Malam tadi saya dan Boss bawa Abo menyaksikan Koir Amal Bahasa Isyarat di UiTM Shah Alam. Penganjurnya adalah kelab pelajar Fakulti Sains Matermatik dan Komputer, yang mana Azie, kawan baik Denna (anak angkat saya), adalah salah seorang AJKnya.
Majlis dianjurkan untuk mengutip dana bagi membantu kanak-kanak bisu dan pekak dari Sek. Keb. Pendidikan Khas Selangor yang berusia antara 7-12 tahun. Alhamdulillah sambutan yang diberi amat menggalakkan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Sekumpulan pelajar-pelajar UiTM menyanyikan lagu ini dalam bahasa isyarat di atas pentas, dan penonton berdiri dan menyanyikan bersama. Sebaknya saya hingga tidak sedar airmata mengalir di pipi. Terasa sungguh bertuah diri ini kerana diberikan nikmat mendengar dan bercakap; sambil dapat menikmati keindahan alunan muzik...sedangkan anak-anak yang bisu dan pekak ini langsung tidak dapat menikmatinya.
Persembahan selama dua jam itu memberi kesan kepada sekelian yang datang menonton. Abo belajar dari Azie bagaimana untuk mengatakan mama, papa, sayang, mimpi, tunggu, terimakasih, hai dan beberapa isyarat lain; dan tidak sudah-sudah menunjukkan kebolehannya kepada kami.
Sekalung tahniah buat anak-anak muda yang prihatin ini. Mudah-mudahan mereka diberi kemudahan dalam menjayakan misi mereka; dan berjaya dalam pelajaran mereka.
Saya pasti Abo juga merasa bersyukur kerana dia berupaya mendengar dan bercakap. Suram di wajahnya tatkala melihat mereka yang sebaya dengannya tapi 'very quiet' seperti yang dikomennya, akan membuat dia sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah berikan padanya.
"Maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?"
3 comments:
ade video X??nak tgk
ade video X??nak tgk
Anak saya ada rakam guna hp. Nanti saya upload....
Post a Comment