Rabu lalu saya dan dua orang anak saya, Abey dan Abo menempuh pengalaman baru. Kami menaiki bas ekspress ke Ipoh. Percaya atau tidak, inilah pengalaman pertama saya menaiki bas ekspress. Waktu student dulu pernah gak naik bas jauh, tapi bas lompat….
Saya membuat keputusan untuk menaiki bas kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Suami saya sudahpun berada di Ipoh waktu itu. Pulang dari pejabat, saya ke Seksyen 17 mencari tiket. Sebelum itu saya mendapat panggilan dari Salina, anak murid saya supaya saya menaiki Perak Roadways pukul 5.30 petang. Tak sempat....sebab waktu itu dahpun pukul 5. Selain dari bas, saya boleh mencuba keretapi dari KL Sentral pada pukul 8.30 malam, bererti saya kena naik keretapi dari Shah Alam paling lewat pukul 7.30. Pun tak sempat. Makanya, saya pun pergilah ke Seksyen 17 untuk mencari tiket. Alhamdulillah, ada tiket pukul 9.45 malam.
Salina menalipon lagi. Katanya, lebih baik jika saya ke Puduraya. Bila saya balas balik dan beritahu Salina yang saya tak tahu nak ke Pudu naik bas apa....dibantainya ketawa. Saya memang tau macammana nak ke Pudu, tapi, dengan kereta....bukan dengan bas....
Selepas saya berjaya membeli tiket, saya menyusun langkah seterusnya, iaitu, mencari teksi. Saya bawa kereta ke hadapan asrama Jati UiTM di Seksyen 2 di mana terdapat banyak teksi berderet menunggu penumpang. Agak mudah untuk saya mendapat nombor teksi.... Not bad!
Pukul 9 malam, teksi yang saya panggil pun sampai. Abo cukup gembira nak naik BASH. Kami berlepas dengan teksi ke Seksyen 17. Oh....Cuma RM7! Saya dah siapkan RM15.... (Kalau ada pemandu teksi yang membaca, harapnya, janganlah dinaikkan harga ye Bang!) Dah sampai, tak tau pulak nak tunggu di mana....Kami duduk saja mengharap ada yang memberitahu. Dan, betul sangkaan saya, ada pembesar suara memanggil penumpang-penumpang.....Maka, masuklah kami bertiga ke dalam perut bas ’Super Nice’, yang bertaraf ’VIP’, dengan hanya 26 tempat duduk menghala ke utara, tepat pada jam 945 malam, Rabu 8/8/07. Pengalaman pertama saya yang telah berusia 42 tahun, Abey yang berumur 13 tahun dan Abo yang baru berumur 3 tahun......
Perjalanan itu memang mengasyikkan buat kami kerana tidak sampai 15 minit kemudian, saya tidak sedar apa yang berlaku sehingga terdengar suara .....”Ipoh!”, ”Ipoh”....dan suasana di dalam bas serta-merta menjadi terang benderang.....Sampai juga kami di Ipoh pada pukul 1245 malam.....Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment