Tiga hari lepas, saya menyambut harijadi yang ke 42. Alhamdulillah, saya masih sihat segar di dunia indah ini biarpun telah 42 tahun saya berada di sini. Sewaktu saya bangun di Subuh nan indah itu, tidak putus-putus saya ucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana saya dikurniakan segala yang saya inginkan. Suami yang penyayang dan amat memahami, anak-anak yang taat dan cerdik. Anak sulung saya, Nabilla di UiTM. Dia penuh dengan keceriaan. Agak konservatif dalam banyak hal, namun moden dalam pemikiran. Nabilla seorang yang menunjukkan kematangan dalam kehidupannya. Seorang anak yang sering membuatkan saya mengalirkan airmata gembira kerana dia cukup strong. Dalam usia 18 tahun, Nabilla masih naive tentang pergaulan. Harapnya dia kekal begitu. Najmie, anak muda yang dadanya sarat dengan semangat. Dia memiliki kekuatan dalaman yang mengagumkan. Seorang yang punya wajah tampan, badan yang sasa dan ahli sukan dikagumi oleh ramai gadis. Siapa yang tidak kenal Najmie, seorang pemimpin pelajar dan pemain ragbi negeri...Ketul-ketul di tubuhnya membuktikan kekuatan fizikalnya. Nabil, Shah Rukh Khan melayu yang begitu kuat auranya. Biarpun tubuhnya kecil, dia umpama cili padi. Kelajuannya berlari sukar ditandingi, walaupun seringkali menjadi bahan usikan kerana sudah dua kali tangannya patah dalam tempoh enam bulan ini! Nabil seorang yang selalunya murah rezeki. Susah macammana pun hidupnya, selalunya dia akan dapat menghadapi masalah duit tanpa kita sendiri menduga...Dan, si kecil Naufal yang sentiasa ceria. Petahnya mulut berbicara, emosinya cukup stabil. Fikirannya dewasa biarpun gelagatnya manja dan keletah. Mereka berempat permata hati yang menerangi hidup saya selama ini. Di usia yang semakin meningkat ini, saya amat bersyukur kerana mereka dikurniakan kesihatan tubuh dan tiada kekurangan sedikitpun pada akal dan hati mereka.
Saya juga punya dua orang adik yang saya tahu amat sayangkan saya. Epah, seorang peguam yang mengorbankan cita-cita dan kerjaya demi anak-anak dan keluarga, sebaliknya menjadikan pensyarah sebagai kerjayanya. Dia tidak pernah melupakan saya....dan Anis, adik bongsu saya yang hanya kami faham perangainya. Anis bekerja di Kuala Lumpur, tidak sering menghubungi kami, namun tidak pernah lupa menhulurkan salam harijadi...
Juga tiga orang kakak yang amat saya sayangi. Tanpa mereka, saya pasti saya tidak sekuat ini. Kak Ani, guru besar sekolah rendah di Johor Baru, SMSnya pasti saya terima pada setiap harijadi saya. Kak Non, seorang kakitangan kerajaan yang selalu kena sakit kepala kerana darahnya sentiasa tinggi. Kak Non seorang manusia berjiwa mulia, yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Sewaktu saya belajar di universiti, dialah bank saya....Baju-baju raya saya kalau bukan dia yang beli, pastinya saya tidak punya baju raya.... Kak Wi pula kakak yang paling rapat dengan saya. Kami membesar bersama. Sewaktu kecil, Kak Wi paling kuat menangis, mungkin kerana Abang yang nakal dan Kak Non yang lagi nakal. Kak Wi menghantar sepotong kain chiffon yang cukup cantik sebagai hadiah harijadi saya....Alhamdulillah...
Saya terima sejambak bunga ros dari ”All Guys” di rumah. Nabilla hanya dapat menyanyi di talian talipon. Di pejabat, bertalu-talu talipon berdering, panggilan dari pelajar-pelajar saya yang tahu tarikh lahir saya. Semalamnya, saya menerima sekotak coklat dari Lye Ming, bekas pelajar yang kini menjawat jawatan tinggi di Genting group.
Tengahari tu, suami membawa saya makan di My Mom’s Chicken Rice. Kemudiannya, saya berebut kembali ke kampus kerana Anna Theresa, pelajat semester akhir Sarjana Muda Perakaunan menalipon saya ingin bertemu. Sampai di pejabat, saya bergegas ke tingkat tiga mencari Anna. Alangkah terkejutnya saya bila kesemua pelajar semester akhir ada di sana bersama sebiji kek Secret Recipe yang besar dan ramai-ramai menyanyikan lagu ”Happy Birthday” buat saya. Saya sebak. Terharu. Tidak pernah saya sangka mereka menyayangi saya.... Saya umpama ibu yang amat garang kepada mereka. Namun saya tahu, mereka hargai apa yang saya lakukan kerana saya mendidik mereka untuk menjadikan mereka manusia berguna....
Sebelum saya meniup lilin (mereka letak 4 besar dan 4 kecil...alamak...saya terlebih umur la!), mereka menjerit minta saya buat birthday wish. Spontan itu, saya mengangkat tangan dan saya ucapkan, ”Ya Allah! Berilah kejayaan kepada anak-anakku ini....!”. Saya betul-betul ikhlas ketika menuturkan doa itu. Saya memang mahu mereka berjaya. Sekilas saya terpandang beberapa pelajar mengesat mata....Oh Tuhan....
Kami bergambar dan bergembira bersama. Ia pasti menjadi satu kenangan terindah buat saya....
Sampai jauh malam saya masih menerima sms dan panggilan talipon mengucapkan selamat buat saya. Hadiah yang saya terima tidak kurang banyaknya....
Ya Allah. Terimakasih kerana kurniaanMu. Biarpun aku tidak kaya dengan wang ringgit, tapi Kau jadikan aku manusia yang kaya dengan kasih sayang....Aku gembira dan amat bersyukur kerana tidak ramai yang memperolehi apa yang aku perolehi.....
1 comment:
Happy birthday! Eh, ingatkan sama umur!
Post a Comment