiap 1hb. Bekas yang kedua pula diisi dengan perbelanjaan dapur, mengikut kebiasaan kita berbelanja. Kalau isirumah saya, RM700 lah kut. Bekas ketiga pula untuk saya bayar api, air dan talipon. RM500 rasanya. Kemudian, bekas untuk belanja sekolah anak-anak. Kalau 3 orang anak, RM5 seorang sehari, bererti RM450. Katakan pendapatan bersih yang saya dan suami bawa pulang ialah RM5,000, tolakkan dulu bayaran kekal seperti ansuran rumah RM1,200, ansuran kereta RM800, dan orang gaji RM500 sebelum kita tolakkan bajet yang telah dimasukkan ke dalam bekas tadi. Baki di tangan hanya ada RM550. Kakak saya tidak akan belanjakan lebih dari RM550 untuk makan di luar atau beli barangan lain. Sekiranya dia perlu juga untuk membeli sesuatu barangan, dia akan cuba mendapatkan pendapatan sampingan seperti kerja overtime.
Setelah lebih 15 tahun mengikut dengan tekun rejim bajet ini, kakak saya berjaya menyimpan sejumlah besar wang. Dialah banker dalam keluarga kami walaupun pendapatannya mungkin hanya seperempat dari gaji saya.... Kata beliau, setiap akhir bulan akan ada lebihan dalam bekas2 yang disediakannya. Diambilnya duit dari bekas tersebut dan disimpan di dalam ASB atau Tabung Haji.
Saya terkedu mendengar apa yang kakak saya ceritakan. Betapa rapuhnya kekuatan hati saya.. Dapat saja gaji, mula beli itu dan ini. Menyimpan hari ni, esok korek balik. Jawapannya, saya kopak selalu. Nak senangkan hati sendiri, saya kata yang saya ada simpanan banyak dalam EPF, yang juga saya laburkan dalam unit-unit amanah saham yang memberi saya pulangan banyak....Sebenarnya, saya gagal merealisasikan ajaran saya....Malu!!!!
Saya berazam untuk mencari bekas-bekas yang akan saya isikan dengan jumlah-jumlah yang sepatutnya selepas ini. Saya akan pastikan saya tidak akan kopak lagi beberapa bulan lagi....YES! Saya pasti berjaya melakukannya....ahakkkk!
2 comments:
KITA SERUPA!
السلام عليكم
Selamat berpuasa. Semoga sempurna hendaknya!
Post a Comment