Monday, October 17, 2011

Menelusuri India : Pengalaman Abey

Saya sedang menulis sedikit pengalaman saya sewaktu ditugaskan mengetuai sebuah syarikat IT di India dari tahun 2008 - 2010. Semoga saya diberi kekuatan untuk mengabadikan perjalanan saya, seorang wanita Melayu, isteri dan ibu, yang hidup bersendirian di rantau orang selama hampir dua tahun.
********************************************************************
Pengalaman Abey

Sehabis peperiksaan SPM Jimie tamat pada awal Disember 2009, Boss dan anak-anak menyertai saya di Chennai. Kami menaiki Air India (tambang paling murah) yang bertolak dari KLIA seawal pukul 830 pagi. Itu kali pertama saya menaiki pesawat ini. Anak-anak saya kata, “Bau kari la Mama kapalterbang ni.”

Pengalaman agak melucukan kami perolehi, antaranya, berlaku pertengkaran antara pramugara dan pramugari. Ia bermula dengan usikan dan gurauan, namun nada suara mereka makin meninggi dan akhirnya mereka benar-benar bertengkar. Pening kepala penumpang dibuatnya. Masing-masing menggelengkan kepala. Anak-anak saya memandang satu sama lain dengan kerutan di dahi. Saya katakan pada mereka; “Welcome to India”.

Di Lapangan Terbang ANtarabangsa Chennai, Lala, Jimie dan Abey ketawa terbahak-bahak sewaktu kami melepasi kaunter kastam. Saya pelik mendengar tawa mereka. Boss juga kehairanan.

Ketiga-tiga mereka memuncungkan bibir sambil menunjuk-nunjuk ke pintu keluar dari balai ketibaan. Saya makin pelik. Siapa yang mereka ketawakan?

“Ma…betul-betul macam dalam filem Hindustan.”

Saya masih kehairanan. Budak bertiga ini ketawa sampai menangis. Apa yang menggelikan hati mereka agaknya? Macam dalam filem Hindustan?

“Diaorang ni semua tunggu siapa Ma?” Jimie merujuk kepada ratusan manusia yang berbaris panjang di sepanjang lorong keluar dari balai ketibaan.

“Oh….Mama ingatkan apa. Diaorang tunggu orang yang diaorang nak ambik la.” Pelik sungguh anak-anak saya melihat begitu ramai manusia bersesak sambil memegang placard, dan ada yang menjerit-jerit memanggil nama orang yang mereka tunggu.

Boss dan Abo yang pernah melihat suasana ini hanya tersenyum. Ia pengalaman baru buat mereka bertiga. Banyak lagi yang akan mereka lihat…

Di celah-celah ratusan manusia, saya terlihat senyuman manis Iyappan, pemandu syarikat kami yang kelihatan begitu segak berdiri menyambut kami. Rambut tersisir rapi, dengan side burn yang kelihatan seperti baru di ‘trim’.

“Iyappan! How are you? Wah…so handsome?”

“Good morning, Madam. Good morning, Sir. Welcome back Abo…”

“Iyappan, these are my children. Lala, Jimie and Abey. Guys, this is Iyappan; my best driver ever.” Saya kenalkan Iyappan kepada anak-anak saya. Jimie dan Abey bersalaman dengan Iyappan yang kelihatan malu-malu.

Iyappan terus mencapai beg-beg kami dan meminta kami menunggu di situ. Saya katakan pada Iyappan tidak perlu kerana keadaan cukup sesak. Kami berjalan mengekori Iyappan ke tempat letak kereta.

“MD asked me to bring you in this car, Madam. So many of you.” Wah, besar kereta yang menanti kami. Alhamdulillah.

Saya teruja melihat gelagat anak-anak saya. Mata mereka meliar memerhati keadaan sekeliling.

“Ma…kenapa bising sangat?” Lala memecah suasana sunyi.

“Apa yang bising Kak?” Boss tanya Lala kembali.

“Kenapa Akak rasa bising sangat? Telinga AKak ke yang tak betul?” Lala masih keliru.

“Selamat datang ke India, wahai anak-anak Mama. Bising adalah India. India adalah bising. Bunyi hon, suara orang, bunyi kenderaan. Ini baru satu langkah.” Jawab saya.

Kereta menyusur keluar perlahan. Sewaktu melepasi pintu masuk utama, Abey bertanya soalan cepumas.

“Ma, apasal diaorang tu semua beratur mengadap tembok tu?” Kami semua menoleh ke sekumpulan lelaki yang sedang berdiri mengadap tembok (tiang jejantas) yang terletak bertentangan dengan pintu masuk utama lapangan terbang.

Saya dan Boss serentak ketawa. Iyappan juga ketawa, macamlah dia faham soalan Abey.

“Itulah tandas awam.” Boss menjawab pendek.

“Ha? Ishhh. Buruknya.” Abey kelihatan terganggu dengan pemandangan itu.

“Abey jangan tengoklah…. Nanti Abey asyik la nampak pemandangan tu merata-rata. Tulah kata orang tua.” Saya memberi nasihat yang tidak bererti kepada Abey.

Jalan yang berdebu, bunyi bising hon dan kereta yang bersimpang siur di sepanjang perjalanan selama hampir 40 minit mengujakan anak-anak saya.

“Kak, tengok kat belakang van tu. Dia tulis “SOUND HORN”. Maknanya orang sini memang asyik hon kereta mereka.” Jimie membuat analisa.

“Memang betul. Masa Mama mula-mula kat sini, Mama rasa bingit dengan bunyi hon ni. Lepas dua tiga kali kunjungan Mama, Mama rasa okay je. Sekarang ni memang Mama tak rasa janggal pun.”

Serentak itu anak-anak saya ketawa. “Telinga Mama pun dah kebabal macam telinga orang India!” Boss membuat kesimpulan.

Akhirnya kami sampai ke rumah saya. Berlari KaKa mendapatkan kami semua. Sekali lagi anak-anak saya terkejut apabila KaKa seakan-akan menyembah mereka (meletakkan kedua tangan yang dirapatkan antara satu sama lain ke dadanya. Tanda hormat kaum India kepada tetamu).

KaKa juga menundukkan badannya seraya menyentuh kaki Boss. Cepat-cepat Boss tarik badan KaKa dan memeluknya erat. Terlopong mulut Lala, Jimie dan Abey melihat adegan ini.

“Kenapa dia buat macam tu Pa? Dia macam nak sujud kat Papa je?” Jimie memecah suasana.

“Itu tanda hormat kat Tuan.” Saya bisik perlahan.

Sewaktu Jimie dan Abey hendak mengangkat beg-beg naik ke atas rumah, sekali lagi mereka terperanjat melihat Iyappan, dibantu oleh Krishnan, pembantu rumah, telah mengangkut kesemua beg: ada yang dijunjung di atas kepala dan ada yang tersangkut di leher.

“Selamat datang ke World of the Riches. Beginilah penerimaan orang sini kepada Mama. So, keluarga Mama adalah bangsawan di sini. Rasalah nikmat ini. Kat Malaysia langsung takkan merasa.” Sambil ketawa saya katakan pada mereka.

Baru saja kami labuhkan punggung ke atas sofa di ruang tamu, KaKa mendekati kami sambil tersenyum.

“Chai, madam? Chai, Sir?”

“KaKa. This is Lala. This one is Jimie and this one is Abey. You remember Abo?”

“Yes Madam. Thank you Madam. Drinks for you Little Sir?” KaKa tujukan soalan kepada Abo.

Abo tersenyum girang mendengar panggilan istimewa KaKa kepadanya. Little Sir?

“KaKa, chai. Une.” Ewah….Abo pandai pula nak berbahasa Tamil.

“Young Madam. Any chai? Young Sir, chai? Handsome Sir, chai?” KaKa tujukan pertanyaan kepada Lala, Jimie dan Abey.

Serentak kami ketawa. Pandai pula KaKa memberi nama. Little Sir untuk Abo, Young Madam untuk Lala, Young Sir untuk Jimie dan Handsome Sir untuk Abey.

Anak-anak saya mula menyukai suasana yang berbeza ini.

Dua minggu di India memberi pengalaman yang tidak ternilai buat anak-anak saya, terutama sekali Abey. Asal keluar saja dari rumah, Abey akan terlihat adegan “beratur mengadap tembok” dan adegan “melepaskan hajat walau di mana sahaja”. Menambah harga kepada pengalaman ini ialah, hanya Abey yang terpandang!

Saya masih ingat satu kejadian ini. Keluarga saya menjemput saya di pejabat. Bulan Disember merupakan musim dingin dan musim hujan di Chennai. Sebelum sampai ke pejabat saya, mereka singgah ke beberapa tempat yang menjadi tumpuan ramai, sambil ditemani oleh Iyappan. Salah satu jalan yang dilalui merupakan jalan yang sesak dengan pejalan kaki, auto dan kenderaan lain.

Tatkala sampai ke pejabat saya, hujan turun dengan lebatnya. Sistem perparitan memang hampir tiada di India, khasnya di Chennai. Sekali fikir, banyak kebenarannya kenapa system parit tidak perlu ada. Purata hujan yang turun di Chennai hanyalah 25 hari dalam 365 hari.

Pukul 6 petang di musim dingin sudah gelap gelita. Sekelip mata juga jalan-jalan dibanjiri air yang serta-merta naik hingga ke paras paha. Abey yang duduk di tempat duduk belakang tiba-tiba menjerit, “aduh!!! Uwekkkk!”. Kami terkejut. Semua kepala berpusing ke arahnya.

Waktu itu kereta kami sedang melalui jalan yang sentiasa sesak dengan pejalan kaki. Abey benar-benar kelihatan seperti mahu muntah.

Selepas beberapa ketika, Abey bersuara, “Tadi masa nak datang ambik Mama, kitaorang lalu kat jalan ni. Abey ada nampak ehem-ehem warna kuning kat tepi penjuru tu. Dua tiga tempat. Baru kejap ni Abey nampak makcik tu jalan kat situ selamba je dalam banjir gelap-gelap ni. Kalau dia terpijak macammana?”

Berderai kami semua ketawa. Ada benarnya persoalan Abey. Namun, ia di luar kawalan sesiapa pun juga. Alahai India…. Tandas awam memang tiada pengunjung…..

3 comments:

lina said...

salam ma'am - membaca cerita puan seolah2 lina juga berada di tempat kejadian. kalau begitu betul apa yg kawan2 pernah ke india cerita keadaan di sana....emmmmm.

Suria Klang said...

Lina,

Saya sedang cuba menyusun.... Sesungguhnya Allah memberi saya nikmat dapat mengharungi kehidupan di sana dengan jayanya. Betapa ramai manusia, saya yang dipilihNya. Ia satu pengalaman amat berharga buat saya....

lina said...

salam ma'am - lina salute! berjaya tinggal lama di sana.suatu Pengalaman sgt beharga pastinya.