Thursday, December 29, 2011

Cita-cita saya

Saya bukan pelajar terbaik di sekolah dulu. Adalah sekali dua naik pentas menerima anugerah cemerlang, tetapi keputusan SPM saya menunjukkan saya bukan pelajar terbaik.

Sewaktu saya menanti keputusan peperiksaan SPM, arwah mak suruh saya ambil kelas trengkas dan menaip di bandar Klang. Hampir semua kawan-kawan kampung saya melakukan perkara yang sama.

Saya jawab pada Mak, "Orang bukan nak jadi kerani...".

Mak mencebik mendengar jawapan saya. Lalu dia bertanya, "3 bulan ni ko nak buat apa?"

Saya jawab, "Motong getah".

Saya menoreh getah, di usia 17 tahun...! Satu perkara yang tidak sukar buat saya kerana saya dibesarkan sebagai anak penoreh. Biarpun saya benci dan amat takut dengan ulat bulu dan ulat daun yang melenting-lenting, jua bau getah beku yang busuk, namun saya amat menghargai hasil yang boleh diperolehi bila getah beku yang busuk itu dijual kepada Apek si pembeli getah.

Setiap pagi saya berbasikal menuju ke kebun getah arwah Bapak. Tanah getah seluas 3 ekar itu menjadi medan saya berangan-angan. Pakaian saya lengkap; dengan jaket, topi dan kasut. Untuk mengelakkan nyamuk bermaharajalela di telinga saya, saya patah-patahkan lingkaran ubat nyamuk sepanjang 2 inci dan saya simpan di dalam poket jaket saya berserta dengan mancis. Saya selitkan ubat nyamuk tadi di celah tudung saya; dan saya letakkan di atas kedua-dua telinga saya. Bila pipi saya mula terasa panas, saya akan keluarkan ubat nyamuk yang telah pendek dan gantikan dengan yang baru.

Saya ditemani oleh Wak Siwar yang menoreh di kebunnya di sebelah kiri kebun saya dan Cik Sapinah yang mengambil upah menoreh di kebun sebelah kanan kebun saya. Saya akan menyanyi terlalak-lalak sambil menoreh....bukan kerana saya suka menyanyi, tetapi kerana saya takut bersendiri. Sesekali saya akan memanggil-manggil Wak Siwar dan Cik Pinah untuk memastikan saya tidak keseorangan.

Setiap hari saya mampu mengumpulkan dua baldi getah beku, dan setiap hari juga Mak akan beri saya upah RM8 sahaja. Boleh tahan untuk kerja selama 3 jam sehari! Selepas zohor, saya akan tidur, membaca dan tidur. Mak agak keberatan untuk membenarkan saya bergaul dengan gadis-gadis kampung yang sebaya dengan saya. Setelah dewasa baru saya tahu sebabnya. Alhamdulillah.

Setiap hari, sambil saya bercakap dengan pokok-pokok getah yang bisu dan kaku, dan sambil saya memerhati susu getah yang laju meluncur di sepanjang laluan yang telah saya toreh, atau tatkala saya tarik kepingan getah yang melekat di potongan laluan semalamnya, atau ketika saya mengeluarkan getah beku semalam dari dalam cawan yang menadah yang baunya teramat busuk - saya berangan-angan. Saya mahu jadi orang pandai. Saya mahu jadi orang yang punya jawatan tinggi. Saya mahu keluar dari kehidupan di bawah pokok getah. Saya benci dengan nyamuk yang memaksa saya menampar pipi saya sendiri. Saya benci bila ulat bulu melekat di kulit saya dan menyebabkan bengkak-bengkak dan kegatalan hingga saya sukar tidur. Saya geli melihat ulat daun melompat-lompat dari satu tempat ke satu tempat. Saya takut berdepan dengan ular sawa dan ular senduk yang sedang melingkari pokok getah yang hendak saya toreh....

Empat bulan saya menjadi penoreh sepenuh masa. Hari Ahad merupakan hari yang paling menyeksakan saya. Saya perlu melepasi simpang jalan untuk pulang ke rumah. Di kepala simpang ini, pemuda-pemuda kampung akan berkumpul pada setiap pagi Ahad. Kebanyakan mereka bekerja di kilang-kilang samada di Pelabuhan Klang, di Shah Alam ataupun di kawasan perindustrian berhampiran kampung kami.

Setiap kali saya melintasi mereka, akan terdengar gelak dan tawa sinis dari mereka. Bayangkan.... saya pelajar sekolah berasrama yang sedari kecil adalah antara yang terpandai di kalangan anak kampung. Di usia 17 tahun, sudah sewajarnya saya menjadi buah mulut bujang-bujang kampung ini. Tidak mustahil ada yang cuba menarik perhatian saya. Kenyataannya, saya adalah seorang penoreh getah! Bila saya melalui kumpulan ini dengan basikal saya dan dua buah baldi penuh dengan getah beku yang busuk tergantung di handle basikal saya....apa kata mereka!

Sesekali terfikir, di situlah saya bina keyakinan diri saya. Peduli apa saya dengan kata-kata orang atau ejekan orang kepada saya. Saya fokus dengan usaha saya. Saya mahukan upah RM8 sehari yang Mak beri. Saya mahukan masa rehat saya selepas makan tengahari; dan saya gembira jika saya dapat membeli buku cerita terbaru di Muhammad Stor atau KK Dawood di bandar Klang dengan duit saya sendiri. Sebulan sekali saya akan berkumpul dengan kawan-kawan baik saya - Chipan yang bekerja kilang di Power Cables, Dading yang mengambil upah mengutip siput sedut di sepanjang Sungai Kelang, Adim yang menjadi guru tadika di Kg Jalan Kebun serta Janie yang menolong makciknya di kedai jahit. Kawan-kawan saya juga seperti saya - tidak bercampur dengan gadis kampung lain yang pergi belajar trengkas atau menaip - kerana kami tidak mahu jadi kerani.

Saya masih simpan dan pegang erat cita-cita saya - mahu jadi orang pandai. Insyaallah saya akan mulakan kembali perjalanan saya sebagai pelajar PhD tidak lama lagi. Di setiap hari Ahad, saya ikuti kelas Sijil Usuludin di Masjid Negeri; bersama Boss, di bawah kelolaan UM dan JAIS.

Chipan yang dulunya minah kilang di Power Cables kemudiannya ke US dan kini menjadi pendidik. Dading yang dulunya mengutip siput sedut kini seorang Pengurus yang sedang berusaha menghabiskan Mastersnya, Adim seorang pakar matematik di sebuah universiti tempatan manakala Janie adalah seorang hotelier yang mendapat didikan formal dari universiti...

Angan-angan, cita-cita, visi.... apapun jua ia dinamakan, jika disertai dengan usaha, pasti membuahkan hasil lumayan. Kalau dulu saya berangan menjadi orang kaya, menjadi isteri jutawan, atau isteri Perdana Menteri....mungkin di situlah tempat saya berada kini! Hehehehe.....

Tanpa rahmat dariNya, tanpa petunjuk dariNya, sudah pasti saya tidak akan dapat sampai ke sini......Syukur alhamdulillah.

6 comments:

lina said...

Salam - Ma'am sungguh indah pengalaman ini sgt mahal...lina pula menjual mini karipap di asrama...bila di kenang kembali sungguh indah saat itu.

lina said...

Oooppss lupa jika ma'am ada kesempatan dtg la ke majlis wilayah...pada hari sabtu pagi 8.30 am....in deep teringin bersua muka dgn puan

Suria Klang said...

Salam Lina. Terimakasih. Sesekali teringat...kenangan pahit yang amat manis. Ia menjadikan kita siapa kita kini. Alhamdulillah.

Errr...majlis wilayah tu apa? Di mana? Camana nak jumpa?

lina said...

Masjid WIlayah kat jln duta...sorry tersilap tulis...puan bagi email pada lina or email lina kat klina07@gmail.com

lina said...

puan more info click at ... http://www.ikimfm.my/ikimfm/

Suria Klang said...

Thanks. Balik nanti saya tanya Boss...Kalu dia x de apa2 kami sampailah....best jugak kan?