Sunday, September 4, 2011

Setahun yang lalu....

5 September 2010. Keesokan harinya adalah hari terakhir untuk kami membalas surat tawaran Tabung Haji. Hati berdebar tidak terkata. Saya serahkan kepada Boss untuk membuat keputusan.

Kata Boss, "Jemputan sudah di tangan. Ini yang kita minta sejak dulu, dapat menunaikan rukun Islam yang kelima bersama. Kalau kita tolak, entah dapat atau tidak tawaran ini lagi. Apapun juga yang kita hadapi sekarang tidak akan mengubah keputusan Abang untuk pergi. Kita terima."

Apa yang berlaku adalah keajaiban. Malu untuk saya ceritakan kisah sebenar, tetapi cukup jika saya katakan ianya adalah kuasa Allah yang amat besar; untuk kami, khasnya.

Dalam masa yang sama Tini(pembantu rumah saya) sakit nak melahirkan Abdul Rahman. Kami bawa dia ke hospital Klang. Berjuraian airmata saya tatkala diberitahu bahawa kos bersalin sekian banyak. Selepas Abdul Rahman dilahirkan, dia terpaksa ditempatkan di ICU kerana masalah pernafasan. Subhanallah.... Dia saja yang tahu berapa banyak airmata kami yang tumpah membasahi bumi....

Di celah kekalutan itu, kereta Naza kami dicuri orang di depan halaman rumah. Apa yang tinggal pada diri kami? Sakit kepala memikirkan segala kemungkinan, namun Allah Maha Pengasih. Dia tahu berat mana bebanan yang mampu kami pikul...

Tini ditempatkan di wad bersalin di tingkat 1 sementara Abdul Rahman di tingkat 6. Sebaik dihubungi pihak hospital yang Tini sudah selamat melahirkan, kami bergegas ke hospital. Kami tidak dibenarkan masuk ke bilik ICU kerana kami bukan ibubapa Tini ataupun ayah Abdul Rahman. Tetapi jururawat yang bertugas menggunakan jasa baiknya membenarkan kami masuk.

Hampir meraung saya melihat si kecil yang cuma nampak tulang dan kulit tergolek di dalam kotak yang berselirat wayar mengelilinginya. Sedang saya menatap hiba wajah kecik yang tidak bermaya itu, Boss masuk diiringi jururawat lain untuk mengazankan Abdul Rahman. Saya lihat garisan di skrin di atas kepala Abdul Rahman...amat perlahan malah kadangkala hampir garisan lurus. Jantung saya berdebar kencang. Perlahan-lahan Boss memulakan azan....tiba-tiba saya lihat dada Abdul Rahman naik tinggi dan serentak itu juga garisan di skrin berombak laju....Subhanallah....Nafas si kecik jadi normal tatkala dia mendengar nama Allah dibisikkan di telinganya!

Sejak hari itu, rutin baru bermula. Setiap tengahari dan petang, samada saya atau Boss akan ke hospital untuk menolak kerusi roda Tini ke tingkat 6 bagi menyusukan bayinya. Urusan pemergian haji kami masih belum selesai. Kami tinggalkan semuanya di belakang untuk Tini dan anaknya.

Selepas sepuluh hari, Tini dan Rahman dibenarkan keluar. Menggigil tangan saya sewaktu membayar bil hospital mereka. Entah dari mana duit itu datang saya pun tidak sedar....

Sampai di rumah, saya kumpulkan sisa-sisa duit yang tinggal untuk membayar upah bidan dan ubat-ubatan Tini. Kami cuba sediakan makanan yang berkhasiat buatnya supaya Abdul Rahman dapat membesar dengan sempurna.

Dalam masa sama, kami berdoa dengan penuh yakin Allah akan bantu kami menyelesaikan bebanan kami. Pelbagai keajaiban berlaku, dalam kepayahan ada kesenangan. Allah memangnya menguji hambaNya dengan ujian yang dia mampu pikul....

Akhirnya...pada 16 Oktober 2010, kami berlepas meninggalkan segala-galanya di tangan Allah. Tiada kemewahan atau kedudukan yang kami tinggalkan buat anak-anak, hanya doa dan airmata. Kami serahkan segala-galanya kepada Allah demi mencari keredhaanNya.

Pengalaman yang kami lalui setahun lalu indah sungguh kini bila dikenang. Namun, untuk kami melaluinya lagi, tidak mampu rasanya.

Abdul Rahman kini membesar sebagai kanak-kanak lelaki yang comel dan cerdik, lincah dan pemurah dengan senyuman. Baru masuk 10 bulan dia sudah berjalan mengelilingi rumah, naik turun tangga dan riuh menyanyi sepanjang hari. Pantang nampak saya bertudung, dia akan berlari mendapatkan saya sambil mendepangkan tangan minta didukung. Bila sesekali terpisah, dia akan melentukkan kepalanya ke bahu abang-abang dan kakaknya, terutama sekali Boss, apabila kami pulang mendapatkannya.

Setahun yang lalu kami dihimpit kesusahan kerana ujianNya. Kini, kami menarik nafas lega kerana kesempitan itu telah reda. Kami belajar satu perkara.... Mohonlah kepada Allah dengan mengerjakan solat dan bersabar. Berdoa dan yakin. Pasti banyak keajaiban yang muncul............

2 comments:

ROS said...

Assalamualaikum Kak Suria,

terimakasih atas perkongsian ini...entah kenapa saya menangis membaca entri ini.

Suria Klang said...

Terimakasih Ros....saya sendiri sebak tatkala membaca sebaik sahaja habis menaip.... Sakit sebenarnya bila saya kenang kembali.... Terasa betapa hinanya diri pada pandangan ramai jika kita miskin tanpa harta. Namun, saya yakin Allah redha dengan pengorbanan kami....

Boss saya sendiri menangis selepas membaca entry saya ini......