Sunday, September 18, 2011

Apa yang dicari?

Saya disoal dengan soalan di atas. "Apa lagi yang dia cari?"

Entahlah. Saya sendiri tidak punya jawapan kepada soalan tersebut.

Saya hanya mengukur baju di badan saya. Bagi orang yang segemuk saya, sudah tentu koyak baju bersaiz S mahupun M. Mungkin selesa jika saya pakai saiz L, atau XL. XXL akan jadi terlalu besar. Jika ingin memilih beg tangan, saya akan cari beg yang boleh memuat kesemua barang-barang yang wajib saya bawa bersama. Ertinya, ia perlu besar. Dan mampu saya bayar. Sudah pasti saya tidak mampu memilih Gucci atau LV atau Dior. Paling hebat pun beg tanpa jenama. Itulah dia kemampuan saya. Itu saja. Yang lain saya tidak mampu.

Saya cuba memahami keadaan. Namun kenyataannya saya gagal. Saya sendiri tertanya-tanya... Apa yang dicari?

Jika ia berkait dengan wang ringgit, banyak dah. Jika berkait dengan pangkat dan kedudukan, tinggi melangit. Jika berkait dengan populariti, semua dah kenal.

Mari kita tanya Ustaz bagaimana sahabat Nabi menentukan akhir kehidupannya.

Ustaz bercerita tentang Abu Darda', seorang yang cukup terkenal sebagai sahabat Nabi. Beliau seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Namun beliau memilih untuk mendapatkan kekayaan yang kekal abadi dan beliau tahu kehidupan itu adalah di akhirat. Lalu beliau tinggalkan dunia dan kekayaan yang sementara, dan fokus kepada akhirat. Namun sebagai ahli perniagaan, beliau teruskan berniaga. Beliau pastikan yang tempat perniagaan beliau ialah yang berhampiran dengan masjid, agar beliau dapat solaat berjemaah 5 kali sehari tanpa ketinggalan Takbiratul Ihram. Dan beliau juga pastikan yang beliau memperolehi keuntungan 40 dinar sehari, untuk beliau infakkan kesemuanya ke jalan Islam.

Apa yang Abu Darda' cari? Kebahagiaan dan kekayaan yang kekal abadi.

Okay....saya juga mahu mencari kebahagiaan dan kekayaan yang sebegitu lah.... Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya...biarkan...biarkan..... Saya akan jalankan tugas saya dengan sepenuh hati demi mencari kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat nanti..... Mari sama-sama kita cari kebahagiaan dan kekayaan itu... Kehidupan di syurga amat indah sekali... Itu janji Allah pada hambaNya. Janji itu tidak mungkin dimungkiri.

No comments: