Monday, August 6, 2007

Sihir (7)

Ustaz mengubat suami saya dengan memotong sedikit kepala limau nipis dan meminta suami saya menghembuskan nafasnya ke dalam limau tersebut. Sebaik sahaja suami saya habis berbuat demikian, Ustaz ‘memasakkan’ paku ke dalam limau tersebut. Kemudian, Ustaz mencampurkan tujuh kepal tanah dan beberapa biji limau yang telah dipasak. Dalam masa yang sama, isteri Ustaz mencampurkan bahan-bahan untuk mengubat kedai pula. Garam kasar, kunyit hidup, lada hitam, kacang hijau dan bawang merah dicampur sekali. Ustaz kemudiannya menjawab beberapa soalan suami saya. Antaranya, suami saya pelik kenapa dia sahaja yang terkena sihir itu sedangkan saya tidak terganggu.

Ustaz bertanya asal-usul saya dan nama penuh saya. Sejenak itu, dia berdiam dan menutup matanya. Kemudiannya Ustaz berkata...”Hatinya keras ye? Semangatnya kuat”. Saya hanya tersenyum. Manalah saya tahu saya ni keras hati ke. Ustaz berkata lagi,” kamu orangnya straight forward. Dan, penuh dengan kasih sayang. Lagi satu, kamu pernah nampak ayah kamu simpan gambar-gambar kiyai dulu-dulu?”

”Tak pernah Ustaz. Arwah ayah saya tak pernah tunjuk ke simpan atau cerita pasal ilmu-ilmu ke apa ke. Cuma, dari kecik saya diajar untuk amalkan beberapa surah dan ayat-ayat yang saya sering baca. Sampai sekarang saya masih amalkan.”

”Kalau macam tu, kamu memang keturunan Wali Songo. Keturunan asal kamu dari pesantren. Mereka ni kiyai-kiyai yang telah memohon dari Allah supaya melindungi keturunan mereka. Kamu bertuah kerana kamu dan adik beradik kamu selalunya selamat dari gangguan. Lagi satu, orang yang lurus seperti kamu agak sukar dibolosi.”

”Tapi saya marah dengan si polan yang telah mengambil hak kami anak beranak, Ustaz. Sepatutnya anak-anak saya dapat rezeki banyak, tapi orang jahat ni buat anak saya kehilangan rezeki mereka.”

Ustaz tersenyum sambil menjawab,”Rezeki tu telah ditetapkan. Kalau bukan hari ini, esok lusa ia tetap milik kita. Kalau orang jahat ni dah ambik rezeki anak kamu, Allah akan mengambil kembali darinya dan anak-anak kamu tetap akan menikmati rezeki mereka. Kiranya, dapat arrears lah nanti...” Ustaz ni, bergurau pulak.

Kemudiannya Ustaz bertanya pada isterinya,”tadi garam ni camana rupanya ye?” Kami tak faham kenapa Ustaz bertanya begitu. Dengan bersahaja isterinya menjawab, ”rupa garam le....” Ustaz memilih beberapa biji garam dan menunjukkannya kepada kami. Subhanallah! Besar-besarnya garam! Sesiapa pun tidak akan percaya jika tidak melihat sendiri. Garam kasar selalunya hanya sebesar kuku jari, tetapi garam-garam yang telah digaul tadi membesar sehingga hampir 2 inci! Percaya tak percaya, memang kena percaya. Terbeliak mata Jimi melihat apa yang berlaku di depan matanya.

”Macam mana boleh jadi macam ni Ustaz” tanya saya.

”Garam ni menarik bisa-bisa racun di dalam kedai kamu. Balik nanti, taburkan garam ni di sekeliling kedai. Kalau bisanya masih banyak, ia akan jadi bertambah besar.”
Ustaz kemudiannya membaca doa di hadapan kami dan kesemua bahan-bahan yang telah disusun. Sambil mengaminkan doa Ustaz, kami sendiri berdoa dengan penuh kerendahan hati, memohon supaya Allah meredhai usaha kami. Kami memohon supaya kami dijauhkan dari sebarang sihir di masa akan datang.

Ustaz memberi pesanan supaya kami menaliponnya jika terdapat sebarang masalah. Dia juga memberitahu bahawa dalam masa terdekat, kami akan mendengar atau diberitahu tentang seseorang yang lumpuh atau terbakar wajahnya atau mungkin juga mati, kerana Ustaz telah berdoa supaya sihir itu berbalik kepada orang yang menghantarnya kepada suami saya.
Jam telah hampir ke pukul 12 tengah malam. Jauhnya lagi kami nak sampai ke rumah. Berdebar kencang kami kerana kami perlu menghabiskan apa yang belum selesai. Jin tadi telah dikeluarkan dari tubuh suami saya dan telah dipasakkan dengan paku di dalam limau tadi, dan telah dikembalikan ke asalnya, iaitu ke dalam tanah. Perjalanan yang sepatutnya sekejap kami rasakan terlalu lambat. Akhirnya, kami sampai ke rumah hampir pukul 12.30 tengahmalam. Plastik yang berisi tanah dan limau tidak boleh dibawa masuk ke dalam rumah kerana jin tadi telah terkurung di dalamnya. Suami saya perlu mandi dengan air buah kundur dan daun kelor tadi untuk membuang sisa-sisa sihir yang tinggal. Saya dikehendaki memandikan beliau. Menggigil-gigil suami saya mandi air tadi. Habis saja air kundur itu, saya dikehendaki mengutip sepasang pakaian yang suami saya pakai ketika mandi tadi tanpa terkena kulit saya. Dengan hati-hati, saya masukkan pakaian tadi ke dalam plastik dengan memakai sarung tangan dan kemudian saya bawa keluar rumah untuk saya campurkan ke dalam bungkusan tanah dan limau tadi. Suami saya meneruskan mandian beliau dengan membilas badannya dan akhirnya menabur garam ke seluruh bilik air tersebut.

Sehabis sahaja beliau memakai pakaian, kami keluar dari rumah menuju ke destinasi seterusnya....Sungai Damansara....Jam menunjukkan pukul 1.25 pagi. Jantung saya berdebar kencang. Jimi di belakang tak habis-habis membaca ayat-ayat yang sedang dihafalnya, di samping ayat kursi dan entah apa lagi ayat-ayat yang dibacanya....

Sesampainya kami di jambatan berdekatan Batu Tiga yang mengalir deras Sungai Damansara di bawahnya, saya dan Jimi memberanikan diri turun dari kereta sambil tak putus-putus membaca selawat dan ayat Kursi. Kami berjalan di tepi jambatan dan meninjau air yang mengalir. Setelah pasti yang sungai itu ’clear’, dengan bacaan Bismillah, kami berdua jatuhkan bungkusan yang berisi tanah, limau dan sepasang pakaian yang suami saya pakai ke dalam Sungai Damansara tersebut. Serentak itu juga kami berjalan menuju ke kereta dengan selaju-lajunya. Kami laungkan salam sekuat hati sebelum masuk ke dalam kereta. Sepantas itu juga suami saya memecut meninggalkan tempat bersejarah itu.Kami telah dipesan untuk tidak menoleh ke belakang selepas membuang plastik tadi biar apa pun terjadi. Mujur saya dan Jimi pengecut, kami memang langsung tidak punya keinginan untuk memandang ke belakang.....
Akhirnya, pada 13 Jun 2007, pukul 2.00 pagi, kami telah melakukan sesuatu yang tidak pernah kami fikir akan kami lakukan. Jimi mendapat satu pengalaman istimewa, yang tidak mungkin akan diperolehi oleh kakak atau adik-adiknya. Kami meraikan ’kejayaan’ kami mengharungi malam yang panjang itu dengan makan di dinihari, di Mc Donalds, Seksyen 3 Shah Alam.....selepas tidak langsung menjamah makanan sejak tengahari semalam.....

Kami terus tidur dengan nyenyaknya tanpa bermimpi apa-apa dan bangun subuh itu dengan satu sinar baru....walaupun terlalu mengantuk! Jimi ke sekolah sambil berjalan seperti Zombi....dan yang pasti, dia berjaya menghafal kesemua surah-surah yang perlu dihafalnya!!!!
Keesokannya, suami saya ke kedai di pagi hari dan menabur garam yang dibekalkan. Sambil itu, dia spray kedai tersebut dengan air zam-zam yang telah dibacakan doa oleh Ustaz.

Alhamdulillah.....Allah Maha Mengasihi. Suami saya tidak lagi sakit-sakit, kedainya mula mendapat kunjungan dan anak kecil saya tidak pernah lagi menangis malam. Dua minggu kemudian, suami saya menghantar anak sulung kami, Nabilla ke Sarawak untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Kejuruteraan Kimia di UiTM. Sekembalinya dari Sarawak dua hari kemudian, kami dikejutkan dengan berita gembira. Suami saya dilamar sebagai ”Trainer” oleh sebuah firma dan dikehendaki memberi ceramah di seluruh pelusuk tanahair, dengan yuran professional harian yang amat lumayan. Tiada berita yang lebih baik selain dari ini buat kami sekeluarga ketika ini.....Alhamdulillah. Mudah-mudahan hidup kami sentiasa diberkati Allah.
P/S: Setelah sebulan setengah, dua hari lepas, kami mendapat tahu, seorang hamba Allah yang memang rapat dengan suami saya kini berada di hospital kerana diserang penyakit ganjil. Dia tidak boleh bekerja, tidak boleh bergerak dan terlantar di katil hospital....pendek kata, dia hampir lumpuh.....kami tertanya-tanya....”Adakah dia orangnya? Wallahualam.” Biarlah Allah yang membalas, kerana setiap apa yang berlaku ada balasannya.

Iktibar dari peristiwa ini yang dapat saya simpulkan:

Sabar dan syukur adalah landasan keimanan

Kasih sayang yang padu dapat menghalang segala kejahatan dan fitnah

Berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata, kerana kita tidak tahu siapa yang berhadapan dengan kita. Bagi kita, mungkin semuanya biasa saja, tapi bagi setengah orang, sihir menjawab bagi pihaknya.

Ketika susah, tiada siapa bersama kita. Allah sahaja yang kekal bersama kita.

Rezeki yang telah Tuhan tetapkan, akan tetap kita kecapi biar lambat atau cepat. Yang penting, kita tabah menghadapi ujian Tuhan tanpa mengeluh kerana Allah telah berjanji Dia tidak akan membebani kita dengan bebanan yang tidak mampu kita tanggung.

Penuhkan dada dengan ilmu dan amal. Buang segala dendam dan kebencian sesama manusia. Tingkatkan makam Redha di dalam hati. Ikhlaslah apabila kita melakukan sesuatu, biarpun ia hanya sebesar kuman. Nikmat Allah terlalu besar.

Amalkan ilmu yang dibekalkan oleh mereka yang menyayangi kita....InsyaAllah, tiada apa yang dapat membolosi benteng pertahanan diri kita.....

Yang benar datangnya dari Allah, yang salah adalah atas kekurangan saya. Ampunkan segala kesilapan saya, samada terkata, terbuat atau terpandang. Allah melihat segala-galanya.

5 comments:

Roselynna Al-Capone said...

salam, nak tanya blh x kalau bg contact ustaz tu?

timmy turner said...

Assalamualaikum,

Minta jasa baik Puan untuk beritahu bagaimana untuk menghubungi ustaz yang mengubati Puan sekeluarga.

Ini adalah email saya bell.tembelina@gmail.com dan sarahlittlecupcake@yahoo.com

Moga pertolongan Puan dapat membantu kami yg dalam kesusahan ini.

Terima kasih

~N3wruLez~ said...

salam kak,sy mgkn terkena sihir pelalau ni.mgkn akak boleh bg sy contact no ustaz tu.ni email sy
newrulez03@yahoo.com

ainulhastika said...

as salam kak~~salam perkenalan~~risau ngan keadaan diri,ttba sy jumpa blog akak~~sy amat perlukan pertolongan akak~~baca about sihir tu~~boley akak bg no tel ustaz tersebut?

aleeya_tikah@yahoo.com

Unknown said...

Salam Puan, jika tak keberatan boleh dapatkan no telefon ustaz ni? Saya dah lama kena sihir pelalau dan simptom yg dialami adalah sama seperti keadaan suami puan. Saya amat derita kerana tidak mampu teruskan pekerjaan namun terpaksa digagahkan. Anak-anak masih kecil dan saya satu-satunya punca rezeki keluarga. Terima kasih.