Saya ke Pekan, Pahang semalam. Bersama seorang kakitangan syarikat dan Boss yang setia menemani. Bukan Boss tak ada kerja lain, tapi paksa-rela, kerana saya perlukan mahram saya....ALhamdulillah kami selamat pergi dan kembali.
Di sepanjang perjalanan saya dengar Boss dan Razi, Pengurus Kanan saya, bersembang tentang pelbagai topik. Saya lena dibuai mimpi di tempat duduk belakang.
Berpandukan 'manual GPS', kami agak terlewat untuk sampai ke destinasi. Pihak di sana asyik menalipon Razi. Setelah memasuki daerah Pekan, kami berpatah balik hampir setengah jam kerana kami telah jauh tersesat.
Razi agak resah. Janjinya kami sampai pukul 1130, jam pula telah menunjukkan pukul 12. Boss katakan pada Razi, "Things happen for a reason." Saya lihat senyuman pahit di wajah Razi.
Akhirnya kami sampai ke tempat dituju dengan kelewatan lebih sejam setengah. Kami masuk perlahan-lahan ke dalam dewan yang dipenuhi sekumpulan jurutera dan pihak pengurusan. Saya nampak seseorang sedang berdiri di atas pentas. Rasanya acara hampir tamat.
Sedang kami mencari tempat untuk duduk, saya terdengar pengumuman:
"Selamat datang kami ucapkan kepada Puan Suria dan Encik Razi dari XXX.........bla bla bla...."
Saya hanya tersenyum. Keliru kerana sepatutnya acara tadi adalah penamat kepada seminar yang sedang berlangsung, jika mengikut buku aturcara. Kenapa pula mereka umumkan kedatangan kami?
Saya disapa oleh seorang pengurusan tertinggi syarikat tersebut yang memberitahu bahawa mereka telah menganjakkan slot untuk kami sebagai slot terakhir acara tersebut. Subhanallah. Ketibaan kami tepat pada masanya. Tidak terlewat walau seminit pun........
Selesai seminar, kami menikmati makan tengahari yang cukup enak. Berlaukkan ikan patin masak asam pedas. Saya bukan pemakan ikan air tawar....namun masakan orang Pahang semalam membuka selera saya dan menambahkan satu jenis ikan yang saya tahu makan....
Kami singgah di Bentong dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Rezeki besar menanti kami di rumah Ana, sahabat saya di asrama sekolah dulu. Lamb chop, mee goreng, jagung manis kukus dan durian...Musang King pulak tu!
Kami tiba di Shah Alam pukul 10 malam, membawa bersama kenangan manis di Pekan dan perut yang penuh dengan makanan enak..........Alhamdulillah. Tiada yang lebih pemurah selain dari Dia....Saya amat bersyukur.
2 comments:
kak su, kat pekan itulah daku membesar di zaman remaja. hehe...sana mmg popular ikan patin. sedap..
salam - kelakar dengan cerita ni...tp best dpt rezeki makan. wow ikan patin masak tempoyak lagi best...ma'am kena cuba tau!
Post a Comment