Dua hari berturut-turut kami menghadiri kenduri kahwin. Biasalah, bila tiba musim cuti sekolah, kad jemputan kawin memenuhi kotak undangan.
Hari Sabtu, saya usung anak-anak saya ke majlis pernikahan anak saudara saya, Muaz, dengan Nisa di Gombak. Menyaksikan sendiri bagaimana sebaknya ayah Nisa ketika melafazkan akad "aku nikahkan akan dikau dengan............". Suaranya yang tenang bertukar menjadi sebak dan airmata seorang ayah gugur akhirnya.... Anak gadis kesayangan yang ditatang sejak dalam kandungan kini telah menjadi milik Muaz. Di belakang, saya saksikan pula Nisa memeluk erat ibunya sambil si ibu teresak-esak menangis. Saya bayangkan saya berada dalam situasi itu....ahhhh....! Lagi dramatik agaknya...
Semalam kami balik kampung. Anak-anak asyik ketawa mendengar Boss tiba-tiba berubah menjadi 'orang kampung' tatkala melihat durian yang dijual di tepi-tepi jalan sebaik kami memasuki Jalan Muar... "Eh, derian! Nanti kita singgah makan nak?". "Dah sampai Bukit Kangko"....Durian menjadi derian, Kangkar menjadi kangko....dan banyaklah lagi slang kampung yang jarang didengar tiba-tiba menjadi irama kepada tatabahasa Boss...
Majlis perkahwinan antara Nazri, sepupu Boss dengan isterinya (saya lupa nama si cantik itu) menjadi medan pertemuan saudara-mara yang berada di seluruh pelusuk tanahair.
Mendengar cerita kejadian yang berlaku pada malam sebelumnya mengundang pelbagai persoalan di kepala. Bagaimana nasi yang baru ditanak basi serta-merta, kelibat manusia berlari-lari di sekeliling khemah, si anu dan si anu bersilat dan berguling di atas tanah berlawan tanpa sesiapa, burung besar terbang rendah mengelilingi khemah memasak sambil mengeluarkan suara yang menggerunkan dan pelbagai lagi....
Itulah secubit kisah masyarakat kampung yang masih berpegang kepada pegangan lama yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kenapa perlu berdengki khianat sedangkan tukang masak kesemuanya adalah anak-beranak yang mahu mencuba kepakaran setelah bertahun-tahun menimba ilmu memasak di perantauan.
Alhamdulillah. Berkat doa dan zikir yang tidak putus, hasilnya amat memuaskan hati. Tiada masalah masakan basi atau tetamu sakit perut selepas memakan lauk pauk yang dimasak... Sesekali terfikir, amat tidak masuk akal. Namun, hakikatnya, ramai lagi yang masih hidup berkawan dengan syaitan.....hanya untuk menunjukkan kekuasaan dan kebesaran sendiri....hingga lupa bahawasanya hanya Allah yang Maha berkuasa dan Maha Besar....
Astaghfirullahil azim...
No comments:
Post a Comment