Tuesday, August 21, 2007

Sahabat

Tahun 1986, saya memasuki ITM (kini UiTM) di Shah Alam mengikuti kursus Diploma Perakaunan. Pada ketika itulah saya mengenali dia, sahabat saya. Dia berasal dari Perak dan tinggal di Kajang. Sahabat saya ni pendiam, pandai dan memilih teman. Kami berada dalam kelas yang sama dari semester satu hingga semester enam. Kemudiannya kami menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda di tempat yang sama. Dia masih sekelas dengan saya. Bersama kami adalah Azizan Aziz, Ruziah Ahmad, Noorlida Khalid, Rahim Adam, Azmi 'Jimmy' Manap, Azlan Ramli, Nora Azmah Md Isa dan ramai lagi yang hampir terlupa nama mereka. Kami bertemu dengan pelajar-pelajar yang datang dari kampus cawangan seperti Nuraini Kurdi, Nik Noor Faridah, Mokhtar, Rohani dan (maaf saya lupa). Ramai juga kakak-kakak dan abang-abang senior yang menyertai kami seperti arwah Abang Razali, arwah Abang Amran Othman (AO), Kak Norliza Rosli, Kak Ngah, Kak Sal, Kak Normah UPM, Uncle Badorshah, Usop 'Bulat', dan beberapa lagi nama yang telah saya lupa.... (Adakah Samser dan Salmah????hahaha).

Tamat saja pengajian, saya mulakan hidup baru sebagai isteri orang. Sahabat saya mendapat kerja di Price Waterhouse sementara saya di Coopers & Lybrand. Saya sibuk dengan kerja, suami dan anak sementara sahabat saya sibuk membina kerjaya. Dia berjaya mendapatkan PA dan menjadi akauntan bertauliah. Dalam masa sama, saya bina kerjaya dalam sektor korporat dan menambah bilangan ahli keluarga.

Kami tidak terputus hubungan. Di kala saya sibuk membesarkan dua anak yang nakal, sahabat saya mengakhiri zaman bujangnya dengan gadis idaman. Dia memang inginkan isteri yang mengikut kata. Bukan wanita seperti saya yang suka membuat keputusan sendiri....

Kami dipertemukan semula di Celcom pada sekitar tahun 1995. Dia di mobile, saya di transmission. Malangnya keadaan tidak membenarkan kami rapat seperti biasa. Namun, dia tetap istimewa di hati saya.

Kini, setelah hampir 24 tahun usia persahabatan kami, kami masih bersama mengharungi hidup dengan dunia masing-masing. Dia sentiasa ada masa untuk saya. Dia sentiasa ingat harijadi saya. Dia sentiasa membantu saya apabila saya memerlukan.

Saya pernah meminta dia memberi syarahan kepada pelajar-pelajar saya. Tanpa ragu-ragu dia kata, ok. Pagi tadi saya hubungi dia lagi. Seorang pelajar saya memerlukan tempat untuk menjalani latihan praktikal. Dia tidak menjawab talipon, sebaliknya menghantar sms. Saya balas sms mengatakan saya perlukan tempat buat pelajar saya di pejabatnya. Jawapannya: o.k.

Itulah dia. Cukup istimewa persahabatan kami kerana kami cukup rapat, tanpa ada rasa cinta, atau curiga. Kami saling menyayangi, sebagai sahabat sejati. Moga Allah merahmati kehidupannya sekeluarga dunia dan akhirat.

Buat dia: Nazaruddin Abdul Rahim.

No comments: