Awal 2011, saya berdepan dengan kemelut: disisih dan dipinggir.
Saya juga berdepan dengan beberapa kesukaran yang membuatkan saya menghilangkan diri dari radar. Saya menjauhkan diri dari banyak keraian dan perjumpaan. Bukan kerana takut atau malu, saya hanya mahu mencari ruang buat diri saya sendiri.
Rupanya bukan hanya saya berada dalam keadaan 'hibernate' itu. Beberapa rakan lain yang menghadapi pelbagai kesukaran berlainan juga menjauh. Satu hari saya terbaca di wall seorang rakan tentang rancangannya untuk bercuti di atas bot di Tasik Kenyir.
Pancing saya mengena. Salah seorang rakan yang cuba lari sejauh mungkin dari rakan-rakan lain menyambut huluran kail saya. Makanya kami bertiga berserta keluarga bercuti dan bersantai di atas bot di Tasik Kenyir selama 3 malam. Subhanallah.... kesukaran saya hanya di hujung jari dibandingkan dengan orang lain...
Pulang dari Kenyir, saya atur rancangan lain. Kami pelawa dua lagi kawan untuk menyertai kami di Bukit Fraser. Kedua-dua mereka lagi jauh melarikan diri. Kesakitan yang mereka alami ternyata lebih hebat dari apa yang saya alami. Mulanya mereka ragu-ragu, namun akhirnya kami berlima menempuh pengalaman paling indah di Bukit Fraser. Anak-anak menjadi akrab, mak ayah menjadi mesra. Kami menjalinkan kasih sayang sesama kami tanpa ada sempadan. "Unconditional love' kata orang.
Selepas Bukit Fraser, kami merancang ke Port Dickson pula beberapa hari sebelum bulan puasa. Jelas tergambar kerinduan anak-anak kepada sahabat-sahabat baru mereka, dan hari-hari kami dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang cukup meriah.
Di hari raya, kami saling kunjung mengunjung sesama kami. Satu demi satu rumah kami selusuri, dan bagaikan satu kekurangan jika ada yang tertinggal.
Di kesempatan yang ada, kami sering juga makan tengahari bersama. Berkunjung ke rumah antara satu sama lain merapatkan ukhwah yang sedia terjalin indah.
Lusa, kami akan bercuti bersama lagi. Kali ini kami akan berkongsi kegembiraan di pantai Batu Feringghi. Sejak seminggu lalu kami tidak henti-henti berhubung antara satu sama lain. Siapa nak masak apa. SIapa nak bawa apa. Pukul berapa nak bertolak. Dan macam-macam lagi.
Yang pasti, kami akan bersantai di pasiran pantai, berbual hingga ke pagi sambil makan kuaci, bergurau sambil memasak, anak-anak berebut makanan, menyanyi dan ketawa bersama. Satu lagi yang pasti, kaum ayah akan duduk di satu penjuru, bersembang tentang kail, tentang masjid, tentang bot, tentang bulan.... kadang-kalanya cerita yang sama diulang-ulang tanpa henti....
Kepada sahabat-sahabat ini, terimakasih kerana memberi kegembiraan kepada saya di kala saya dirundung duka. Terimakasih kerana sudi bersama saya mewarnai kehidupan yang suram di tahun 2011 ini. Terimakasih kerana saling menyayangi biarpun kita tiada ikatan. Semoga ukhwah yang kita bina ini berterusan hingga akhir nanti.....
No comments:
Post a Comment