Sunday, October 30, 2011

Menjengah ke Seberang


Pemandangan dari atas Tugu MONAS - Jakarta yang pesat


Sesekali berdua



Anak-anak pasti cemburu


MONAS - Puncak menara ini disaluti dengan emas tulin.


Di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta


Kawah gunung berapi di Tangkuban Perahu


Bukti dah sampai ke Tangkuban Perahu


Tangkuban Perahu - sebuah kawah yang begitu besar


Ana mengadap pinggan kosong - kekenyangan makan Nasi Padang

Satu hari di bulan puasa yang lalu, saya terima panggilan dari seorang rakan:"Suria, hang dah pernah ke Bandung? Aku nak ajak hang gi shopping la..."

Saya memang belum pernah menjejakkan kaki ke tanah seberang, walaupun banyak negara lain telah saya jelajahi. Bershopping hingga ke Bandung? Agak kelakar untuk saya yang bukan seorang 'shopaholic".

Ana, rakan saya ini, rajin mem'browse' internet. Akhirnya dia berjaya mendapatkan tambang murah - terimakasihlah pada Air Asia. Setelah lebih 3 bulan menunggu, minggu lepas kami berpeluang menjelajah Jakarta-Bandung-Jakarta. Kami pergi berempat - kata budak-budak sekarang, double date. Iyalah tu.

Selain dari pertama kali ke Indonesia, itulah pertama kali kami tidur di lapanganterbang - Di Bandara Soekarno-Hatta. Penerbangan kami terlewat lebih dua jam. Kami tiba awal pagi. Tidak mahu membuang duit, kami putuskan untuk menunggu hari siang di atas pangkin yang tersedia di dalam lapanganterbang. Mulanya rasa pelik, tapi bila lihat bukan hanya kami yang mengambil tempat di situ, kami pun melabuhkan badan...dan apa lagi, zzzzzz lah kami. Terasa baru sebentar kami tidur, terdengar bunyi pengumuman penerbangan...terperanjat kami. Jam baru pukul 4....kami membersihkan diri mana yang patut dan mencari musolla berhampiran. Oh...sudah subuh rupanya!

Kami menaiki bas ekspres ke Bandung seawal pukul 8 pagi. Jalan yang macet dan cuaca redup tidak mengganggu tidur kami yang lena.... Sedar sedar kami sudahpun memasuki kota Bandung. Selepas merehatkan badan (Boss dan Che Li sempat bersolat Jumaat di Masjid Al-Ukhwah, di tengah kota), kami mengisi perut dengan makanan sunda - Nasi Liwet. Sedap juga makanannya, cuma ia agak asing dengan tekak kami.

Kemudian, bermulalah episod bershopping. Suhana dan Rosli memang pasangan sehati sejiwa. Cara mereka membelek barangan yang mahu dibeli amat mengagumkan. Di mana mahu bershopping di sini? Carilah branded jeans di Toko 3, dan pakaian-pakaian berjenama di Factory Outlets yang mewah-mewah di Jalan Dago. Sepanjang jalan dipenuhi dengan butik-butik yang cantik-cantik. Saya dan Boss berpisah dengan Ana dan Rosli. Kami keluar dan masuk ke hampir kesemua butik yang ada, dan berjalan kaki pulang ke hotel sekitar jam 730 malam tanpa membeli apa-apa....manakala mereka berdua mengetuk pintu bilik kami pada pukul 1030 malam, mengajak kami makan malam dan melayan kuaci! Indah sungguh situasi itu bila diingat...

Keesokan paginya, kami sempat berjemaah Subuh di masjid Al-Ukhwah sebelum dibawa Pak Supir ke Tangkuban Perahu. SUbhanallah, indahnya pemandangan. Saya dan Boss sempat mendapatkan taklimat di pejabat pelancungan yang ada di situ. Angin sejuk yang mengiringi kami di puncak gunung terasa amat nyaman. Sambil menunggu Ana dan Rosli, kami mengisi perut dengan tahu goreng, tempe goreng dan jemput-jemput jagung. Makan panas-panas, sedap sungguh. (Sebelum membeli, saya tanya Boss "Ana pesan jangan makan makanan atas ni. Takut sakit perut, Ok tak kalau kita makan ni?" Boss jawab, "Baca Bismillah. Insyaallah tak ada apa-apa.". Alhamdulillah,
kami tidak sakit perut...)

Kami kemudian menjelajah Pasar Baru Bandung. Baru saya tahu di mana pekedai-pekedai membeli barang jualan hariraya tempohari.... Sekali lagi, kami hanya membelek - Touch and Go. Seawal jam 5 petang, kami bertolak ke Jakarta.

Perjalanan panjang nan membosankan (hanya gelap gelita yang kelihatan) mendorong Boss untuk meneruskan tidurnya. Rosli setia menemani Pak Supir bersembang. Saya dan Ana sekejap tertidur, sekejap terjaga. Kami tiba di hotel hampir pukul 10 malam. Sedar tak sedar, handphone berbunyi pukul 300 pagi. Kami menaiki bajaj pada pukul 345 pagi untuk bersolat subuh di Masjid Istiqlal, antara 5 masjid terbesar di dunia.

Subhanallah, memang besar dan tersergam masjid ini. Suara merdu Pak Imam meruntun jiwa. Ramai jemaah yang datang dari luar Jakarta. Anak-anak muda di sana sini. Bangga melihat begitu ramai umat Muhammad membanjiri masjid biarpun ianya hari Ahad. Berdepan dengan

Masjid ini ialah Gereja yang lebih kurang sama besarnya dengan masjid. Allah hu akbar! Kuatkanlah semangat juang dan hati umat Islam di Jakarta ini. Jauhi mereka dari tipu daya syaitan dan manusia yang amat memusuhi Islam.

Kami teruskan jelajah Jakarta kami dengan menaiki Angkutan Kota ke Tanah Abang. Shoppers' Paradise la kata orang putih tu. Kemudian kami ke Pasar Pagi Mangga Dua pula. Shopping jugak! Saya mengalah akhirnya kepada kepenatan. Lebih sejam kami biarkan Suhana menyudahkan shoppingnya. Selepas pulang ke bilik dan menikmati makan malam, Ana dan Rosli menyambung shopping mereka di Pasar Malam pula....sedang kami berdua lena diulit mimpi...

Keesokan paginya, selepas berkesempatan menunaikan solat subuh sekali lagi di Masjid Istiqlal (kali ini Ana dan Rosli turut serta - kami berempat menaiki satu bajaj), kami ditemani Mas Erwan, anak muda yang peramah dan kelakar, mengunjungi Monumen Nasional (MONAS). Indahnya pemandangan kotaraya Jakarta yang padat dan pesat. Dari MONAS, kami menuju ke Jakarta Timur. Perjalanan lancar sambil dipenuhi gelak ketawa kami mendengar dongeng Mas Erwan seolah-olah melupakan kesesakan lalulintas. Kami sudahi lawatan bersejarah kami dengan menikmati makan tengahari di Wong Solo yang cukup enak makanannya, terutama sekali Ayam Penyet.... (Lain rasanya dengan yang banyak dijual di Malaysia...). Makanan yang enak di sini menyingkirkan rasa jemu dengan Nasi Padang - selepas berkali-kali kami menjamah juadah tersebut. Ana yang pada awalnya amat teruja dengan gulai kikil, akhirnya berkata "Setahun lagi baru aku makan Nasi Padang....!

Kami pulang ke tanahair membawa bersama kenangan manis yang akan segar terpahat dalam ingatan. Sesungguhnya ia adalah satu percutian romantik buat pasangan-pasangan veteran ini. Ia mengeratkan silaturrahim antara kami berempat dan pastinya ia menambah baja kepada kasih sayang yang tersemai antara kami berdua. Alhamdulillah....

Thursday, October 27, 2011

Penyucian jiwa di tanah suci

Musim haji sedang berada di kemuncak. Masjidil Haram mulai padat dengan jemaah yang datang dari segenap pelusuk dunia. Penerbangan dari Malaysia juga sudah hampir ke minit-minit terakhir.

Dua hari lalu saya diberi kesempatan menghantar Liza dan Khairi, teman rapat saya sejak kami masih kecil lagi, ke Kompleks Haji Kelana Jaya. Sebelum itu, kami sempat menghabiskan masa seharian di rumah mereka.

Terkenang kisah setahun lalu sebelum kami ke tanah suci. Liza berkata begini:

Su, aku nak sangat pegi haji....kau doakan aku dapat pegi ye tahun depan?

Sepanjang berada di tanah suci - Madinah, Mekah, Arafah, Muzdalifah, Mina - saya memohon agar Allah menjemput Liza dan Khairi menjadi tetamuNya tahun ini. Seingat saya, wajah Liza sentiasa bermain di mata sepanjang saya berada di sana. Rupanya, di tanahair, Liza cukup rajin menziarah anak-anak saya sepeninggalan kami. Setiap hujung minggu Abo akan diambilnya dan akan tinggal di rumahnya selama beberapa hari. Jasa dan perhatian Liza dan Khairi kepada kami sekeluarga hanya Allah yang mampu membalas.

Sepulangnya kami dari tanah suci, mereka berdua datang menziarah. Kami sarankan mereka untuk menghantar surat rayuan ke tabung haji dan mendaftar dengan agensi. Terngiang-ngiang di telinga saya ayat Khairi - duit dalam tabung haji pun entah dapat penuhkan ke tidak, inikan
pula nak pergi dengan ejen....

Boss jawab begini pada Khairi - Sapa kita untuk tahu apa yang Allah nak beri? Kalau kau memang betul-betul berhajat, kau kena minta betul-betul dari Dia. Soal duit, bukan urusan kau.

Alhamdulillah.....segalanya adalah sejarah. Hari ini tentunya Liza dan Khairi sedang mempersiapkan diri untuk berjihad. Kekuatan jiwa mereka berdua terserlah.

Saya pesan pada Liza - doa dan pohonlah apa saja padaNya di sana, terutama pada hari wukuf. Bertaubat dengan sesungguh taubat agar dosa dan aib kita tidak diperlihatkan di hari kebangkitan nanti. Mudah-mudahan kita akan kembali kepadaNya dalam keadaan suci bersih
dari segala noda.

Berjuraian airmata Liza bila saya juga berpesan begini:

Waktu kau melontar di hari 10 - iaitu di Jamratul Qubra, kau pastikan bahawa yang kau lontar itu adalah hatimu yang kotor, yang penuh dengan debu dan kekotoran yang kita kutip sepanjang 46 tahun hidup kita. Setelah itu, kau pohon agar hati yang ada dalam dirimu adalah hati baru yang putih bersih. Berjanjilah bahawa hati yang baru itu tidak akan kau cemari dengan sebarang kekotoran lagi hingga saat kau mengadap Dia..... Itulah haji. Aku harap kau bukan sekadar menunaikan rukun Islam yang kelima.

Emak Liza yang juga berada bersama menitiskan airmata. Dipeluknya saya erat. Di saat itu saya berdoa bahawa hati saya masih lagi putih bersih....sama seperti hati yang saya bawa balik dari tanah suci setahun yang lalu....

Ya Allah. Kurniakan kepada Liza dan Khairi serta semua saudara mara dan sahabat handai kami haji yang mabrur. Dan, kekalkanlah kemabruran haji kami Ya Allah.

Wednesday, October 19, 2011

Menelusuri India (2) : Hebatnya Majlis Kahwin

Saya pernah beberapa kali dijemput ke majlis kenduri kawin di sini. Ada orang biasa, ada juga golongan bangsawan.

Biar saya ceritakan kisah kenduri kawin golongan bangsawan.

BSA adalah seorang yang begitu berjaya dalam perniagaan. Empayar perniagaannya melimpahi hingga ke benua Arab melalui kumpulan perniagaan mereka, ETA STAR. Di India, mereka menguasai begitu banyak industri. Mereka juga ada di Malaysia, di UAE, di Kuwait, di Saudi, tidak ketinggalan di Hong Kong dan Eropah.

BSA ada 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan. Kekayaan mereka tidak terhitung. Anak perempuan sulung BSA mempunyai dua orang anak – sepasang. Cucu sulung BSA adalah pengantin lelaki di majlis kahwin yang saya dan Lala hadiri.

Lala tidak membawa sebarang baju kurung ke Chennai. Lalu dia menerima cadangan Fathimah untuk memakai “churidar” kepunyaan Fathimah. Punyalah cantik "churidar” atau di Malaysia ia dikenali sebagai “Punjabi Suit”. Bersulam Kristal swaroski, ianya diperbuat dari sutera. Dilengkapi dengan “duppata” atau kita panggil selendang. Cara memakai “dupatta” ini agak berbeza dengan selendang yang dijadikan tudung oleh rakyat Malaysia. Ianya lebar dan menutupi hampir keseluruhan badan.

Kami tiba di dewan yang besar tersergam. Rupanya malam itu adalah malam berinai. Hanya kaum wanita yang hadir. Ramainya jemputan. Saya kira ia melebihi dua ribu orang. Kami terus dibawa ke dewan makan. Hebatnya makanan di sini ialah ia disediakan panas-panas. Tetamu duduk di meja, lalu diberikan daun pisang yang telah dipotong dan dibersihkan. Pelayan-pelayan kemudian datang dan meletakkan berjenis-jenis makanan di atas daun pisang tadi. Ada tosey, chapatti, bubur nasi, puree, dal, manisan dan macam-macam makanan yang saya tidak tahu namanya.

Riuh rendah dan bunyi bising menjadi irama malam itu. Wanita-wanita yang hadir kebanyakannya berkelubung. Kebanyakannya memakai sari yang beranika warna. Hampir kesemua sari yang dipakai malam itu bersulam benang emas. Mata saya dan Lala terpaku melihat perhiasan yang mereka pakai, samada di leher, di telinga, di tangan, di jari tidak lupa di kaki. Subhanallah. Keluarga besar ini memang betul-betul kaya. Emas, berlian dan batu permata mengerlip-ngerlip menyaluti tubuh mereka. Kulit mereka putih melepak, halus dan “flawless”. Hampir kesemua mereka bersaudara antara satu sama lain (ada dikisahkan dalam bab Jodoh). Ketika bersembang, saya dapati 70% dari keluarga ini tinggal di luar India. Mereka menguasai dunia; dengan perniagaan. Sementelah ketua kumpulan ini, BSA, merupakan salah seorang lelaki terkaya di India.

Selesai jamuan makan, kami dijemput untuk duduk di atas pentas. Saya mewakili pihak lelaki. Maka saya duduk di kalangan sanak saudara terdekat BSA. (Saya menjadi perhatian ramai kerana hanya saya berbaju kurung dan bertudung lain dari mereka).

Di atas pentas telah sedia menunggu seorang wanita cantik yang merupakan pengantin perempuan. Lala tidak menunggu lama untuk mula memetik kameranya. Saya terpandang tiga buah dulang yang berada di hadapan pengantin perempuan. Mulut gatal saya akhirnya bersuara, “Are all that jewelries?” Sudah gaharu bertanya pula.

Madam Hassan menjawab soalan saya. “Yes. They are all gold”.

Wow! Terkedu saya mendengar jawapan tersebut.

“Who gives who?” tanya saya lagi.

“Here, the bride gives gold to the groom as dowry. We parents buy jewelries for our daughters since they were small. In this ceremony, the jewelries are to be given away to the groom’s family. Then, the groom’s family will bejewel the bride."

“Oh….meaning to say, the jewelries are actually meant for the girl?”

“Yes. They will be used as their security. Anything happen to the girl, they already have their properties.”

“Why must give to the boy? Why don’t just give to the girl?”

“In our custom, when a man marries a woman, he will enter the woman’s house. It is the girl’s side’s duty to give the boy with a fully furnished house, jewelry and car as dowry, but to be used by the girl. And the amount of dowry depends on the boy’s position. After marriage, husband has to work hard to bring back food and pocket-money to the wife. Wife only knows how to spend. We Indian women are not taught to earn. We don’t do that.” (Rasanya frasa ini hanya 'applicable' kepada keluarga kaya).

“Why give all those things to the man? They will be the head of the family? Isn’t it their duty to look for all those?”

“Again, the properties are for the girl’s security. Anything happens to the marriage, the man cannot claim anything. He can walk out with just what he wears. He cannot take the properties with him”.

Aduh….pening kepala saya. Ia mengingatkan saya kepada Adat Perpatih....

“Suria, you have three boys, right? Get them marry Indian girls. You will surely become millionaire!” Madam Hassan berseloroh.

Tatkala tiba waktu untuk memakaikan barang kemas kepada pengantin perempuan, saya kembali teruja. Saya minta kebenaran untuk memegang barang kemas yang terbesar. Ianya serupa dengan talipinggang besi yang emak saya selalu pakai sewaktu saya kecil, bezanya, ia emas tulin dan ia adalah rantai leher! Boleh melengkung leher dibuatnya!

Berat sungguh rantai tersebut. Lebih membuat saya teruja bila cincin-cincin, gelang-gelang dan kesemua emas tersebut diagihkan kepada sauadara-mara yang hadir untuk dipakaikan kepada pengantin. Tidakkah akan ada yang menyimpan di kocek? Bisik hati saya.

Saya tanya satu soalan lagi kepada Madam Hasan. “What is the total weight of all these 3 trays of jewelries?”

Madam Hasan berpaling dan bertanya kepada emak pengantin yang kebetulan berada di sebelahnya.

“10 kg.”

Hampir saja saya pengsan. Cepat saja kepala saya mengira. Jika di Malaysia (ketika itu), emas 916 berharga RM120 segram. Sekilogram bererti 1000 gram, bersamaan dengan RM120,000. Kalau 10 kilogram? Ia bererti nilai pasaran emas tadi ialah RM1.5 juta! Ya Allah! Banyaknya!

Saya juga diberitahu bahawa pengantin perempuan menghadiahkan pengantin lelaki sebuah rumah banglo bernilai hampir RM5 juta. Majlis pernikahan mereka diadakan di sebuah masjid berhampiran dan majlis resepsi mereka diadakan di Stadium Kriket di Chennai, yang dihadiri oleh lebih 20,000 orang tetamu. Antara yang hadir ialah keluarga Ketua Menteri Tamil Nadu, beberapa menteri kabinet India, pemain kriket kebangsaan, artis dan taikun-taikun perniagaan India.

Begitulah hebatnya majlis perkahwinan di India. Satu antara yang banyak yang saya pernah hadiri. Kebanyakannya berskala lebih kecil, tetapi lebih kurang sama mewahnya.

Monday, October 17, 2011

Menelusuri India : Pengalaman Abey

Saya sedang menulis sedikit pengalaman saya sewaktu ditugaskan mengetuai sebuah syarikat IT di India dari tahun 2008 - 2010. Semoga saya diberi kekuatan untuk mengabadikan perjalanan saya, seorang wanita Melayu, isteri dan ibu, yang hidup bersendirian di rantau orang selama hampir dua tahun.
********************************************************************
Pengalaman Abey

Sehabis peperiksaan SPM Jimie tamat pada awal Disember 2009, Boss dan anak-anak menyertai saya di Chennai. Kami menaiki Air India (tambang paling murah) yang bertolak dari KLIA seawal pukul 830 pagi. Itu kali pertama saya menaiki pesawat ini. Anak-anak saya kata, “Bau kari la Mama kapalterbang ni.”

Pengalaman agak melucukan kami perolehi, antaranya, berlaku pertengkaran antara pramugara dan pramugari. Ia bermula dengan usikan dan gurauan, namun nada suara mereka makin meninggi dan akhirnya mereka benar-benar bertengkar. Pening kepala penumpang dibuatnya. Masing-masing menggelengkan kepala. Anak-anak saya memandang satu sama lain dengan kerutan di dahi. Saya katakan pada mereka; “Welcome to India”.

Di Lapangan Terbang ANtarabangsa Chennai, Lala, Jimie dan Abey ketawa terbahak-bahak sewaktu kami melepasi kaunter kastam. Saya pelik mendengar tawa mereka. Boss juga kehairanan.

Ketiga-tiga mereka memuncungkan bibir sambil menunjuk-nunjuk ke pintu keluar dari balai ketibaan. Saya makin pelik. Siapa yang mereka ketawakan?

“Ma…betul-betul macam dalam filem Hindustan.”

Saya masih kehairanan. Budak bertiga ini ketawa sampai menangis. Apa yang menggelikan hati mereka agaknya? Macam dalam filem Hindustan?

“Diaorang ni semua tunggu siapa Ma?” Jimie merujuk kepada ratusan manusia yang berbaris panjang di sepanjang lorong keluar dari balai ketibaan.

“Oh….Mama ingatkan apa. Diaorang tunggu orang yang diaorang nak ambik la.” Pelik sungguh anak-anak saya melihat begitu ramai manusia bersesak sambil memegang placard, dan ada yang menjerit-jerit memanggil nama orang yang mereka tunggu.

Boss dan Abo yang pernah melihat suasana ini hanya tersenyum. Ia pengalaman baru buat mereka bertiga. Banyak lagi yang akan mereka lihat…

Di celah-celah ratusan manusia, saya terlihat senyuman manis Iyappan, pemandu syarikat kami yang kelihatan begitu segak berdiri menyambut kami. Rambut tersisir rapi, dengan side burn yang kelihatan seperti baru di ‘trim’.

“Iyappan! How are you? Wah…so handsome?”

“Good morning, Madam. Good morning, Sir. Welcome back Abo…”

“Iyappan, these are my children. Lala, Jimie and Abey. Guys, this is Iyappan; my best driver ever.” Saya kenalkan Iyappan kepada anak-anak saya. Jimie dan Abey bersalaman dengan Iyappan yang kelihatan malu-malu.

Iyappan terus mencapai beg-beg kami dan meminta kami menunggu di situ. Saya katakan pada Iyappan tidak perlu kerana keadaan cukup sesak. Kami berjalan mengekori Iyappan ke tempat letak kereta.

“MD asked me to bring you in this car, Madam. So many of you.” Wah, besar kereta yang menanti kami. Alhamdulillah.

Saya teruja melihat gelagat anak-anak saya. Mata mereka meliar memerhati keadaan sekeliling.

“Ma…kenapa bising sangat?” Lala memecah suasana sunyi.

“Apa yang bising Kak?” Boss tanya Lala kembali.

“Kenapa Akak rasa bising sangat? Telinga AKak ke yang tak betul?” Lala masih keliru.

“Selamat datang ke India, wahai anak-anak Mama. Bising adalah India. India adalah bising. Bunyi hon, suara orang, bunyi kenderaan. Ini baru satu langkah.” Jawab saya.

Kereta menyusur keluar perlahan. Sewaktu melepasi pintu masuk utama, Abey bertanya soalan cepumas.

“Ma, apasal diaorang tu semua beratur mengadap tembok tu?” Kami semua menoleh ke sekumpulan lelaki yang sedang berdiri mengadap tembok (tiang jejantas) yang terletak bertentangan dengan pintu masuk utama lapangan terbang.

Saya dan Boss serentak ketawa. Iyappan juga ketawa, macamlah dia faham soalan Abey.

“Itulah tandas awam.” Boss menjawab pendek.

“Ha? Ishhh. Buruknya.” Abey kelihatan terganggu dengan pemandangan itu.

“Abey jangan tengoklah…. Nanti Abey asyik la nampak pemandangan tu merata-rata. Tulah kata orang tua.” Saya memberi nasihat yang tidak bererti kepada Abey.

Jalan yang berdebu, bunyi bising hon dan kereta yang bersimpang siur di sepanjang perjalanan selama hampir 40 minit mengujakan anak-anak saya.

“Kak, tengok kat belakang van tu. Dia tulis “SOUND HORN”. Maknanya orang sini memang asyik hon kereta mereka.” Jimie membuat analisa.

“Memang betul. Masa Mama mula-mula kat sini, Mama rasa bingit dengan bunyi hon ni. Lepas dua tiga kali kunjungan Mama, Mama rasa okay je. Sekarang ni memang Mama tak rasa janggal pun.”

Serentak itu anak-anak saya ketawa. “Telinga Mama pun dah kebabal macam telinga orang India!” Boss membuat kesimpulan.

Akhirnya kami sampai ke rumah saya. Berlari KaKa mendapatkan kami semua. Sekali lagi anak-anak saya terkejut apabila KaKa seakan-akan menyembah mereka (meletakkan kedua tangan yang dirapatkan antara satu sama lain ke dadanya. Tanda hormat kaum India kepada tetamu).

KaKa juga menundukkan badannya seraya menyentuh kaki Boss. Cepat-cepat Boss tarik badan KaKa dan memeluknya erat. Terlopong mulut Lala, Jimie dan Abey melihat adegan ini.

“Kenapa dia buat macam tu Pa? Dia macam nak sujud kat Papa je?” Jimie memecah suasana.

“Itu tanda hormat kat Tuan.” Saya bisik perlahan.

Sewaktu Jimie dan Abey hendak mengangkat beg-beg naik ke atas rumah, sekali lagi mereka terperanjat melihat Iyappan, dibantu oleh Krishnan, pembantu rumah, telah mengangkut kesemua beg: ada yang dijunjung di atas kepala dan ada yang tersangkut di leher.

“Selamat datang ke World of the Riches. Beginilah penerimaan orang sini kepada Mama. So, keluarga Mama adalah bangsawan di sini. Rasalah nikmat ini. Kat Malaysia langsung takkan merasa.” Sambil ketawa saya katakan pada mereka.

Baru saja kami labuhkan punggung ke atas sofa di ruang tamu, KaKa mendekati kami sambil tersenyum.

“Chai, madam? Chai, Sir?”

“KaKa. This is Lala. This one is Jimie and this one is Abey. You remember Abo?”

“Yes Madam. Thank you Madam. Drinks for you Little Sir?” KaKa tujukan soalan kepada Abo.

Abo tersenyum girang mendengar panggilan istimewa KaKa kepadanya. Little Sir?

“KaKa, chai. Une.” Ewah….Abo pandai pula nak berbahasa Tamil.

“Young Madam. Any chai? Young Sir, chai? Handsome Sir, chai?” KaKa tujukan pertanyaan kepada Lala, Jimie dan Abey.

Serentak kami ketawa. Pandai pula KaKa memberi nama. Little Sir untuk Abo, Young Madam untuk Lala, Young Sir untuk Jimie dan Handsome Sir untuk Abey.

Anak-anak saya mula menyukai suasana yang berbeza ini.

Dua minggu di India memberi pengalaman yang tidak ternilai buat anak-anak saya, terutama sekali Abey. Asal keluar saja dari rumah, Abey akan terlihat adegan “beratur mengadap tembok” dan adegan “melepaskan hajat walau di mana sahaja”. Menambah harga kepada pengalaman ini ialah, hanya Abey yang terpandang!

Saya masih ingat satu kejadian ini. Keluarga saya menjemput saya di pejabat. Bulan Disember merupakan musim dingin dan musim hujan di Chennai. Sebelum sampai ke pejabat saya, mereka singgah ke beberapa tempat yang menjadi tumpuan ramai, sambil ditemani oleh Iyappan. Salah satu jalan yang dilalui merupakan jalan yang sesak dengan pejalan kaki, auto dan kenderaan lain.

Tatkala sampai ke pejabat saya, hujan turun dengan lebatnya. Sistem perparitan memang hampir tiada di India, khasnya di Chennai. Sekali fikir, banyak kebenarannya kenapa system parit tidak perlu ada. Purata hujan yang turun di Chennai hanyalah 25 hari dalam 365 hari.

Pukul 6 petang di musim dingin sudah gelap gelita. Sekelip mata juga jalan-jalan dibanjiri air yang serta-merta naik hingga ke paras paha. Abey yang duduk di tempat duduk belakang tiba-tiba menjerit, “aduh!!! Uwekkkk!”. Kami terkejut. Semua kepala berpusing ke arahnya.

Waktu itu kereta kami sedang melalui jalan yang sentiasa sesak dengan pejalan kaki. Abey benar-benar kelihatan seperti mahu muntah.

Selepas beberapa ketika, Abey bersuara, “Tadi masa nak datang ambik Mama, kitaorang lalu kat jalan ni. Abey ada nampak ehem-ehem warna kuning kat tepi penjuru tu. Dua tiga tempat. Baru kejap ni Abey nampak makcik tu jalan kat situ selamba je dalam banjir gelap-gelap ni. Kalau dia terpijak macammana?”

Berderai kami semua ketawa. Ada benarnya persoalan Abey. Namun, ia di luar kawalan sesiapa pun juga. Alahai India…. Tandas awam memang tiada pengunjung…..

Thursday, October 13, 2011

Hati Seorang Tua (2)

Sewaktu arwah mak seusia saya kini, saya masih di Tingkatan 5. Tinggal di asrama dan balik hanya sebulan sekali membuatkan saya sentiasa merindui emak. Emak tegas orangnya, jarang memanjakan saya dengan makanan atau material (beliau tidak mampu untuk mengadakannya), namun emak sentiasa tahu apa yang saya perlukan.

Sesekali bila saya mengadu pada emak tentang kawan atau masalah yang saya alami, emak akan kata, "Jangan tengok salah orang kat kita je. Cuba tengok balik salah kita kat orang...". Saya pegang kata-kata mak hingga kini, dan harapnya hingga akhir nanti.

Di antara kami sepuluh beradik, rasanya saya adalah anak yang selalu jadi 'bodyguard' mak. Masa kecil saya ikut mak ke surau menghadiri kelas-kelas agama, juga ke kelas WI belajar masak, ke kelas KEMAS belajar menjahit dan menggubah, menziarahi sesiapa sahaja yang sakit, kenduri dan segala macam kunjungan. Bila saya sudah boleh menunggang motosikal, mak akan membonceng Kapcai Bapak yang saya bawa ke serata kampung, melakukan aktiviti yang menjadi prioriti dalam hidupnya - menziarah orang sakit.

Saya pasti saya pernah menyakiti hati mak. Kata-kata saya dan tingkah laku saya pastinya sering membuat emak menjeruk rasa. Sesekali emak akan lemparkan kata-kata sindiran yang sinis kepada saya. Berdesing telinga selalunya....

Namun saya anak yang sentiasa memohon maaf kepada emak. Bila saya lihat wajah mak kelat semacam dan berubah selepas berlaku sesuatu, saya akan terus cium tangan mak minta maaf.

Selepas berumahtangga dan sibuk dengan kerjaya, saya semakin jarang bersama mak. Namun sesekali bila saya balik ke kampung, saya dapat rasakan kerinduan yang sarat di dada saya kepada emak.

Jika dapat diputar kembali masa, ingin sekali saya minta ampun pada mak andai saya pernah membuat emak menangis kerana saya, samada saya sedar ataupun tidak.

Kepada sesiapa yang masih punya emak, jangan tunggu untuk meminta maaf dari emak. Hati emak terlalu mudah tersinggung, apatah lagi jika emak adalah seorang tua.

Mak, anak mak ni dah tua rupanya!

Wednesday, October 12, 2011

Aib

Jangan dibuka aib orang lain. Bayangkan jika Allah buka aib kita, pastinya tidak mampu kita menanggung rasa.

Pelbagai kisah terjadi di sepanjang kehidupan ini. Adakalanya indah, banyak juga yang samar-samar. Tidak kurang yang tidak ingin langsung kita bayangkan.

Pengalaman mengajar kita menjadi dewasa. Kita matang dalam membuat penilaian dan keputusan. Namun adakalanya kita terlalai lantaran kita asyik dibuai irama lagu dunia yang penuh dengan kepalsuan.

Andai kita tersasar dan terperangkap, kembalilah kepada Dia. Pesan Ustaz Firdaus Subhi, salah seorang Imam Masjid Negeri:

Kita manusia memang sentiasa diuji. Antaranya ialah rasa takut akan kehilangan. Ketidakcukupan juga satu ujian; selain harta dan pangkat. Ujian itu sebenarnya adalah untuk meningkatkan darjat kita jika kita mampu mengharunginya. Cara untuk kita mendepani ujian ialah dengan sabar, solat, zikir, mengaji Quran, bangun malam, berpuasa, bergaul dengan alim ulamak dan bersedekah. Setelah jiwa kita kembali tenang, berlapang dadalah dengan ketentuanNya dan redha dengan apa jua yang Allah beri pada kita....

Semoga ALlah pelihara kita dari dibuka aib kita di hadapan makhlukNya yang lain.... Jagalah kehormatan saudara-saudara kita, kalau benar seperti yang kita kata bahawa kita sayangkan mereka....

Sunday, October 9, 2011

Sabar dan solat

Pagi-pagi lagi telinga saya parah mendengar bebelan. Kalau memang salah saya, okay jugak. Bolehlah saya terima dengan senyuman. Saya dan team saya berhempas pulas menyiapkan lapuran yang perlu dihantar ke pihak kerajaan, malangnya saya dihambur dengan seribu satu komen yang menggelorakan perasaan. Subhanallah....tidak putus-putus saya menyebut nama Dia memohon agar saya diberikan kekuatan. Saya garu kepala yang tidak gatal. Fenin. Sakit sungguh kepala saya dibuatnya.

Saya lakukan apa yang saya lakukan kerana ini tanggungjawab saya. Langsung tiada agenda duniawi yang lain. Atas alasan tersebut saya jalankan tugasan ini kerana Allah. Akan tetapi selepas 'bernanah' telinga saya mendengar leteran dan komen yang tidak masuk akal, saya harus serahkan kepadaNya. Saya masuk ke dalam bilik air dan mengambil wudhuk. Lalu saya dirikan solat sunat 2 rakaat. Saya pohon agar saya mendapat kemudahan.

Selesai solat, saya rasa cukup tenang. Saya mampu tersenyum dan bersedia menerima apa pun jua yang akan dilontarkan. Ya Allah....begitu besar kuasaMu. Tatkala saya kembali mengadap si dia, saya mendengar suara lembut yang memuji saya dengan pujian tinggi melangit dan macam-macam lagi. Selepas keseluruhan dibaca, dia tahu kami berusaha melaksanakan tugasan dengan cukup baik. Saya beristighfar dan terus beristighfar.....

Saturday, October 8, 2011

Tasawwur Islam

ia adalah satu subjek dalam SPM. Anak-anak saya berhenpas pulas berusaha untuk mendapat A dalam subjek ini.

Malam tadi saya berpeluang berada di dalam kuliah YBhg Prof Datuk Dr Harun Din yang bercerita tentang subjek Tasawur Islam yang bermaksud 'gambaran dalam Islam'. YBhg Datuk membawa kami menggambarkan keadaan kiamat, kebangkitan semula, soalan-soalan yang dihadapkan sewaktu hari perhitungan dan ke mana ia akan membawa kita.

Allah hu akbar. Takutnya saya. Antara analisa YBhg Datuk adalah soalan ringkas dari Allah seperti berapa usia hidup kita di dunia? Berapa lamakah kita gunakan usia kita itu untuk beribadat kepada Allah? Dari situ Datuk mengajak jemaah mengira. Tidur 8 jam sehari bermaksud sepertiga dari hari kita. Jika kita hidup 60 tahun, maksudnya 20 tahun dari hidup kita adalah untuk tidur! Jika kita tidur dalam wudhu', membaca Quran sebelm tidur, berdoa dan berzikir....Alhamdulillah. Jika tidak....

Kemudian, makan. Berapa lama kita habiskan usia kita untuk makan?

Yang paling saya tidak tahan, ialah tentang solat. Jika kita ambil 5 minit satu waktu sehari, dalam 60 tahun, kita hanya solat selamat 8 bulan 10 hari untuk lelaki. Untuk wanita, tolak satu perempat kerana uzur! Dan erti solat di sini adalah solat yang khusyuk....Alamak....

Kita juga akan ditanya setiap sen yang kita perolehi. Bagaimana kita mendapatkannya? Dan bagaimana kita membelanjakannya?

Aduh...saya tidak boleh tidur semalaman. Bagaimana akan saya jawab soalan- soalan itu jika saya tidak mengikut apa yang dituntut? Ampunkan hambaMu ini Ya Allah. Ampunkan hambaMu yang seringkali lalai dan leka. Kebahagiaan dan kekayaan abadi adalah di sana. Di akhirat.

Pagi tadi, selesai waktu subuh, saya masuk kelas Ustaz Yusri Karim pula. Ia tentang Rahsia 7. Satu saja topik yang Ustaz sentuh, iaitu bagaimana Rasulullah(saw) beramal. Begitu mudah. Namun hakikatnya ia sukar untuk dilakukan....apatah lagi untuk beristiqomah.

Rahsia pertama ialah bangun sebelum waktu subuh, solat sunat kemudian solat fardhu berjemaah.... Jika saya hitung, subuh saya di sepanjang usia saya puratanya ialah pukul 630.... Habis! Rahsia kedua ialah Rasulullah (saw) menjaga kebersihan. Zahir dan batin. Aduh... penyucian hati.... Zikir, membaca Quran, bersedekah dan mendalami ilmu Allah....dan pelbagai lagi. Ini kelihatan amat mudah, tetapi ia terlalu sukar untuk dilksanakan. Bak sajak Ahmad Fansuri... 'aku adalah aku, mencari diriku di dalam terang'. Astaghfirullah... Takutnya jika Allah berpaling dari memandang kita. Bagaimana nantinya nasib kita. Aku pohon keampunnMu Ya Allah. Aku pohon kasih sayangMu Ya Allah...

Semoga hari ini dan hari-hari mendatang adalah lebih baik dari semalam dan hari-hari yang telah kita tinggalkan. Wallahualam.

Tuesday, October 4, 2011

Kita sedang diuji


Hampir setahun yang lalu, tatkala saya berada di Padang Arafah, di celah-celah sendu dan tangis mengenang segala dosa yang telah saya himpun di sepanjang kehidupan saya, saya berjanji kepadaNya bahawa saya sudah meletakkan dunia ke sisi. Saya pegang janjiNya bahawa sesiapa yang mengejar dunia, dunia akan lari, tetapi sesiapa yang mengejar akhirat, dunia akan datang kepadaNya.

Sekembalinya dari sana, dalam keadaan saya tidak ada sebarang pekerjaan (satu bulan setengah sebagai penganggur), saya pohon kepadaNya agar saya diberi satu pekerjaan yang selayaknya buat saya. Sesuai dengan kelayakan akademik dan pengalaman saya. Tidak lebih dan tidak kurang.

Selepas hampir setahun memegang janji, saya diuji. Jawatan tinggi menjadi tunjang kepada kemuliaan di sisi manusia. Saya hampir terpedaya dengan dorongan syaitan yang saya biarkan bermaharajalela dalam hidup saya.

Saya menangis sendirian mengenang momen-momen indah 9 Zulhijjah 1431. Apa yang sudah saya lakukan? Di mana janji saya pada diri saya sebagai hambaNya? Hati yang telah saya sucikan di sana kembali saya cemari demi cita-cita dan wang ringgit, sedangkan ALlah lebih mengetahui keperluan saya.

Saya sedang diuji dengan janji yang saya ikat sendiri. Subhanallah. Astaghfirullah. "Janganlah Kau palingkan hatiku selepas Kau beri petunjuk kepadaku Ya Allah..."

Semoga hari ini dan hari-hari seterusnya lebih indah dari semalam.....