Saya suka menonton rancangan Oprah dan satu dari rancangannya yang paling saya suka adalah Debt Diet.
Pagi ini saya bersembang dengan Thiaga, seorang teman baru di pejabat. Entah macammana perbualan kami akhirnya berkisar tentang 'Money Matters'.
Saya akui saya seorang pemboros. Gaji saya banyak saya habiskan untuk membeli entah apa2. Sebelum saya menjadi pensyarah, saya banyak membeli menggunakan kad kredit. Saya beli apa yang saya mahu, bukan apa yang saya perlu.
Sejak menjadi pensyarah, saya tidak mampu menanggung beban bayaran bulanan kad kredit (kalau tak silap, saya ada 4 'gold card'!)kerana gaji saya hanya separuh dari gaji saya sebelumnya. Akibatnya, kad kredit saya ditahan dan saya dikejar pengutip hutang setiap hari. Sakit betul kehidupan waktu itu...
Entah macammana, saya terbaca artikel tentang Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebuah unit di bawah Bank Negara. Saya ke Bank Negara untuk mengambil lapuran kredit saya dan terus ke AKPK untuk meminta bantuan mereka. Dipendekkan cerita, dari jumlah lebih RM2000 sebulan yang saya perlu bayar untuk menyelesaikan masalah kad kredit saya, saya hanya perlu membayar sebanyak RM690 sebulan untuk tempoh lima tahun. Syaratnya, saya tidak boleh memohon pinjaman baru termasuk kad kredit sepanjang tempoh itu.
Saya menjalani hidup yang agak melarat mulanya kerana tidak biasa dengan keadaan itu, tapi lama kelamaan saya cukup senang hidup sederhana. Kini, saya hanya membeli bila saya perlukan sesuatu dan saya juga pastikan saya ada duit yang cukup sebelum membeli, tak kira apa pun.
Thiaga amat berterimakasih kepada saya kerana memberi pandangan yang cukup berkesan buat beliau di pagi hari yang mulia ini. Dia berazam untuk membuang segala kad kredit yang dipunyainya dan memulakan hidup sederhana.
Saya sendiri berazam untuk melangsaikan mana-mana hutang yang saya ada di samping menyimpan wang sebanyak-banyaknya dengan gaji baru saya yang jauh lebih banyak dari gaji pensyarah...Insyaallah.
No comments:
Post a Comment