Thursday, March 31, 2011

Maafkan saya....

....susah payah kita
semai benih cinta
menempuh dugaan
akhirnya kau tinggalkan

sia-sialah ku bina istana cinta
ada insan lain
di hatimu...
bertakhta..........

* Sebuah lagu indah nyanyian kumpulan Umbrella yang saya dan Dading nikmati sewaktu kami makan tengahari di tepi tasik Shah Alam semalam.....

***********************************************************************

Kalaulah saya ditanya tentang impian, saya akan katakan yang saya mahu terbang tinggi ke awan. Membina istana berlampukan bintang-bintang berkerlipan. Bersuluhkan cahaya bulan di malam pekat dan bermandikan terik sinar mentari di waktu siang....

Kalaulah saya disoal tentang keinginan, saya akan katakan yang saya mahu berumah di tebing tinggi mengadap lautan luas. Belayar ke serata dunia melihat dan menikmati keindahan alam cipataan Tuhan yang Satu. Menghirup udara segar di musim bunga, menikmati kesejukan salji di musin dingin, mengutip daun-daun maple yang gugur di musim luruh dan bersantai di tepian pantai di musim panas di Mediterranean.....

Namun kehidupan ini adalah semata-mata atas kehendakNya. Telah ditetapkan di luh mahfuz segala yang bakal berlaku dalam hidup ini.

Kita melakukan banyak kesilapan di sepanjang kehidupan kita. Kita terlalai dan terlupa dengan indahnya dunia. Kita dikuasai nafsu yang mengikut bisikan iblis dan syaitan iaitu nafsu amarah. Selalunya kita ujub dan angkuh dengan keupayaan kita....Tetapi Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Dia izinkan hambaNya memohon keampunanNya dan akan terlepaslah hambaNya yang terpilih itu dari azab siksa dan hukuman Allah di hari akhirat nanti selepas diterima taubatnya. Subhanallah....

Di sepanjang perjalanan ini, pelbagai petunjuk telah Allah beri kepada kita kerana kasih dan sayangNya Dia kepada kita. Diri saya, terutamanya, amat sering terlalai dan terlupa dengan tanggungjawab saya sebagai seorang hamba.

Alhamdulillah, kasih sayangNya melimpah ruah. Dibukakan pintu hati saya untuk kembali melihat ke dalam diri dan menginsafi segala kesalahan lalu. Tanpa bantuan mereka yang berada di sekeliling saya, tidak mungkin saya berjaya melaksanakan tugasan yang amat berat ini.

Maafkan saya atas segala apa yang telah saya lakukan. Saya akui apa saja yang diperkatakan tentang diri saya. Saya terima dengan lapang dada dan saya redha dengan hukuman dunia yang sedang saya jalani.

Cukuplah penghinaan yang tidak putus-putus ditujukan kepada saya. Ianya amat menyakitkan. Saya perlukan ruang untuk saya menampal kembali apa-apa yang telah koyak dan bocor dalam kanvas kehidupan saya ini. Janganlah diruntuhkan istana kasih dan sayang yang telah disemai sekian lama....Saya tidak malu untuk merayu....

Saya yakin dengan janji Allah. Saya yakin akan berjaya mengharungi segala kesulitan dan kepayahan dengan jayanya dalam masa terdekat ini. Tuhan akan terus memberi saya kekuatan kerana itu permohonan saya. Sokongan dan bimbingan saja yang saya perlukan untuk terus ke depan; namun jika hanya hinaan dan cacian yang saya terima atas kesilapan yang telah saya perakui; saya tidak mungkin akan berjaya. Bahkan saya akan lebih mengecewakan ramai orang yang menyayangi saya....

Sekali lagi, maafkan saya....dengan sepenuh jiwa dan raga saya pohonkan. Allah akan memberi ganjaran yang amat besar kepada sesiapa jua yang memaafkan hambaNya yang lain.....Astaghfirullahil azim....

2 comments:

Tepi Sungai Batu said...

Semoga semuanya baik-baik belaka.....
Insya Allah.

Suria Klang said...

Terimakasih Pak Man kerana terus-terus menyokong saya. Semoga persahabatan yang terbina atas nama Allah ini akan berkekalan....