Baru bebearapa hari kita tinggalkan tahun 2007 Masihi, hari ini kita masuki tahun baru hijrah. Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan menghirup udara segar di bumi Allah yang bertuah ini.
Semalam, sebelum masuk waktu Asar di pejabat, Asmarina membuat jariah dengan mengedarkan doa akhir dan awal tahun. Kami beramai-ramai membacanya selepas solat Asar dan sekali lagi selepas solat Maghrib. Kebetulan hujan turun selepas Asar semalam. Tak hent-henti doa yang kami lafazkan. Semoga Allah memberi ganjaran yang besar buat As yang baik budi.
Awal pagi ini, saya, suami dan Abo memulakan hari dengan menziarahi mak mertua saya yang baru dua hari pulang ke rumah dari hospital. Emak nampak segar dan agak berselera makan sarapan yang kami beli. Kesian benar melihat dia yang begitu teringin makan sambal nasi lemak, tapi mengingat nasihat doktor, dia hanya memerhatikan kami makan.
Di sebelah petang, saya dan Abo ke rumah baru Mazurina, seorang rakan sepejabat. Seronok dapat berjumpa ramai teman dalam suasana yang lebih akrab. Dalila juga datang, membawa khabar gembira. Alhamdulillah, Allah memberi rezeki besar buat Dell dan suaminya, Roslan. Segala-galanya telah ditentukan...kalau dah rezeki, memang tak ke mana....
Saya sendiri amat menghayati erti hijrah kali ini. Hati menjadi sayu bila teringat betapa setelah begitu lama hidup di muka bumi ini, ada ketikanya saya lalai dalam menjalankan tanggungjawab saya kepada Dia yang tercinta. Saya akui sejak saya bulatkan tekad untuk ’berhijrah’, hati saya menjadi lebih tenang dan urusan menjadi semakin mudah. Biarpun pelbagai cabaran dan dugaan yang saya hadapi di sepanjang kehidupan ini, saya yakin Tuhan sayangkan saya. Dugaan dan cabaranlah yang mengembalikan saya kepadaNya tanpa ragu.
Buat semua, salam Maal Hijrah. Semoga kehidupan kita akan sentiasa diberkatiNya.
No comments:
Post a Comment