Musim haji sedang berada di kemuncak. Masjidil Haram mulai padat dengan jemaah yang datang dari segenap pelusuk dunia. Penerbangan dari Malaysia juga sudah hampir ke minit-minit terakhir.
Dua hari lalu saya diberi kesempatan menghantar Liza dan Khairi, teman rapat saya sejak kami masih kecil lagi, ke Kompleks Haji Kelana Jaya. Sebelum itu, kami sempat menghabiskan masa seharian di rumah mereka.
Terkenang kisah setahun lalu sebelum kami ke tanah suci. Liza berkata begini:
Su, aku nak sangat pegi haji....kau doakan aku dapat pegi ye tahun depan?
Sepanjang berada di tanah suci - Madinah, Mekah, Arafah, Muzdalifah, Mina - saya memohon agar Allah menjemput Liza dan Khairi menjadi tetamuNya tahun ini. Seingat saya, wajah Liza sentiasa bermain di mata sepanjang saya berada di sana. Rupanya, di tanahair, Liza cukup rajin menziarah anak-anak saya sepeninggalan kami. Setiap hujung minggu Abo akan diambilnya dan akan tinggal di rumahnya selama beberapa hari. Jasa dan perhatian Liza dan Khairi kepada kami sekeluarga hanya Allah yang mampu membalas.
Sepulangnya kami dari tanah suci, mereka berdua datang menziarah. Kami sarankan mereka untuk menghantar surat rayuan ke tabung haji dan mendaftar dengan agensi. Terngiang-ngiang di telinga saya ayat Khairi - duit dalam tabung haji pun entah dapat penuhkan ke tidak, inikan
pula nak pergi dengan ejen....
Boss jawab begini pada Khairi - Sapa kita untuk tahu apa yang Allah nak beri? Kalau kau memang betul-betul berhajat, kau kena minta betul-betul dari Dia. Soal duit, bukan urusan kau.
Alhamdulillah.....segalanya adalah sejarah. Hari ini tentunya Liza dan Khairi sedang mempersiapkan diri untuk berjihad. Kekuatan jiwa mereka berdua terserlah.
Saya pesan pada Liza - doa dan pohonlah apa saja padaNya di sana, terutama pada hari wukuf. Bertaubat dengan sesungguh taubat agar dosa dan aib kita tidak diperlihatkan di hari kebangkitan nanti. Mudah-mudahan kita akan kembali kepadaNya dalam keadaan suci bersih
dari segala noda.
Berjuraian airmata Liza bila saya juga berpesan begini:
Waktu kau melontar di hari 10 - iaitu di Jamratul Qubra, kau pastikan bahawa yang kau lontar itu adalah hatimu yang kotor, yang penuh dengan debu dan kekotoran yang kita kutip sepanjang 46 tahun hidup kita. Setelah itu, kau pohon agar hati yang ada dalam dirimu adalah hati baru yang putih bersih. Berjanjilah bahawa hati yang baru itu tidak akan kau cemari dengan sebarang kekotoran lagi hingga saat kau mengadap Dia..... Itulah haji. Aku harap kau bukan sekadar menunaikan rukun Islam yang kelima.
Emak Liza yang juga berada bersama menitiskan airmata. Dipeluknya saya erat. Di saat itu saya berdoa bahawa hati saya masih lagi putih bersih....sama seperti hati yang saya bawa balik dari tanah suci setahun yang lalu....
Ya Allah. Kurniakan kepada Liza dan Khairi serta semua saudara mara dan sahabat handai kami haji yang mabrur. Dan, kekalkanlah kemabruran haji kami Ya Allah.
2 comments:
salam ma'am - Berjurai air mata lina bila Boss kata urusan wang siapa kita nak tentukan....dan doa puan ketika hari melontar...meruntum perasaan...hari ini 1 Zulhijah dimana 10 hari 10 malam Dzulhijjah sebagaimana disabdakan oleh Nabiyyuna Muhammad صلى الله عليه وسلم, diriwayatkan di dalam Shahih Bukhari, "Mal `amal min ayyaamin afdhal minha fii hadhih" (tidak ada satu amal yang lebih mulia dan luhur daripada malam-malam di sepuluh malam Dzulhijah dan di hari-hari mulia mulai tanggal 1 hingga tanggal 10 Dzulhijjah). Semoga kita merebut peluang 10 zulhijah baru saje kita lalui kini...walaupun kita tidak di arafah ketika ini...tp hati seakan berada disana....wassalam
Salam lina. Jazakallahu khairan. Terkenang kembali persiapan mental menjelang hari wukuf - dengan zikir, dengan taubat nasuha, bersama sendu dan airmata. Mudah2an hati ini sentiasa lembut dalam mencari keredhaanNya dan akan sentiasa berusaha untuk dekat padaNya.
Post a Comment