Thursday, March 17, 2011

Merindu

Saya bersembang dengan Lan sambil makan tengahari. Bercerita tentang anak-anak dan diri kami sendiri.

Saya beritahu Lan betapa sesekali datang rasa rindu yang teramat pada anak-anak. Biarpun dekat, terasa kami berjauhan. Kami sama-sama ketawa besar ketika saya katakan, "Hai....camni rasanya bila jadi orang tua ye?"

Teringat kisah waktu saya masih muda. Anak kecil-kecil dan teramat sibuk dengan urusan pejabat. Boss pula sering 'out-station'. Namun, kami pastikan kami pulang ke Kelang setiap hari Jumaat, tidur di rumah mak Boss semalam, menghabiskan masa bersama mereka sepanjang Sabtu dan kemudiannyaa tidur di rumah mak saya dan menghabiskan hari Ahad bersama mereka sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Rutin tersebut memang memenatkan. Namun, kami gembira bila melihat mak-mak ketawa besar menyambut kepulangan kami. Macam-macam makanan yang akan terhidang di atas meja. Kalau boleh, mak-mak kami akan masak segala yang ada dalam peti sejuk.

Selalunya juga, saya akan terima panggilan talipon dari Mak pada hari Selasa atau Rabu. Bertanyakan samada kami akan pulang atau tidak hujung minggu yang bakal menjelang. Menyatakan rindu seolah-olah sudah bertahun kami hilang dari pandangan...Selalu juga Mak bertanya begini, "Eh...nombor talipon rumah Mak ni dah tukar ke? Lama sungguh dah ko tak talipon...." Membuat saya terpinga-pinga kebingungan kerana saya memang selalunya menalipon Mak hampir setiap hari...

Bila Mak tiada lagi, saya kehilangan. Saya merindu suara di hujung talian yang menyatakan kerinduan kepada saya. Lama kelamaan saya terbiasa dengan keadaan itu.

Kini, Lala dan Jimie akan menerima 'statement' yang sama dari saya setiap kali saya menalipon mereka. Selalunya saya akan terasa cukup lama saya tidak bercakap dengan mereka, walhal baru semalamnya saya menalipon mereka.

Tersenyum sendiri saya ketika Lala bercerita begini:

"Akak tengah buat assignment masa Mama call akak semalam. Lepas cakap dengan Mama, akak tergelak. Kawan akak tanya kenapa akak gelak. Akak kata "Mama aku tanya aku balik ke tak sebab American Idol dah nak start..."

Begitulah hati seorang Mak. Mungkin kerana malu untuk meluahkan perasaan rindu, Mak akan mengalihkan tajuk perbualan kepada perkara lain.

Jika dulu saya dirindui Mak, bila Mak pergi, saya merinduinya. Kini saya merindu anak-anak saya....dan bila saya juga pergi nanti, harapnya mereka akan merindu saya....

5 comments:

lina said...

salam ma'am - sure...saya pun dh terasa merindui ayah yg telah pulang ke tempat asal :)

pB said...

salam ...


bila jauh di mata , makin terasa kerinduannya

Suria Klang said...

Lina,

Merindu pada yang kasih, merayu pada yang sayang....

pB, jauh di mata namun makin dekat di hati.....

raja noraini said...

Suria,
Salam perkenalan. Menitis air mata saya bila membaca entry ini....
Saya bertemu dengan blog ini melalui blog Prof MKI.

raja noraini said...
This comment has been removed by the author.