Lebih setahun saya memendam rasa. Banyak yang berlaku dalam tempoh setahun ini. Hanya doa dan airmata menjadi peneman saya. Namun begitu, saya bersyukur yang amat sangat kerana dalam kesusahan, Dia beri kesenangan.
Beberapa hari lalu, di antara azan Maghrib dan iqamat, saya angkat tangan memohon kepada Dia apa yang amat saya harapkan. Usai solat Maghrib, saya pindah ke belakang kerana saf saya tadi agak sempit. Dalam kesamaran (cermin mata dalam beg), saya dipeluk oleh seorang remaja ayu.
Selepas solat Isyak, saya sujud syukur. Terungkai sudah persoalan yang membebani kehidupan saya dalam tempoh setahun ini. Tanpa bertegang urat, tanpa soal menyoal, tanpa konfrontasi, tanpa ungkit mengungkit, tanpa kata mengata, cela mencela.... Ternyata, saya di pihak yang benar.
Saya tiada upaya untuk bersemuka dengan mereka yang melukakan saya, mahupun berkonfrontasi. Saya hanya mampu mengangkat tangan berdoa dan meminta dariNya di setiap ketika. Saya amat yakin Dia akan membantu saya. Namun, kerana kasihNya kepada saya, Dia uji saya dengan masa. Kesabaran saya kadangkalanya hilang entah di mana, tetapi, saya kembali ke garis mula dan saya perbaharui kesabaran saya.
Setahun bukan tempoh yang singkat. Tersisih dan tersingkir boleh membuat seorang manusia hilang keyakinan. Apatah lagi manusia lemah seperti saya.
Alhamdulillah. Ia kini sudah menjadi sejarah. Ia kenangan pahit yang manis.
1 comment:
kisah itu sama spt saya aja.sama-sama memohon kekuatan dari Allah.
Post a Comment