Wednesday, April 13, 2011

Allah itu dekat dengan kita...

Saya mendapat berita tentang Kak Ella dan Abang Hasan yang akan ke tanah suci buat pertama kalinya akhir bulan ini. Malam tadi kami ke rumah mereka untuk sama-sama meraikan pemergian mereka berdua. Dapat saya rasakan keterujaan mereka.

Pelbagai soalan yang mereka berdua kemukakan. Kami titipkan juga tips-tips yang mungkin nampak kelakar dan tidak besar, tetapi amat besar impaknya dalam mengerjakan ibadah mereka ini.

Tengahari tadi saya berpeluang makan tengahari dengan DD, kawan lama saya. DD juga menyampaikan hasratnya untuk mengerjakan umrah sebelum bulan puasa ini. Saya beri motivasi kepada DD untuk memulakan perjalanannya sebelum hari yang indah itu tiba.

DD ada persoalan besar di benaknya. Baginya dia terlalu banyak dosa. Saya sarankan begini kepada DD:

"You nak pergi katalah bulan Julai. Maknanya you ada lebih kurang dua bulan lebih lagi. Mula-mula sekali you kena tanamkan dalam diri you yang you nak pergi ke sana untuk mengerjakan ibadah, mendekatkan diri kepadaNya dan menyucikan jiwa, bukannya pergi sebab orang lain pergi atau nak pegi bercuti."

"Dan proses itu I harap you dapat mulakan dari sekarang. Maknanya, kalau you rasa solat dan ngaji you masih belum sempurna, belajarlah untuk menjadikannya sempurna. Di mana tempat you nak belajar? Samada berguru secara fizikal ataupun berguru secara tidak langsung di masjid. Kalau you tak sempat nak buat setiap waktu, you mulakan dengan solat Maghrib dan Isya'. Selepas Maghrib tu, selalunya ada majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh Imam-Imam, Ustaz dan Ulama. Dis situlah you akan belajar dan berguru. Cubalah ke Masjid untuk solat subuh...Indah tau hari you nanti...."

"Banyakkan beristighfar, mohon keampunanNya dan bertaubat nasuha. Kenangkan dosa-dosa yang telah kita lakukan dan bermunajat memohon keampunanNya. Minta sungguh-sungguh keredhaanNya...."

"Tapi Su, I ni banyak sangat dosa...." Saya ternampak muka DD semakin merah.

"DD...I nak you fikir macam ni. Kita ni manusia, kalau anak kita buat salah, selalunya kita akan hukum dia kan? Tapi, kalau dia merayu minta maaf kat kita, kita maafkan dia tak? Kita yang lemah pun boleh maafkan anak kita, apatah lagi Tuhan Yang Maha Besar dan Maha Pengampun. Dia Pencipta kita. Jangan sesekali sangsi dengan janji Dia. Dia pasti akan ampunkan kita biar besar mana pun kesalahan yang kita dah buat bila kita pohon keampuananNya ....tetapi andai kita lupa padaNya dan mengingkariNya, sudah pasti kita akan dihukum."

DD menundukkan wajah. Saya mula ternampak butiran air jernih menitis di pipinya....

Dalam sebak DD cuba berkata sesuatu sambil memandang wajah saya....

"Layak ke orang macam I untuk dapat kedudukan yang tinggi di sisi Dia, Su?"

"DD...Allah itu sebenarnya dekat dengan kita. Kalau you masih ingat dulu-dulu Ustaz kita pernah kata...JIka kita merangkak mendekati Allah, Dia akan berjalan mendekati kita. Jika kita berjalan mendekatiNya, Dia akan berlari mendekati kita. Jika kita berlari, Dia akan datang sepantas kilat.... Kita ni, manusia yang lemah dan kerdil ni sendiri yang menjauhkan diri dariNya.... You buatlah appointment dengan Imam di Masjid yang terdekat dengan you setiap waktu. Insyaallah DD, you akan berjaya mendapatkan kedudukan yang tinggi di sisiNya."

Saya juga sebak....

DD mula menangis tersedu.

Akhirnya sebelum kami berpisah, saya katakan pada DD:

"DD...I sendiri seorang yang amat lemah. Hati I kotor dan I seringkali tersasar dalam kehidupan ini. Tanpa kasih sayang dan rahmatNya, I tidak akan mampu mencari jalan pulang. Allah temukan kita hari ini kerana Dia ada rancanganNya. Sama-sama kita terima petunjuk yang diberi kepada kita ini dengan penuh kesyukuran. Insyaallah kita akan bersama-sama menjalani kehidupan bahagia di kemudian hari nanti. I doakan you sentiasa mendapat keredhaanNya."

DD berlalu meninggalkan saya tanpa berkata-kata. Airmatanya turun laju.....

Tuhan....ampunkan hambaMu yang lemah ini...

2 comments:

Unknown said...

Selamat datang kepada kawan2 Suria...kepada DD, saya berharap beliau yakin dengan janji Allah, bahawa Dia sentiasa mengampun dosa mereka yang bertaubat~!

ps: Dosa2 kecil yang berulang2 itu lebih besar dari dosa besar~!

Suria Klang said...

Pp,
Terimakasih sekali lagi kerana sentiasa bersama saya. Mudah2an akan sentiasa ada jemputan untuk saya dariNya, untuk bertamu ke rumahNya...dan dapat singgah menziarahi Pp....