Hari ini saya berpeluang bersama bakal-bakal jemaah haji 2011 yang akan memulakan perjalanan seawal 29 September ini. Saya perhatikan riak wajah mereka yang kelihatan penat, teruja dan ada yang terpinga-pinga. dapat juga berbual dengan seorang dua bakal hajjah sewaktu menanti waktu solat. Saya gembira tatkala mendapat tahu rakan karib saya, Liza dan suaminya Khairi, telahpun mendapat pengesahan tentang pemergian mereka. Saya teruja bila mendapat tahu anak saudara saya yang masih muda belia, Nuyun dan suaminya Najmi, juga teman sekolah, Markom dan Maliah, juga telah mendapat tarikh penerbangan. Mudah-mudahan urusan mereka dipermudahkan dan mereka mendapat haji yang mabrur.
Haji adalah Rukun Islam yan kelima. Ia wajib. Haji bagi saya, adalah permulaan kepada sebuah kehidupan baru. Kehidupan yang dipenuhi dengan keindahan Ketenangan yang dicari di sepanjang kehidupan muncul sewaktu sibuk menyiapkan diri untuk melangkahkan kaki ke tanah suci. Namun ujiannya getir dan besar sekali. Berjuraian airmata tatkala menghadapi ujian demi ujian yang Allah turunkan.
Puncak ujian ialah pada hari sampai ke tanahair selepas mengerjakan haji. Kemabruran haji ialah samada kita masih sama seperti sebelum kita pergi haji atau kita menjadi manusia yang lebih baik atau sebaliknya. Kita mahu istiqomah, namun prasangka, andaian dan pelbagai rintangan perlu dihadapi dalam usaha untuk beristiqomah. Kita cuba untuk menegakkan yang haq, namun suara-suara yang membisik membuat kita takut dengan kemungkinan kita ini riyak, ujub dan takbur.
Pagi esok, bakal-bakal jemaah haji akan berqiamullail di Masjid Negeri selepas merasai nikmat tidur semalam di dalam masjid. Di kala mendengar alunan suara imam yang mendayu, pastinya hati kecil merintih dan menangis mengenang segala kesilapan lalu. Kealpaan dan
kelekaan mengejar keindahan dunia sesungguhnya menjadi titik tolak kepada kemusnahan hidup. Segalanya berkisar tentang apa yang
diingini, bukan apa yang diperlukan. Keinsafan datang dari ilham Yang Maha Kuasa. Ia diturunkan khusus kepada mereka yang mencarinya. Bagi saya secara peribadi, diselubungi rasa bersalah kerana seringkali terlupa denganNya dan hidup dalam keresahan menimbulkan
perasaan mahu berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik di sisiNya.
Kursus Haji Perdana 2010 meruoakan detik di mana saya letakkan 'gear' kenderaan yang membawa saya menuju ke garisan penamat
kepada D, selepas saya tarik brek tangan dan gear ke P. Saya mulakan langkah menjadi manusia baru bermula dari detik itu.
Mudah-mudahan kesemua jemaah haji 2011 diberi kemudahan, dikurniakan nikmat dan rahmat dari Allah dan mendapat haji mabrur. Saya juga berdoa agar kehidupan saya dan keluarga sentiasa mendapat keredhaan Allah. Amin.
No comments:
Post a Comment