Wednesday, September 28, 2011

Motivasi

Saya sedang dilambung angan-angan tinggi melangit. Dalam kekalutan menjalankan sesuatu yang tidak menggembirakan, saya mendapat satu kesempatan. Subhanallah....betapa bersyukurnya saya....Tiada kata dapat menggambarkan betapa saya amat mendambakan kegembiraan ini.

Tadi saya dapat peluang duduk bersama mereka yang memahami gelora di hati saya. Kami bercakap dalam rentak dan alunan yang sama - seperti beberapa tahun lalu, terutamanya ketika kami berada di beranda rumah yang kami diami di Chetpet, Chennai, India sambil menghirup udara pagi dan menikmati chai buatan Kaka....

Terharu bila kami diberi peluang lagi untuk sama-sama merealisasikan impian yang tidak kesampaian. Kali ini impian kami akan membawa kami ke sebuah lagi tempat yang lebih kurang 'hebat'nya dengan India.... Kami tersenyum di dalam hati sambil menggaru kepala yang tidak gatal tatkala diajukan soalan samada kami mampu melaksanakan tugasan yang dipinta....

Saya serahkan kepada Yang Maha Esa urusan kami ini. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat saya. Bukan kerana wang ringgit atau kedudukan atau jawatan yang saya cari...kerana pekerjaan saya sekarang memberi kesemua itu. (Nota: Gaji saya cukup untuk membiayai diri saya dan keluarga. Itu makna wang bagi saya - ia mencukupi, tiada lebihan dan tiada kekurangan). Saya teruja untuk melaksanakan apa yang menjadi minat saya selama ini. Membina sebuah sistem yang akan digunapakai dan memberi manafaat kepada manusia sejagat. Lebih mengujakan jika sistem itu tidak pernah ada di mana-mana....Cita-cita saya sejak dulu adalah untuk menjadi 'trend setter, bukan trend follower....

Saya dan dia ada dua bulan untuk mempersembahkan Proof of Concept kami kepada pihak berkuasa di sebuah negara dunia ketiga. Kami juga akan mencari jalan bagi peluang lain. Doakan kejayaan kami.....Peluang yang saya perolehi hari ini akan menjadi motivasi kepada saya untuk terus berlari dan melompat lebih tinggi....

Monday, September 26, 2011

Hutan Lipur Bukit Hijau Kulim




Hujung minggu yang baru lalu saya ke Hutan Lipur Bukit Hijau, Kulim. Kakitangan syarikat menganjurkan Kem Jati Diri bagi sekumpulan jurutera muda dari beberapa buah perusahaan yang berada di sekitar Kulim, Pulau Pinang dan Perak.

Saya diundang untuk memeriahkan majlis. Saya bawa Abo bersama. Bukan apa, saya ni cukup takut tidur sendiri..... Lebih-lebih lagi bila tempat itu berada di dalam hutan...

Resort yang kami diami cukup selesa. Air sungai mengalir di depan chalets kami. Bunyi deruan air mengalir seakan "soundtrack muzik" di situ. Tenangnya suasana.....

Abo ketawa besar melihat anak-anak ikan berenang-renang di dalam air sungai yang cetek, crystal clear dan sejuk... Bila berendam di dalam sungai, terasa tidak mahu bangkit keluar....

Saya tidak mengikuti keseluruhan aktiviti di dalam hutan tersebut. Banyak masa saya habiskan dengan berendam di dalam sungai bersama Abo. Saya agak fobia sebenarnya dengan hutan/kebun/pokok-pokok/semak/nyamuk....... Ia mungkin berkait rapat dengan pengalaman membesar di celah-celah pokok getah, bertemankan nyamuk, ulat bulu, cacing dan semak samun. Berada di dalam hutan membuat saya terkenang kisah silam. Ia agak merimaskan. Bukan membenci, tapi jika boleh saya elakkan, ia lebih baik begitu.

Macammanapun, saya tumpang gembira dan bangga dengan kejayaan anak-anak buah saya; juga tatkala melihat senyuman dan gelak tawa Abo sewaktu menangguk ikan di sungai! (Ikan-ikan tersebut mati dalam perjalanan pulang ke rumah....Abo menangis...namun sempat dia tunjukkan kepada semua di rumah dia berjaya....!)

Sunday, September 18, 2011

Apa yang dicari?

Saya disoal dengan soalan di atas. "Apa lagi yang dia cari?"

Entahlah. Saya sendiri tidak punya jawapan kepada soalan tersebut.

Saya hanya mengukur baju di badan saya. Bagi orang yang segemuk saya, sudah tentu koyak baju bersaiz S mahupun M. Mungkin selesa jika saya pakai saiz L, atau XL. XXL akan jadi terlalu besar. Jika ingin memilih beg tangan, saya akan cari beg yang boleh memuat kesemua barang-barang yang wajib saya bawa bersama. Ertinya, ia perlu besar. Dan mampu saya bayar. Sudah pasti saya tidak mampu memilih Gucci atau LV atau Dior. Paling hebat pun beg tanpa jenama. Itulah dia kemampuan saya. Itu saja. Yang lain saya tidak mampu.

Saya cuba memahami keadaan. Namun kenyataannya saya gagal. Saya sendiri tertanya-tanya... Apa yang dicari?

Jika ia berkait dengan wang ringgit, banyak dah. Jika berkait dengan pangkat dan kedudukan, tinggi melangit. Jika berkait dengan populariti, semua dah kenal.

Mari kita tanya Ustaz bagaimana sahabat Nabi menentukan akhir kehidupannya.

Ustaz bercerita tentang Abu Darda', seorang yang cukup terkenal sebagai sahabat Nabi. Beliau seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Namun beliau memilih untuk mendapatkan kekayaan yang kekal abadi dan beliau tahu kehidupan itu adalah di akhirat. Lalu beliau tinggalkan dunia dan kekayaan yang sementara, dan fokus kepada akhirat. Namun sebagai ahli perniagaan, beliau teruskan berniaga. Beliau pastikan yang tempat perniagaan beliau ialah yang berhampiran dengan masjid, agar beliau dapat solaat berjemaah 5 kali sehari tanpa ketinggalan Takbiratul Ihram. Dan beliau juga pastikan yang beliau memperolehi keuntungan 40 dinar sehari, untuk beliau infakkan kesemuanya ke jalan Islam.

Apa yang Abu Darda' cari? Kebahagiaan dan kekayaan yang kekal abadi.

Okay....saya juga mahu mencari kebahagiaan dan kekayaan yang sebegitu lah.... Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya...biarkan...biarkan..... Saya akan jalankan tugas saya dengan sepenuh hati demi mencari kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat nanti..... Mari sama-sama kita cari kebahagiaan dan kekayaan itu... Kehidupan di syurga amat indah sekali... Itu janji Allah pada hambaNya. Janji itu tidak mungkin dimungkiri.

Saturday, September 17, 2011

Kursus Haji Perdana

Hari ini saya berpeluang bersama bakal-bakal jemaah haji 2011 yang akan memulakan perjalanan seawal 29 September ini. Saya perhatikan riak wajah mereka yang kelihatan penat, teruja dan ada yang terpinga-pinga. dapat juga berbual dengan seorang dua bakal hajjah sewaktu menanti waktu solat. Saya gembira tatkala mendapat tahu rakan karib saya, Liza dan suaminya Khairi, telahpun mendapat pengesahan tentang pemergian mereka. Saya teruja bila mendapat tahu anak saudara saya yang masih muda belia, Nuyun dan suaminya Najmi, juga teman sekolah, Markom dan Maliah, juga telah mendapat tarikh penerbangan. Mudah-mudahan urusan mereka dipermudahkan dan mereka mendapat haji yang mabrur.

Haji adalah Rukun Islam yan kelima. Ia wajib. Haji bagi saya, adalah permulaan kepada sebuah kehidupan baru. Kehidupan yang dipenuhi dengan keindahan Ketenangan yang dicari di sepanjang kehidupan muncul sewaktu sibuk menyiapkan diri untuk melangkahkan kaki ke tanah suci. Namun ujiannya getir dan besar sekali. Berjuraian airmata tatkala menghadapi ujian demi ujian yang Allah turunkan.

Puncak ujian ialah pada hari sampai ke tanahair selepas mengerjakan haji. Kemabruran haji ialah samada kita masih sama seperti sebelum kita pergi haji atau kita menjadi manusia yang lebih baik atau sebaliknya. Kita mahu istiqomah, namun prasangka, andaian dan pelbagai rintangan perlu dihadapi dalam usaha untuk beristiqomah. Kita cuba untuk menegakkan yang haq, namun suara-suara yang membisik membuat kita takut dengan kemungkinan kita ini riyak, ujub dan takbur.

Pagi esok, bakal-bakal jemaah haji akan berqiamullail di Masjid Negeri selepas merasai nikmat tidur semalam di dalam masjid. Di kala mendengar alunan suara imam yang mendayu, pastinya hati kecil merintih dan menangis mengenang segala kesilapan lalu. Kealpaan dan
kelekaan mengejar keindahan dunia sesungguhnya menjadi titik tolak kepada kemusnahan hidup. Segalanya berkisar tentang apa yang
diingini, bukan apa yang diperlukan. Keinsafan datang dari ilham Yang Maha Kuasa. Ia diturunkan khusus kepada mereka yang mencarinya. Bagi saya secara peribadi, diselubungi rasa bersalah kerana seringkali terlupa denganNya dan hidup dalam keresahan menimbulkan
perasaan mahu berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik di sisiNya.

Kursus Haji Perdana 2010 meruoakan detik di mana saya letakkan 'gear' kenderaan yang membawa saya menuju ke garisan penamat
kepada D, selepas saya tarik brek tangan dan gear ke P. Saya mulakan langkah menjadi manusia baru bermula dari detik itu.

Mudah-mudahan kesemua jemaah haji 2011 diberi kemudahan, dikurniakan nikmat dan rahmat dari Allah dan mendapat haji mabrur. Saya juga berdoa agar kehidupan saya dan keluarga sentiasa mendapat keredhaan Allah. Amin.

Tuesday, September 13, 2011

Beraya dengan Ikan dan Karang...

Saya ditanya oleh seorang sahabat...."Raya balik mana?"..

Jawab saya, "Kmi raya dengan ikan dan karang...." sambil tersengih.

Sudah pasti tindakan kami sekeluarga menimbulkan seribu satu persoalan dan andaian. Kenyataannya, kami memilih untuk menghabiskan cuti raya bersama-sama. Tanpa oranglain.

Kami kepenatan bekerja sepanjang Ramadhan. Di samping tugasan di pejabat, saya juga ada kerja part-time, mengikut shift, di kedai Boss. Begitu juga anak-anak. Lala memang 100% menghabiskan masa di kedai, Abey akan ke kedai jika dia tidak ke tuisyen sepulangnya dari sekolah, Jimie terus ke kedai sebaik tiba dari Pulau Pinang. Tiada istilah rehat dalam rutin kami. Namun, kami pastikan juga yang kami tidak ketinggalan untuk bersama jemaah masjid di kebanyakan masa.

Mulanya kami merancang mahu pergi jauh. Namun Abey perlu berdepan dengan peperiksaan percubaan SPM sebaik saja sekolah dibuka. Lalu saya menempah pakej ke Pulau Perhentian dengan kadar yang termurah dan ianya bermula pada hariraya ketiga.

Kami mengambil kesempatan memulakan perjalanan sehari lebih awal. Kereta meragam di tengah perjalanan. Kami tidak membawa bekalan air.... Boss memandu perlahan dan kami menjerit kegembiraan tatkala kami lihat lopak di kaki bukit di tepi jalan Syukur alhamdulillah, ada mata air agaknys di bukit bersebelahan. Dapatlah kami isi air ke dalam radiator.... Selepas agak sejuk, kami teruskan perjalanan hingga ke Chukai. Kami berhenti untuk solat dan takdir.....kereta tidak boleh dihidupkan. Sesuatu yang jarang berlaku ialah bilamana kami tidak menvawa jumper atau air dalam satu perjalanan jauh..... Itulah yang berlaku.

Banyak kereta yang singgah di nasjid, namun tidak ada sebuah pun yang ada jumper. Akhirna Boss berjalan ke rumah berhampiran dan meminta bantuan tuanrumah untuk membantu mengecaj bateri kereta kami. Allah mudahkan. Kami terus bergerak menuju Kuala Terengganu.

Sampai di Kerteh kami nampak sebuah bengkel kereta yang dibuka. Kami singgah dan meminta bantuan....Selepas diberi ubat yang mahal, kereta pun mula tersenyum. Kami hela nafas panjang...lega. Sebelum sampai di bandar KT, kami singgah di masjid terapung. Puas sungguh Jimie dan Lala kerana berpeluang mengabadikan kenidahan masjid dalam kamera masing-masing. Kami akhirnya bermalam di sebuah hotel di tengah bandar.

Keesokan paginya kami ke Masjid Kristal unuk solat subuh. Subahanallah...cantiknya masjid tersebut. Jenuh menanti Jimie mengambil gambar. Nak masuk berrtanding, katanya.....

Seawal pukul 10 pagi kami bertolak ke Kuala Besut. Kami tiba di chalet yan kami tempah lebih kurang pukul 2 petang. Dalam kepenatan, kami cuba berehat, namun bunyi desiran air dan angin yang bertiup akhirnya mendamparkan kami di pantai.... Budak-budak tidak menunggu lama untuk bersnorkeling.....Banyak ikan Nemo dan karang yang masih cantik...berada di sisi kanan penginapan kami. Aduh....indahnya. Saya merasa amat bsyukur tatkala saya lihat ke dalam air...Allah beri saya peluang untuk menikmati keindahan ciptaanNya yang berada di dasar lautan. Saya tahu saya amat bertuah dibandingkan dengan ramai hambaNya yang lain....Saya juga seakan terdengar-dengar... (biar saya simpan sendiri apa yang saya dengar. Ianya terlalu peribadi untuk dikongsi....).

Kami menikmati makan tengahari, mala dan pagi yang enak-enak, sepertimana yang termasuk di dalam pakej. Betapa beruntungnya kami sekeluarga kerana sebegitu sekali kurniaan yang kami perolehi. Anak-anak berpeluang melihat ikan yu dan penyu....di samping pelbagai spesis ikan tatkala mereka bersnorkeling dan menyelam. Saya? Setakat di tangga bot bolehlah....

Kami habiskan sebelah pagi dan sebelah petang bersnorkeling dan bersantai di pasir pantai yang halus dan putih bersih. Kemudiannya menikmati makan malam yang enak dan menyelerakan.....

Kami pulang selepas tiga hari dengan hati yang puas dan keseronokan yang membara. Tidak sudah-sudah saya dengar anak-anak berkata "bersyukur sungguh kepada Allah yang bagi kita peluang untuk berada di sini....dahlah tenang, damai, cantik, bersih....jauh dari gangguan dan hiruk pikuk, tiada dengki, gosip, jelingan mahupun kata-kata hipokrit...kerana hanya ada kami dan penghuni chalets yangkebanyakannya mat saleh.....

Kami mungkin dianggap bersalah kerana tidak mengikut rutin....berkunjung ke rumah saudara mara di hariraya. Tetapi kami berpuas hati. Siapa lagi yang akan menggembirakan kita kalau bukan diri kita sendiri?

Kami berdoa semoga kami diberi peluang lagi di lain kali....kalau boleh ingin sekali kami habiskan melawat 7 Wonders of the World... Perkenanlah permohonan kami Ya Allah....Amin.

Friday, September 9, 2011

Doa Abo

Abo rajin berdoa. Terutama sekali bila dia mahukan sesuatu. rajin juga dia menyanyi sambil buat kerja. Selalunya dia nyanyi doa dhuha dan nasyid Taubat. Saya suka mendengar dia berdoa. Kedengaran begitu tulus. Kadangkala terfikir samada dia faham isi kandungan doa tersebut, namun saya tahu dia memang faham. Dia diajar begitu oleh guru-gurunya di sekolah. Berdoa.

Sejak dua hari lepas kami menginarp di The Putri Pacific Johor Bharu. Abo mengikut kami - saya ada mesyuarat sementara Boss menawarkan diri menjadi pemandu.

Sewaktu melintasi bilik suite berhampiran bilik kami, Abo teruja untuk mengintai ke dalam bilik tersebt yang terbuka pintunya kerana sedang dikemas. Begitu sekali dia terpegun melihat bilik yang luas dan canik itu. Lantas dia bertanya pada saya:

"Kenapa kita tak duduk dalam bilik ni?"

Saya jawab "mahal bilik ni. Kita mana mampu naj bayar?"

Abo tidak berkata apa-apa mendengar jawapan saya sebaliknya terus mengangkat tangan berdoa. Saya lihat mulut dia kumat kamit dan kemudian dia menyapu mukanya dengan kedua tapak tagngan.

Saya usik dia "Abo doa apa?"

"Abo doa Tuhan bagi mama dengan papa duit banyak so that nanti kita boleh duduk dalam bilik besar ni. Mama ingat tak dulu Abo doa kita dapat duit boleh duduk hotel, pegi jalan-jalan, pakai baju cantik? Sekarang ni kan kita dah dapat sikit-sikit? Tu la, teacher kata pray to Allah. He listens."

Subhanallah. Si kecil ini tahu apa yang perlu dilakukannya sebagai seorang yang percaya dengan kekuasaan Allah.

Saya terharu. Dia faham keadaan kami yang serba kekurangan. Dia tidak merengek meminta kami siapkan segalanya untuk dia, tetapi dia minta dari Dia, Allah yang satu.

Saya amat bersyukur Abo mendapat petunjuk dariNya...berkat ajaran guru di sekolah dan keprihatinannya dengan keadaan sekeliling. Saya setuju dengan dia bahawa apa yang kami ada kini adalah berkat doa. Usaha kami terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kurniaan Alah kepada kami sekeluarga.... Ahamdulillah.

Tuesday, September 6, 2011

Hari nan indah....

Usai solat subuh di Masjid Negeri pagi tadi, saya disapa oleh seorang wanita yang manis paras rupanya biarpun agak berusia. selepas bersalaman, kami mula bertanya soalan-soalan biasa seperti tinggal di mana, kerja di mana dan anak berapa....

Boss sudah setia menunggu ketika saya sampai di luar pintu besar. Kakak tadi berhenti seketika untuk menanti suaminya.

Ketika Boss menghidupkan enjin kereta, Boss melambai pada seorang lelaki yang berjalan bersama kakak tadi sambil menyapa, "Datuk!". Sapaan Boss dibalas dengan lambaian dan senyuman lebar. Di sebelah Datuk ialah kakak yang bersembang dengan saya.

"Siapa tu Bang?"

"Datuk Mufti"

"La....Su dok sedap je panggil isteri dia kakak...Dianya humble. Dia kata dia duduk kat situ situ....suami dia kerja di SUK.....Aduh...malu!"

"Tu lah orang yang tidak meletakkan pangkat sebagai keutamaan dalam hidup....Baguslah tu....."

Saya masih terasa malu....Maaf Datin...saya memang tidak tahu.

************************************************************************************************

"Saya tunggu Suria di KLIA pukul 1230". Begitu bunyi sms Prof MKI beberapa hari yang lalu.

Lalu saya dan Boss pun ke KLIA semalam untuk sama-sama menghantar Prof dan keluarga yang akan berhijrah ke Madinah bagi mengambil tugas baru sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah.

Hati saya terusik....Prof tinggalkn semuanya di sini demi untuk berada di tempat yang amat dekat dengan Rasulullah. Saya juga mahu ke sana.....itu doa saya, doa kami sebenarnya.....

Seorang sahabat telah pergi jauh dari saya..... Saya pasti ramai yang masih ada untuk terus brsama saya....

**********************************************************************************************

Sedang saya asyik memerhatikan suasana sebak di kalangan ahli keluarga Prof, saya dapat panggilan:

"Suria, saya sedang check-in di kaunter business class di line D"

Seorang lagi sahabat - Abang sebenarnya, akan pulang ke tempat yang menjadi pilihannya - Jeddah. Kami tidak sanggup melihat Prof beredar, lalu kami yang meninggalkan mereka. Kami disambut dengan senyuman manis Pak Pin dan keluarga.

Selepas menikmati makan tengahari bersama Pp dan keluarga di KLIA, kami ucapkan selamat jalan buat mereka dan berjanji akan bertemu kembali..... Tuhan, tunaikan permintaan kami....

**********************************************************************************************

Sampai di rumah, saya terima panggilan Budin. "Di mana?"

"Rumah. Singgah le..."

Selepas Asar, saya menerima kunjungan seorang sahabat setia yang hebat. Sambil makan, kami bersembang dan akhirnya belau pulang selepas kami sema bersolat Maghrib berjemaah....Alhamdulillah.

*********************************************************************************************

Hari ini, kami akan ke selatan. Sementara saya menghadiri mesyuarat dengan sebuah syarikat besar di Pasir Gudang, kami akan mencuri masa untuk melawat kakak yang dirindui, sahabat yang lama terpisah dan sepupu yang sedang terlantar sakit dihospital Singapura...

Semoga perjalanan kami dipermudahkan dan kami selamat dari segala bahaya....Amin....

Sunday, September 4, 2011

Setahun yang lalu....

5 September 2010. Keesokan harinya adalah hari terakhir untuk kami membalas surat tawaran Tabung Haji. Hati berdebar tidak terkata. Saya serahkan kepada Boss untuk membuat keputusan.

Kata Boss, "Jemputan sudah di tangan. Ini yang kita minta sejak dulu, dapat menunaikan rukun Islam yang kelima bersama. Kalau kita tolak, entah dapat atau tidak tawaran ini lagi. Apapun juga yang kita hadapi sekarang tidak akan mengubah keputusan Abang untuk pergi. Kita terima."

Apa yang berlaku adalah keajaiban. Malu untuk saya ceritakan kisah sebenar, tetapi cukup jika saya katakan ianya adalah kuasa Allah yang amat besar; untuk kami, khasnya.

Dalam masa yang sama Tini(pembantu rumah saya) sakit nak melahirkan Abdul Rahman. Kami bawa dia ke hospital Klang. Berjuraian airmata saya tatkala diberitahu bahawa kos bersalin sekian banyak. Selepas Abdul Rahman dilahirkan, dia terpaksa ditempatkan di ICU kerana masalah pernafasan. Subhanallah.... Dia saja yang tahu berapa banyak airmata kami yang tumpah membasahi bumi....

Di celah kekalutan itu, kereta Naza kami dicuri orang di depan halaman rumah. Apa yang tinggal pada diri kami? Sakit kepala memikirkan segala kemungkinan, namun Allah Maha Pengasih. Dia tahu berat mana bebanan yang mampu kami pikul...

Tini ditempatkan di wad bersalin di tingkat 1 sementara Abdul Rahman di tingkat 6. Sebaik dihubungi pihak hospital yang Tini sudah selamat melahirkan, kami bergegas ke hospital. Kami tidak dibenarkan masuk ke bilik ICU kerana kami bukan ibubapa Tini ataupun ayah Abdul Rahman. Tetapi jururawat yang bertugas menggunakan jasa baiknya membenarkan kami masuk.

Hampir meraung saya melihat si kecil yang cuma nampak tulang dan kulit tergolek di dalam kotak yang berselirat wayar mengelilinginya. Sedang saya menatap hiba wajah kecik yang tidak bermaya itu, Boss masuk diiringi jururawat lain untuk mengazankan Abdul Rahman. Saya lihat garisan di skrin di atas kepala Abdul Rahman...amat perlahan malah kadangkala hampir garisan lurus. Jantung saya berdebar kencang. Perlahan-lahan Boss memulakan azan....tiba-tiba saya lihat dada Abdul Rahman naik tinggi dan serentak itu juga garisan di skrin berombak laju....Subhanallah....Nafas si kecik jadi normal tatkala dia mendengar nama Allah dibisikkan di telinganya!

Sejak hari itu, rutin baru bermula. Setiap tengahari dan petang, samada saya atau Boss akan ke hospital untuk menolak kerusi roda Tini ke tingkat 6 bagi menyusukan bayinya. Urusan pemergian haji kami masih belum selesai. Kami tinggalkan semuanya di belakang untuk Tini dan anaknya.

Selepas sepuluh hari, Tini dan Rahman dibenarkan keluar. Menggigil tangan saya sewaktu membayar bil hospital mereka. Entah dari mana duit itu datang saya pun tidak sedar....

Sampai di rumah, saya kumpulkan sisa-sisa duit yang tinggal untuk membayar upah bidan dan ubat-ubatan Tini. Kami cuba sediakan makanan yang berkhasiat buatnya supaya Abdul Rahman dapat membesar dengan sempurna.

Dalam masa sama, kami berdoa dengan penuh yakin Allah akan bantu kami menyelesaikan bebanan kami. Pelbagai keajaiban berlaku, dalam kepayahan ada kesenangan. Allah memangnya menguji hambaNya dengan ujian yang dia mampu pikul....

Akhirnya...pada 16 Oktober 2010, kami berlepas meninggalkan segala-galanya di tangan Allah. Tiada kemewahan atau kedudukan yang kami tinggalkan buat anak-anak, hanya doa dan airmata. Kami serahkan segala-galanya kepada Allah demi mencari keredhaanNya.

Pengalaman yang kami lalui setahun lalu indah sungguh kini bila dikenang. Namun, untuk kami melaluinya lagi, tidak mampu rasanya.

Abdul Rahman kini membesar sebagai kanak-kanak lelaki yang comel dan cerdik, lincah dan pemurah dengan senyuman. Baru masuk 10 bulan dia sudah berjalan mengelilingi rumah, naik turun tangga dan riuh menyanyi sepanjang hari. Pantang nampak saya bertudung, dia akan berlari mendapatkan saya sambil mendepangkan tangan minta didukung. Bila sesekali terpisah, dia akan melentukkan kepalanya ke bahu abang-abang dan kakaknya, terutama sekali Boss, apabila kami pulang mendapatkannya.

Setahun yang lalu kami dihimpit kesusahan kerana ujianNya. Kini, kami menarik nafas lega kerana kesempitan itu telah reda. Kami belajar satu perkara.... Mohonlah kepada Allah dengan mengerjakan solat dan bersabar. Berdoa dan yakin. Pasti banyak keajaiban yang muncul............